Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Kikir – Teknologi penternakan lalat tentera hitam diperkenalkan sebagai pendekatan inovatif dalam pengurusan sisa organik serta berpotensi membuka peluang penjanaan pendapatan baharu kepada komuniti orang asli di Kampung Guntur, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Inisiatif berteraskan ekonomi kitaran itu dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Ilmu anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.
Program tersebut selaras dengan aspirasi pembangunan yang mampan melalui penerapan teknologi mesra alam yang memanfaatkan sisa organik sebagai sumber bernilai, selain memperkukuh keupayaan komuniti setempat dalam bidang penternakan lalat tentera hitam.
Pada peringkat global, penternakan lalat tentera hitam kini semakin mendapat perhatian kerana keupayaannya mengitar semula sisa makanan dan pertanian menjadi sumber protein bernilai tinggi untuk makanan ternakan, baja organik serta pelbagai produk lestari yang lain.
Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta diberikan pendedahan komprehensif secara teori dan amali tentang keseluruhan kitaran hidup serangga, penyediaan bekas ternakan, pengurusan induk dan telur, penjagaan larva, pemilihan sumber makanan hingga teknik penuaian serta penghasilan baja organik.
Menurut pihak penganjur, teknologi penternakan bukan sekadar mampu mengurangkan lambakan sisa organik di tapak pelupusan, malah mampu menghasilkan produk hiliran bernilai tambah yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah.

Program pembelajaran berasaskan komuniti ini menjadi platform strategik bagi FSK, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam untuk memindahkan kepakaran akademik dan hasil penyelidikan secara terus kepada masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi universiti untuk menunaikan tanggungjawab sosial serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Sifar Kelaparan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).
Melalui perkongsian ilmu ini, orang asli di Kampung Guntur diharapkan dapat mengusahakan perusahaan lalat tentera hitam, selain mampu memperkasakan sistem pengurusan sisa setempat serta berupaya membuka rantaian ekonomi baharu demi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.