9 Mei 2024, 08:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bentuk dos ubat yang paling popular dan sering menjadi pilihan dalam kalangan pesakit ialah tablet dan kapsul. Namun demikian, masalah mungkin timbul kepada pesakit yang tidak boleh menelannya. Ketidakupayaan untuk menelan tablet atau kapsul boleh disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah perasaan takut tercekik, mulut kering atau mengalami keadaan kesukaran menelan yang dikenali sebagai disfagia.

Pada kebiasaannya, kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang menghadapi masalah untuk menelan ubat. Oleh sebab itu, pesakit, penjaga atau ahli profesional kesihatan seperti ahli farmasi dan jururawat memerlukan pilihan untuk memastikan pemberian ubat dapat dilakukan dengan berkesan. Satu daripada alternatif yang dipertimbangkan adalah dengan menghancurkan ubat-ubatan.

Kesan Menghancurkan Ubat-ubatan

Walaupun kaedah menghancurkan ubat boleh dipertimbangkan dalam situasi pesakit sukar untuk menelan ubat, namun pilihan jenis ubat berbentuk tablet yang boleh dihancurkan perlu diambil kira. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua tablet wajar dan selamat untuk dihancurkan. Kebanyakan ubat tidak boleh dihancurkan kerana mempunyai formulasi khusus seperti yang berikut:

Tablet dengan formulasi pelepasan khusus

Tablet yang tergolong dalam kumpulan ini diformulasikan dengan beberapa lapis salutan yang membolehkan bahan aktif dapat dilepaskan secara berperingkat. Antara beberapa formulasi yang dikategorikan sebagai ubat dengan pelepasan khusus termasuklah pelepasan beransur (sustained-release), modified-release, pelepasan terkawal (controlled-release) dan lepas perlahan (slow-release). Tindakan menghancurkan tablet dalam kumpulan ini akan mengubah kadar pelepasan ubat dan berisiko menyebabkan dos berlebihan.

Tablet salutan enterik

Salutan enterik yang diformulasikan pada sesetengah ubat bertujuan mengurangkan risiko iritasi pada salur pencernaan dan mengelakkan bahan aktif dimusnahkan dengan lebih cepat oleh asid perut. Salutan enterik juga berperanan melindungi bahan aktif ubat agar pelepasan bahan aktif hanya berlaku di dalam usus kecil. Tindakan menghancurkan tablet akan menyebabkan salutan enterik musnah dan tidak dapat berfungsi seperti yang dikehendaki.

Tablet bersalut gula atau filem

Pada kebiasaannya, tablet mempunyai salutan gula atau filem di sekelilingnya untuk menambah baik rasa dan menjadikannya lebih mudah untuk ditelan. Tablet jenis ini lazimnya mempunyai rasa yang sangat tidak enak jika dihancurkan.

Tablet sublingua dan berbuak

Tablet sublingua dilarutkan dan terus diserap melalui salur darah di bawah lidah, manakala tablet berbuak perlu dilarutkan di dalam air sebelum pengambilannya. Jika kedua-dua formulasi tablet ini dihancurkan, maka keberkesanan ubat akan berkurangan.

Tablet sitotoksik

Tablet atau kapsul oral untuk tujuan kemoterapi yang bersifat sitotoksik tidak boleh dibuka atau dihancurkan. Tindakan ini bukan sahaja dapat mempengaruhi keberkesanan ubat, malah meningkatkan risiko pendedahan terhadap kesan sitotoksik kepada pesakit dan penjaga.

Kapsul

Ubat jenis kapsul tidak seharusnya dibuka dan kandungan ubat di dalamnya dikeluarkan. Amalan ini tidak digalakkan kerana serbuk ubat dikhuatiri akan melekat dan tertinggal di dalam sarung kapsul. Hal ini akan mengakibatkan pesakit tidak memperoleh dos yang sepatutnya untuk rawatan mereka.

Selain itu, terdapat juga kapsul yang mengandungi ubat dalam bentuk butir halus yang dirumus dengan pelepasan bahan aktif yang diubah suai. Butir halus ini tidak boleh dikeluarkan daripada sarung kapsul atau dilarutkan di dalam air kerana berisiko menjejaskan keberkesanannya.

Panduan Mudah Menelan Ubat

Terdapat beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan untuk membantu pesakit menelan tablet. Pertama sekali, pesakit harus mengelak daripada menelan tablet tanpa air. Menelan tablet boleh menjadi lebih mudah jika dilakukan dengan tegukan air yang secukupnya.

Selain itu, elakkan meletakkan tablet yang hendak ditelan terlalu jauh ke dalam mulut (hingga menghampiri tekak) dan terlalu mendongakkan kepala ke belakang kerana kedua-duanya dapat membuatkan proses menelan menjadi lebih sukar.

Pesakit juga boleh berlatih menelan tablet dengan menggunakan makanan seperti roti. Pesakit, khususnya kanak-kanak boleh diajar menelan tablet dengan menggunakan roti yang dibentukkan menjadi bebola halus seperti pil. Mulakan dulu dengan saiz yang kecil dan kemudiannya cuba untuk menelan bebola roti yang lebih besar. Namun demikian, pesakit yang sememangnya menghadapi masalah menelan (disfagia), kaedah ini tidak disyorkan kerana berisiko menyebabkan mereka tercekik.

Sesetengah ubat juga boleh diambil dengan makanan lain yang bersesuaian. Sebagai contohnya, menelan tablet dengan sedikit jeli atau puding yang lembut dapat membantu proses menelan ubat. Pada masa yang sama, cara ini dapat mengurangkan rasa ubat yang tidak menyenangkan.

Bukan itu sahaja, motivasi secara psikologi juga dapat membantu sesetengah kumpulan pesakit, terutamanya kanak-kanak. Pujian dan pemberian hadiah selepas kanak-kanak berjaya menelan tablet dapat membantu mengurangkan halangan psikologi untuk menelan tablet pada masa akan datang.

Nasihat kepada Pesakit

Pesakit dinasihatkan agar tidak menghancurkan tablet atau kapsul sebelum berbincang dengan doktor atau ahli farmasi. Dapatkan nasihat berkaitan dengan cadangan bentuk dos ubat yang boleh dijadikan alternatif. Sekiranya tiada ubat jenis cecair yang bersesuaian, pesakit perlu mendapatkan penerangan daripada doktor atau ahli farmasi mengenai cara yang paling selamat untuk menghancurkan tablet. Maklumkan juga kepada doktor yang merawat jika mengalami sebarang masalah untuk menelan ubat agar alternatif yang bersesuaian dapat dikenal pasti.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Syafi’ah Bakaruddin,
Pegawai Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.