Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Hari Sukan Negara diadakan dengan matlamat untuk memupuk kesedaran berterusan tentang kepentingan bersukan bagi melahirkan masyarakat yang berbudaya sukan dan aktif.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, pelaksanaan Hari Sukan Negara menerusi pendekatan menyeluruh juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan memangkin pembangunan ekonomi negara menerusi industri sukan serta memberikan pengiktirafan kepada warga sukan.
“Antara objektif penganjuran Hari Sukan Negara adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat cergas dan aktif, meningkatkan pengetahuan sukan dalam kalangan masyarakat serta memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Objektif lain Hari Sukan Negara adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan pada peringkat akar umbi dan menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan.
Bagi edisi tahun 2026, sambutan Hari Sukan Negara akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 Oktober 2026 hingga 11 Oktober 2026 secara serentak di seluruh negara dengan majlis perasmian peringkat kebangsaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di pekarangan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Oktober 2026.
Hari Sukan Negara di Sarawak pula akan dilaksanakan pada 16 Oktober 2026 hingga 18 Oktober 2026.
Hari Sukan Negara 2026 yang bertemakan “Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan” menyasarkan pelibatan lebih 5.3 juta orang rakyat Malaysia melalui pelbagai program sukan dan rekreasi yang akan dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi nilai kerangka Malaysia MADANI, khususnya nilai Kesejahteraan, Keyakinan dan Kemampanan dan hala tuju Visi Sukan Negara 2030 ke arah menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.
Antara pengisian yang dirancang bagi pelaksanaan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 pada Oktober nanti termasuklah Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI serta tumpuan kepada segmen Malaysia Aktif dan Industri Sukan dengan penerapan elemen Gaya Hidup Rakan Muda, iaitu Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Litar dan Rakan Niaga.
KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara juga melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bersama-sama agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan mulai Julai ini bagi mencipta momentum menjelang kemuncak Hari Sukan Negara 2026.
Dalam kenyataan yang sama, KBS turut menyeru semua pihak untuk turut sama menjayakan inisiatif ini, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Bersukan” menjelang tahun 2030.
Pihak yang ingin menjalin kerjasama strategik bersama-sama KBS bagi penganjuran Hari Sukan Negara 2026 boleh menghubungi urus setia di talian 03-8871 3166/ 3719/ 3183 atau e-mel [email protected].
Maklumat Hari Sukan Negara juga boleh diakses menerusi portal rasmi Hari Sukan Negara.