Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lebih 1000 peserta dari seluruh ASEAN menyertai program ASEAN GeoAI Fusion 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh pembangunan bakat digital, memacu inovasi kecerdasan buatan geospatial (GeoAI) serta mempererat kerjasama serantau ke arah mempercepat transformasi digital.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, program tersebut menghimpunkan peserta, pengamal industri, penyelidik dan pakar teknikal dari seluruh rantau bagi meneroka aplikasi GeoAI dalam meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh infrastruktur digital serta menyokong proses membuat keputusan berasaskan data, di samping menjadi platform perkongsian ilmu dan kerjasama rentas sempadan untuk mempercepat penggunaan teknologi digital baharu di ASEAN.
Katanya, GeoAI merupakan teknologi yang menggabungkan kecerdasan buatan dengan data geospatial dan data berasaskan lokasi bagi menghasilkan analisis yang boleh dimanfaatkan untuk perancangan dan proses membuat keputusan yang lebih cekap serta tepat.
Teknologi tersebut mempunyai pelbagai aplikasi, misalnya dalam pengoptimuman rangkaian telekomunikasi, perancangan infrastruktur, kesiapsiagaan menghadapi bencana, pemantauan alam sekitar serta peluasan capaian digital kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, sekali gus mencerminkan peranan GeoAI sebagai pemangkin inovasi dan pembangunan digital yang mampan di rantau ini.
Dalam kenyataan tersebut, MCMC juga memaklumkan bahawa sebagai sebahagian daripada program, para peserta telah berjaya menamatkan Bootcamp 1 yang berlangsung dari 7 Julai 2026 hingga 9 Julai 2026 lalu dengan tema Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN menerusi sesi yang dikendalikan oleh pakar, latihan amali serta kajian kes serantau.
Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta didedahkan kepada aplikasi praktikal GeoAI dalam memperkukuh perancangan telekomunikasi, menyokong penggubalan dasar berasaskan data dan memperluas keterangkuman digital, selain mula membangunkan penyelesaian inovatif bagi meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh daya tahan terhadap bencana dan mengoptimumkan perancangan infrastruktur di seluruh ASEAN.
Program itu akan diteruskan menerusi Bootcamp 2 yang dijadualkan berlangsung dari 21 Julai 2026 hingga 23 Julai 2026 bagi memperkukuh keupayaan teknikal peserta, memperhalusi penyelesaian GeoAI yang dibangunkan serta membuat persediaan menghadapi fasa hackathon.
Fasa hackathon tersebut akan memberikan peluang kepada peserta menterjemahkan idea kepada penyelesaian inovatif yang mampu menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti di seluruh ASEAN.
Penganjuran ASEAN GeoAI Fusion 2026 mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh kerjasama digital serantau dan melahirkan bakat masa hadapan yang berupaya memanfaatkan teknologi baharu untuk menghasilkan impak yang bermakna, di samping menyokong aspirasi ASEAN untuk membina sebuah rantau yang lebih saling berhubung, berdaya tahan dan inklusif dari segi digital melalui pemerkasaan teknologi GeoAI.