Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Balik Pulau – Usaha mempercepat pendigitalan di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Projek Penggantian Peralatan Sistem Rangkaian Kampus (WiFi) Fasa 2 bernilai hampir RM11 juta oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijangkakan memberikan manfaat kepada lebih 100 000 orang pelajar di 12 buah politeknik serta menyokong sasaran kerajaan merealisasikan capaian WiFi 100 peratus di institusi pendidikan tinggi awam.

Menurut JPPKK dalam satu kenyataan, peruntukan projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Rolling Plan 5 (RP5) itu melibatkan dua skop utama, iaitu penggantian perkabelan rangkaian kampus yang usang di tujuh buah politeknik oleh Datacryptic Technologies Sdn. Bhd. serta pembekalan dan pemasangan 1875 unit access point dan 318 unit access switch oleh Ifantra Sdn. Bhd. di 12 buah politeknik.

Kedua-dua projek tersebut dijangkakan siap sepenuhnya pada November 2026 dan bakal menyediakan akses Internet yang lebih stabil, pantas serta meluas bagi menyokong pembelajaran digital.

Peningkatan keupayaan rangkaian kampus ini juga dijangkakan memperkukuh pembudayaan digital dalam kalangan pelajar dan pensyarah, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih cekap.

Sementara itu, sesi mesyuarat kick-off yang berlangsung di Politeknik Balik Pulau pada hari ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi, Tuan Haji Che Rahim Daud; Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Pembangunan), KPT, YBrs. Dr. Fary Akmal Osman; pengurusan tertinggi JPPKK serta wakil dari politeknik yang terlibat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi