Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Teknologi Pertahanan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi memperkukuh inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertahanan negara, selaras dengan keperluan mendepani ancaman moden yang semakin bersifat asimetrik serta berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan sistem tanpa pemandu.
Cadangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pertahanan dalam ucaptama beliau menerusi Forum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bertajuk “Shaping the Future Force – AI & Cybersecurity as the Vanguard of National Digital Defence” bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026.
Menurut beliau, Malaysia perlu memperluas keupayaan Angkatan Tentera Malaysia ke domain siber dan elektromagnetik, selari dengan Kertas Putih Pertahanan, selain melabur dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang AI, keselamatan siber, dron, sistem tanpa pemandu, roket dan misil.
Pusat Kecemerlangan yang dicadangkan itu akan berfungsi sebagai hab R&D yang menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri pertahanan, dengan fokus utama membangunkan ekosistem penyelidikan yang kukuh berasaskan keupayaan semasa serta pelan hala tuju yang jelas.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekosistem pertahanan siber yang berdaya tahan memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan akademia, termasuklah UPNM, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara serta agensi berkaitan.
“Ancaman siber akan terus berkembang, jadi kesiapsiagaan negara mestilah dilaksanakan secara berterusan, proaktif dan melibatkan seluruh sektor masyarakat demi memperkukuh keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
Melalui inisiatif ini, Malaysia dijangkakan mampu melahirkan bakat baharu yang kompetitif serta memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan negara bagi menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.
Forum tersebut turut menampilkan panel pakar termasuklah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM, Laksamana Muda Dato’ Fadhil Abdul Rahman; Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Turbine Asia Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi serta Profesor AI dan Keselamatan Siber UPNM, YBhg. Profesor Ts. Dr. Noor Afiza Mat Razali yang membincangkan aspek strategik, industri dan akademik dalam pembangunan teknologi pertahanan negara.