Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kontinjen robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) membawa misi negara ke pentas robotik dunia apabila dipilih mewakili Malaysia dalam program 31st Federation of International Robosports Association (FIRA) RoboWorld Cup & Summit 2026 yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Julai ini di Markham, Ontario, Kanada.

Kontinjen tersebut dianggotai oleh dua orang jurulatih dan enam orang pelajar dari tiga institusi POLYCC, iaitu Politeknik Sultan Idris Shah, Politeknik Port Dickson dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah.

Mereka bakal bertanding dalam beberapa kategori utama termasuklah HuroCup, FIRA Air dan Autonomous Car Challenge, yang menuntut kemahiran teknikal tinggi serta keupayaan inovasi dalam bidang robotik dan automasi.

Majlis pelepasan kontinjen telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penyertaan ke pertandingan berprestij tersebut bukan sekadar medan persaingan robotik, malah merupakan platform penting untuk menyerlahkan bakat, kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menurut beliau, penyertaan di pentas antarabangsa memberikan peluang kepada pelajar untuk mempamerkan kebijaksanaan mereka dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi, selain membina keyakinan diri untuk berdepan dengan peserta dari pelbagai negara.

Katanya,

Pertandingan ini bukan sahaja menguji keupayaan teknikal, malah menilai cara pelajar untuk berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah dalam situasi sebenar. Kita berharap kontinjen ini mampu membawa nama baik Malaysia dan menunjukkan bahawa pelajar TVET kita setanding dengan peserta antarabangsa.

Beliau juga menekankan kepentingan melahirkan lebih banyak pencipta teknologi dalam kalangan generasi muda, selaras dengan aspirasi negara untuk beralih daripada pengguna kepada pengeluar teknologi.

“Kita tidak mahu lagi sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi kita perlu melahirkan pencipta teknologi yang mampu menerajui industri masa hadapan. Para pelajar ini merupakan aset penting negara dalam memperkukuh sektor TVET dan industri berasaskan teknologi,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman bertanding pada peringkat dunia akan memberikan pendedahan berharga kepada para peserta dan seterusnya dapat dikongsikan dengan rakan yang lain serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelajar untuk menceburi bidang robotik serta TVET.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah turut menzahirkan keyakinan beliau terhadap keupayaan kontinjen POLYCC untuk menonjolkan keupayaan mereka bagi mencapai keputusan yang membanggakan.

Menurut beliau, penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi TVET dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing pada peringkat global.

Penyertaan kali ini juga membawa misi strategik negara untuk membida penganjuran FIRA RoboWorld Cup & Summit 2027.

Usaha tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab TVET, robotik dan inovasi bertaraf antarabangsa, selain membuka peluang kerjasama global dalam bidang teknologi.

Kejayaan peserta Malaysia kelak diharapkan bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah mampu menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk terus meneroka bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan dan inovasi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi