Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Forum Kebangsaan 2026: Pengukuhan Pengurusan Data dan Konservasi Marin di Malaysia menghimpunkan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, pertubuhan masyarakat sivil dan pengamal konservasi bagi memperkukuh pengurusan data marin, memperluas Kawasan Perlindungan Marin serta merangka hala tuju strategik konservasi marin negara.
Forum tersebut dianjurkan bersama-sama Jabatan Perikanan Malaysia, WWF–Malaysia, Reef Check Malaysia dan Persatuan Sains Marin Malaysia sebagai platform memperkukuh kerjasama nasional dalam pengurusan data marin serta menetapkan keutamaan bagi memandu peluasan dan pengurusan Kawasan Perlindungan Marin yang lebih berkesan.
Malaysia mempunyai wilayah laut yang meliputi lebih 50 peratus daripada keluasan negara, namun hanya kira-kira lima peratus daripada kawasan perairannya kini berada di bawah perlindungan.
Negara sedang mempercepat peluasan dan pengurusan kawasan marin yang dipulihara bagi memenuhi komitmen konservasi pada peringkat nasional dan global, di samping menjamin kelestarian sumber perikanan, perlindungan pesisir pantai, biodiversiti dan ekonomi biru.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain berkata, usaha memperkukuh konservasi marin memerlukan lebih daripada sekadar melindungi lautan, sebaliknya bergantung pada keputusan berasaskan sains yang diyakini, tindakan yang diselaraskan dan perkongsian strategik yang kukuh.
Katanya,
Forum ini telah menghimpunkan institusi yang sewajarnya untuk memperkukuh kerjasama, menyelaraskan keutamaan negara dan menetapkan tindakan praktikal yang menyokong pengurusan berkesan Kawasan Perlindungan Marin, di samping menyumbang kepada komitmen konservasi Malaysia.
Forum itu turut mengiktiraf bahawa Malaysia memiliki pelbagai data marin yang dikumpulkan oleh agensi dan institusi berbeza, namun data tersebut masih berpecah-pecah merentas pelbagai platform dan sektor.
Bagi merapatkan jurang berkenaan, para peserta forum berkongsikan pangkalan data sedia ada yang merangkumi maklumat spatial alam sekitar, rekod biodiversiti dan pelbagai maklumat lain sehingga menghasilkan gambaran keseluruhan bersepadu pertama mengenai landskap maklumat marin Malaysia merentas organisasi.
Dalam forum tersebut juga, para peserta turut mengenal pasti peluang memperkukuh kerjasama melalui penambahbaikan mekanisme perkongsian data, peningkatan penyeragaman, penyelarasan antara organisasi serta pengukuhan kerjasama melibatkan kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sains Marin Malaysia, Encik Affendi Yang Amri berkata, sains yang berkualiti bermula dengan data yang berkualiti, maka perkongsian data dan kerjasama rentas institusi menjadi semakin penting ketika ekosistem marin berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks.
Menurut beliau, forum itu turut menegaskan kepentingan menghubungkan penyelidikan saintifik dengan dasar bagi memastikan hasil penyelidikan dan pemantauan menyokong secara langsung proses membuat keputusan.
Forum berkenaan turut menyelaraskan pandangan pihak berkepentingan mengenai hala tuju nasional perlindungan marin serta mengenal pasti bidang keutamaan bagi memandu pelaksanaan Pelan Induk MyMPA (MyMPA Blueprint), iaitu kerangka strategik nasional yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi merancang, memperluas dan memperkukuh pengurusan rangkaian Kawasan Perlindungan Marin negara.
Forum berkenaan juga menyokong pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming–Montreal, termasuklah sasaran global 30×30 yang menetapkan pemuliharaan 30 peratus kawasan pesisir pantai dan marin menjelang tahun 2030.
Para peserta dalam forum itu turut mengenal pasti tindakan keutamaan bagi jangka masa pendek dan sederhana untuk setiap bidang tematik, selain memperjelas peranan agensi persekutuan, kerajaan negeri, institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan serta rakan kerjasama lain dalam memperkukuh pengurusan Kawasan Perlindungan Marin Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Reef Check Malaysia, Julian Hyde berkata, forum itu menegaskan kepentingan menghubungkan dasar negara dengan pelaksanaan di lapangan menerusi penyelarasan yang lebih baik antara organisasi serta penggunaan data saintifik dalam proses membuat keputusan.
Ujarnya, pendekatan tersebut mampu memberikan manfaat jangka masa panjang kepada biodiversiti marin, sektor perikanan dan komuniti pesisir.
Pengarah Konservasi WWF–Malaysia, YBrs. Dr. Jason Hon pula berkata, hasil forum membuktikan bahawa kejayaan konservasi marin bergantung pada tindakan kolektif semua pihak.
Menurut beliau, penambahbaikan pengurusan data marin dan pengukuhan keberkesanan Kawasan Perlindungan Marin akan menjadi asas kepada pembentukan lautan yang lebih sihat, komuniti pesisir yang lebih berdaya tahan serta pembangunan ekonomi biru yang mampan.
Forum berkenaan berakhir dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama rentas institusi, menyelaras tindakan bagi meningkatkan pengurusan data marin dan memperkukuh keberkesanan Kawasan Perlindungan Marin, sekali gus mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam Segi Tiga Terumbu Karang serta menyokong pencapaian sasaran global 30×30.