Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIjok – Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama berjaya disenaraikan sebagai finalis Anugerah Sekolah Tersihat AIA 2026 menerusi projek FlyForce: A Black Soldier Fly Composting Initiative, hasil usaha berterusan sekolah ini dalam menerapkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berteraskan kelestarian alam sekitar.
Inisiatif FlyForce merupakan projek inovatif yang menggabungkan elemen STEM, pendidikan alam sekitar dan keusahawanan melalui pengurusan sisa makanan kantin dengan menggunakan teknologi pengkomposan berasaskan lalat tentera hitam atau black soldier fly.
Melalui program ini, murid yang diterajui oleh Kelab Doktor Muda terlibat secara langsung dalam aktiviti pengumpulan sisa makanan, pemeliharaan lalat tentera hitam, pemantauan pertumbuhan larva serta penghasilan baja kompos dan sumber makanan ternakan bernilai tinggi.

Dengan bimbingan dan latihan dari Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, murid bukan sahaja mempelajari konsep sains dan teknologi secara teori, malah berpeluang mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar.
Pelaksanaan projek itu berjaya mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan, selain meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap amalan kelestarian, pengasingan sisa dan konsep ekonomi kitaran.
Impak positif yang ditunjukkan menerusi projek FlyForce membolehkan SK Saujana Utama disenaraikan antara sembilan sekolah terbaik dalam Anugerah Sekolah Tersihat AIA 2026 serta menerima hadiah wang tunai berjumlah USD3,500.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa murid sekolah rendah berupaya menghasilkan projek berimpak tinggi yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada komuniti sekolah, malah menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Menurut guru pembimbing program, Puan Vathsala, kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi daripada murid, guru dan rakan kolaborasi yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang pelaksanaan projek.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan amali melalui projek tersebut berjaya meningkatkan minat murid terhadap STEM kerana mereka dapat melihat sendiri proses penukaran sisa makanan kepada produk yang bermanfaat.
Katanya,
Hal yang paling membanggakan bukanlah kemenangan semata-mata, tetapi perubahan sikap murid terhadap penjagaan alam sekitar.
Tambahnya, kini murid lebih memahami kepentingan pengasingan sisa, konsep kitar semula dan cara sains boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar, sekali gus mempelajari nilai keusahawanan melalui penghasilan produk seperti larva dan baja kompos.
Sementara itu, pembimbing dari UiTM Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Razali berkata, pendekatan FlyForce diharapkan dapat diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara sebagai model pembelajaran berasaskan projek yang mampu membentuk generasi muda celik STEM, prihatin terhadap alam sekitar serta mempunyai nilai keusahawanan.
Ujarnya,
Saya berharap model FlyForce ini dapat diperluas ke sekolah lain kerana bukan sahaja memberikan impak kepada pendidikan, tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian isu sisa makanan secara praktikal dan lestari.
Kejayaan FlyForce mencerminkan komitmen SK Saujana Utama dalam melahirkan generasi muda yang inovatif, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan melalui pendekatan STEM yang autentik serta berimpak tinggi.
