Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan akan melaksanakan Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam (LSS6) bagi mempercepat peralihan tenaga negara serta meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) secara berterusan.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan, LSS6 ini dilaksanakan dengan jumlah penawaran kuota sebanyak 2500 megawatt (MW) solar bersekali dengan sistem penyimpanan tenaga (BESS), iaitu 1250 MW dan 150 MW solar khusus bagi syarikat bumiputera di Semenanjung Malaysia.
“Pelaksanaan LSS6 merupakan kesinambungan kepada kejayaan program LSS terdahulu yang telah memperkukuh pembangunan industri solar tempatan serta menurunkan kos penjanaan elektrik melalui mekanisme bidaan yang telus dan berasaskan pasaran,” katanya.
LSS6 akan dilaksanakan melalui tiga pakej yang membolehkan penyertaan syarikat di bawah program ini menjadi lebih meluas, iaitu Pakej 1 yang menawarkan pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka kepada semua pemaju dengan kapasiti 2200 MW solar dan 1100 MW BESS.
Pakej 2 pula menawarkan pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka bumiputera dengan kapasiti 300 MW solar dan 150 MW BESS, manakala Pakej 3 pula menawarkan pelaksanaan solar bumiputera tanpa BESS dengan kapasiti sebanyak 150 MW solar.
Kerajaan turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan dasar bagi pelaksanaan LSS6 dalam usaha memastikan penawaran kapasiti dilaksanakan secara adil, telus dan berdaya saing.
“Antara penambahbaikan tersebut termasuklah tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 60 MW hingga 500 MW bagi Pakej 1 dan Pakej 2; tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 10 MW hingga 30 MW bagi Pakej 3 dan pembangunan loji solar berskala besar secara hibrid bersama-sama BESS bagi meningkatkan kestabilan, fleksibiliti serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negara,” maklumnya.
Pembida juga hendaklah mempunyai pengalaman dalam pembangunan projek solar, manakala pengalaman dalam projek BESS tidak diwajibkan dan pembida yang menggunakan produk TBB seperti modul solar fotovolta yang dihasilkan secara domestik akan diberikan keutamaan.
Penambahbaikan lain adalah dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan projek di kawasan strategik yang mempunyai pertumbuhan permintaan elektrik yang tinggi, khususnya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia bagi mengoptimumkan perancangan penjanaan dan sistem penghantaran elektrik negara.
PETRA berkata, program LSS6 dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat dengan sasaran tarikh operasi komersial selewat-lewatnya pada 31 Disember 2029.
Pelaksanaan ini dijangkakan menarik pelaburan swasta sekitar RM13 bilion hingga RM15 bilion serta mewujudkan hingga 15 000 hingga 20 000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan dan pembinaan projek.
Program ini juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekitar 2.6 juta tan setahun, sekali gus menyokong komitmen negara ke arah peralihan tenaga rendah karbon dan pencapaian sasaran pembangunan mampan negara.
Program khas bagi pemaju solar bumiputera bakal dilaksanakan secara berasingan di bawah Pakej 3 dengan kapasiti sebanyak 150 MW dan program ini tidak melibatkan pemasangan BESS serta tertumpu kepada kapasiti berskala kecil, iaitu antara 10 MW hingga 30 MW.
Program di bawah Pakej 3 ini diwujudkan bertujuan untuk menggalakkan penyertaan syarikat kecil bumiputera yang berminat untuk menceburi dan berkecimpung dengan industri tenaga, khususnya tenaga boleh baharu dengan jangkaan dapat memberikan peluang pelaburan kepada syarikat bumiputera dengan jumlah hampir RM500 juta.
Dokumen Request for Proposal (RFP) bagi Program Pelaksanaan Solar Bumiputera dan LSS6 akan dilaksanakan seperti Pakej 1 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka dengan kapasiti 2200 MW solar dan 1100 MW BESS bermula pada 27 Julai hingga 7 Ogos 2026.
Pakej 2 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka bumiputera dengan kapasiti 300 MW solar dan 150 MW BESS bermula pada 27 Julai hingga 7 Ogos 2026, manakala Pakej 3 RFP: Pelaksanaan Solar Bumiputera tanpa BESS dengan kapasiti sebanyak 150 MW solar sahaja bermula pada 17 hingga 28 Ogos 2026.
Kesemua dokumen RFP berkenaan boleh dibeli di Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga.
PETRA komited dalam memastikan pelaksanaan LSS6 dilaksanakan secara telus, berdaya saing dan memberikan manfaat menyeluruh kepada negara, terutamanya melalui pembangunan tenaga demi memperkukuh teras kemampanan dari sudut sektor tenaga menerusi konsep Malaysia MADANI.