Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 membuka tirai secara rasminya semalam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sebagai platform utama memperkukuh landskap pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.
Penganjuran edisi ke-19 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menghimpunkan dimensi pertahanan konvensional, teknologi dan aset peperangan moden serta keselamatan dalaman, selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara dalam membangunkan ekosistem pertahanan berdaya saing yang menekankan integrasi teknologi tinggi, termasuklah aset peperangan elektronik terkini.
Pameran yang bersifat dwitahunan ini turut menampilkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan ucaptama dalam Forum Putrajaya bertemakan “ASEAN Security in the Age of Emerging Technologies”, sekali gus mencerminkan kepentingan platform ini dalam memperkukuh hubungan strategik serantau melalui dialog, forum dan mesyuarat pelbagai pihak.
DSA-NatSec Asia 2026 menjadi medan pertukaran teknologi pertahanan dengan penyertaan kira-kira 1400 syarikat antarabangsa dari lebih 60 negara, termasuklah Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, Perancis, Korea Selatan, India, Kazakhstan, Indonesia dan Singapura.
Pameran yang dijangkakan menarik lebih daripada 50 ribu orang pengunjung itu turut berperanan sebagai pemangkin pemindahan teknologi serta perkongsian kepakaran dalam sektor keselamatan dan pertahanan, selain membuka ruang kepada industri tempatan mempamerkan inovasi pada peringkat antarabangsa serta mengukuhkan komitmen Malaysia dalam mendepani cabaran keselamatan global yang semakin dinamik.