Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Sebanyak 23 orang pakar dari agensi kerajaan, sektor industri dan institusi akademik berganding bahu bersama-sama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Forum Kesihatan Bandar 2026 bagi merumuskan strategi menangani cabaran kesihatan dan kelestarian bandar.

Barisan penilai undangan, pensyarah dan mahasiswa UiTM yang menyertai Forum Kesihatan Bandar 2026 secara dalam talian.

Forum yang bertemakan Sustainable Cities, Healthier Futures dan berlangsung secara dalam talian itu dianjurkan oleh pelajar Program Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Malaysian Association of Environmental Health (MAEH), International Federation of Environmental Health dan Pejabat Parlimen Klang serta dirasmikan oleh Ahli Parlimen Klang, Yang Berhormat Tuan Ganabatirau Veraman.

Program berimpak tinggi itu dibimbing oleh Penasihat Program, YBrs. Profesor Madya Dr. Farah Ayuni Shafie bersama-sama Setiausaha Kehormat MAEH, Ts. Rudiaswady Abdul Rahim, sekali gus menjadi platform menghimpunkan kepakaran pelbagai sektor untuk merangka strategi mitigasi risiko persekitaran bandar yang semakin kompleks.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Farah Ayuni, penganjuran forum tersebut membuka peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kaedah penyelidikan, memperkukuh kemahiran komunikasi kritikal serta membina keupayaan kepimpinan menerusi pengurusan program yang melibatkan pelbagai pihak.

Sebagai persediaan forum, empat sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus telah diadakan pada 29 dan 30 Jun 2026 lalu bagi meneliti evolusi corak risiko persekitaran bandar sebelum hasil perbincangan dibentangkan dalam empat domain utama.

Barisan ahli panel ketika sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus yang diadakan bagi meneliti evolusi corak risiko persekitaran bandar.

Domain bencana kimia yang dianggotai oleh enam orang ahli panel memberikan tumpuan kepada pengurusan risiko bahan kimia berbahaya, termasuklah isu metanol di Klang serta aplikasi kerangka PREDICT bagi memperkukuh sistem amaran awal yang melibatkan wakil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, MAEH, Advanced HSE Solutions Sdn. Bhd., Universiti Tunku Abdul Rahman dan UiTM.

Domain banjir bandar pula membincangkan keberkesanan pendekatan Sponge City dalam menangani peningkatan kejadian banjir di Klang serta kesannya terhadap kesihatan fizikal dan mental komuniti yang disertai oleh wakil dari KDEB Waste Management, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia, m-CREST dan Ktas Resources.

Bagi domain sisa tekstil, tujuh orang ahli panel membincangkan cabaran lambakan sisa pakaian di Malaysia yang dianggarkan mencecah 400 000 tan setahun serta keperluan mempercepat pelaksanaan model ekonomi kitaran yang melibatkan wakil dari KDEB Waste Management, MASMA Safety, SWCorp Malaysia, Kloth Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan UiTM.

Seterusnya, domain e-sisa memfokuskan ancaman peningkatan sisa elektronik, khususnya larian bahan toksik daripada bateri kenderaan elektrik serta pengukuhan pelaksanaan dasar Extended Producer Responsibility yang disokong oleh kepakaran dari wakil Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, TM Enviro Industries Sdn. Bhd., Shan Poornam Metals Sdn. Bhd. dan UiTM.

Secara keseluruhannya, forum ini menegaskan bahawa usaha membangunkan bandar yang lestari memerlukan pengukuhan perundangan, pemantauan bersepadu serta peningkatan kesedaran masyarakat bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.

Maklumat lanjut mengenai Program Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran secara kerja kursus boleh diperoleh menerusi laman sesawang UiTM.

Mahasiswa Program Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran dan pensyarah dari FSK, UiTM Kampus Puncak Alam.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi