Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – UzmaSAT-1, iaitu satelit penderiaan jauh beresolusi tinggi pertama buatan Malaysia berjaya dilancarkan ke orbit rendah bumi pada Rabu yang menandakan satu lonjakan besar ke arah kedaulatan teknologi negara.

Pelancaran satelit ini menggunakan roket Falcon 9 Transporter 12 SpaceX dari Vandenberg Space Force Base, AS, sekali gus menandakan UzmaSAT-1 sebagai satelit ke-13 di bawah pengawasan Malaysia.

UzmaSAT-1 yang mempunyai resolusi spatial sehingga 50 sentimeter dan lebar liputan lapan kilometer direka untuk menghasilkan data berkualiti tinggi yang disesuaikan khusus untuk liputan geografi Malaysia.

Satelit ini dilengkapi dengan kamera multispektral canggih dan mampu melakukan hingga tujuh lawatan harian ke lokasi yang sama, lalu  memberikan data terkini dengan ketepatan yang tinggi.

Pada ketinggian operasi 470km, UzmaSAT-1 turut menawarkan kawalan penugasan penuh yang membolehkan Malaysia mengawal sepenuhnya pengumpulan data satelit ini tanpa bergantung pada pihak luar.

Satelit seberat 45.4 kilogram ini juga mampu menyediakan data permukaan bumi beresolusi tinggi dan memberikan impak signifikan bagi meningkatkan pemantauan keselamatan, sekuriti Makanan dan pertahanan negara.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan dalam akaun media sosial Facebook menyatakan, “Seiring dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), kejayaan pelancaran satelit ini akan memperkukuh potensi keupayaan dan kepakaran tempatan dalam teknologi angkasa selain mendorong pemain industri tempatan untuk meneroka potensi baharu agar Malaysia boleh beralih daripada negara pengguna teknologi angkasa kepada negara pencipta teknologi angkasa.”

Satelit ini juga diyakini akan mampu memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti pengurusan bencana, pemantauan perubahan iklim, perancangan bandar pintar dan pertanian tepat.

Data daripada UzmaSAT-1 juga akan melalui proses kalibrasi atmosfera tempatan untuk memastikan ketepatan tinggi di kawasan tropika.

Teknologi dan data dari satelit ini juga diyakini akan menjadi pemangkin kepada teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin berasaskan data geospatial, sekali gus membuka peluang inovasi baharu dalam analisis geospatial negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Encik Mohammad Fadhli Jamaluddin yang memainkan peranan penting dalam pelancaran satelit ini juga menyatakan harapan agar pencapaian ini dapat memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk meyakini bahawa segalanya mampu dicapai dengan dedikasi, usaha dan semangat yang tinggi.

Uzma Berhad, iaitu syarikat di sebalik pembangunan satelit ini menyifatkan pelancaran UzmaSAT-1 sebagai pencapaian penting dalam usaha membina ekosistem teknologi angkasa tempatan yang berdaya saing pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi