Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi Program Jangkauan STEM di Penang Free School, sekali gus menyokong agenda nasional memperkukuh pembangunan bakat STEM.
Program yang bertemakan “Membangun Bakat STEM Masa Hadapan” itu melibatkan pelajar tingkatan satu dan bertujuan untuk memperluas literasi STEM melalui pendedahan awal kepada aplikasi sains dan teknologi dalam kehidupan sebenar.
Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Dasar STEM Negara, Pelan Tindakan Bakat STEM Malaysia 2021–2030 dan Ekonomi MADANI yang memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi berteraskan inovasi dan teknologi.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Dr. Ir. Abdul Rahman Mohamed yang menyampaikan amanat kepada para pelajar mengenai kepentingan sikap ingin tahu, keberanian bertanyakan soalan serta pemikiran kritis sebagai asas melahirkan generasi inovator.
Menurut beliau,
Setiap penemuan saintifik dan inovasi bermula daripada rasa ingin tahu, maka budaya berfikir secara kritis dan mencari penyelesaian perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.

Sepanjang program itu berlangsung, penyelidik PKTAAB–USM memperkenalkan aplikasi fizik perubatan, teknologi kesihatan dan inovasi peranti perubatan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi membolehkan pelajar memahami cara konsep STEM diaplikasikan dalam diagnosis penyakit, rawatan pesakit, pembangunan peranti perubatan dan sistem penjagaan kesihatan moden.
Seterusnya, ceramah bertajuk “Kerjaya dan Kesedaran STEM“ juga telah disampaikan oleh Pensyarah Universiti (Fizik Perubatan), YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon yang memperkenalkan pelajar kepada perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi, pengkomputeran kuantum, teknologi angkasa, hospital pintar dan kembar digital yang dijangkakan menjadi pemacu utama ekonomi serta pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
Katanya,
Perubahan teknologi global mewujudkan pelbagai kerjaya baharu yang memerlukan penguasaan STEM, di samping kemahiran berfikir secara kritis, kreatif, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

Tambah beliau, generasi muda pada hari ini bukan sekadar perlu mahir menggunakan teknologi, malah perlu bersedia menjadi pencipta teknologi yang akan membentuk dunia pada masa hadapan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia sedang memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang strategik seperti AI, semikonduktor, robotik, keselamatan siber, teknologi hijau, bioperubatan dan kesihatan digital yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara serta menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab ekonomi digital, teknologi maju dan inovasi di rantau ini.
Antara topik yang diketengahkan dalam program itu termasuklah teknologi pengimejan perubatan, aplikasi AI dalam diagnosis penyakit, penggunaan robotik dalam pembedahan, teknologi radioterapi moden serta pembangunan inovasi peranti perubatan yang meningkatkan keselamatan, ketepatan dan keberkesanan rawatan pesakit.
Menurut YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon lagi, pendekatan pembelajaran secara amali penting dalam meningkatkan minat pelajar terhadap STEM kerana mereka dapat menghubungkan teori yang dipelajari di bilik darjah dengan aplikasi sebenar dalam pelbagai bidang termasuklah kesihatan, teknologi, kejuruteraan, AI, robotik dan kelestarian alam.

Program berkenaan turut membuka ruang interaksi antara para pelajar dengan pensyarah, saintis dan penyelidik universiti bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang peluang melanjutkan pengajian dan kerjaya dalam bidang berteknologi tinggi.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen PKTAAB–USM dalam melaksanakan pemindahan ilmu kepada masyarakat menerusi aktiviti jangkauan yang menghubungkan penyelidikan universiti dengan pendidikan sekolah.
Usaha tersebut turut menyokong hasrat negara meningkatkan penyertaan pelajar dalam aliran STEM bagi memperkukuh bekalan bakat tempatan yang diperlukan untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat, transformasi digital dan pembangunan industri berteknologi tinggi.
Melalui program seperti ini, lebih banyak pelajar diharapkan memilih laluan dalam bidang STEM dan seterusnya muncul sebagai saintis, jurutera, doktor, pakar AI, penyelidik serta inovator yang akan memacu pembangunan negara pada masa hadapan.