Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArtikel ini diterbitkan bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Transformasi Sedunia 2024 yang disambut pada 17 Mei pada setiap tahun.
Penggunaan alat kelui atau dikenali sebagai pager sangat popular sebelum wujudnya telefon bimbit sekitar tahun 2000 di negara ini. Sebelum tahun 1970-an hingga lewat tahun 1990-an, alat komunikasi sehala ini digunakan oleh pelbagai pihak, termasuklah agensi kerajaan dan syarikat besar. Namun begitu, alat kelui di Malaysia tidak digunakan secara meluas untuk kegunaan peribadi melainkan terhad untuk urusan rasmi atau keperluan tugasan sahaja.
Alat kelui ialah peranti komunikasi asas tanpa wayar yang memaparkan pesanan bertulis seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit. Alat ini menggunakan frekuensi ultra tinggi (UHF) dalam julat 300 megahertz (Mhz) hingga 460 Mhz.
Selepas menerima sesuatu pesanan, pengguna alat kelui perlu menggunakan telefon awam atau pejabat jika ingin membalas pesanan yang diterima. Pada ketika itu, pilihan terbaik pengguna alat kelui ialah telefon awam yang terletak di tepi jalan.
Alat kelui analog yang pertama telah dipatenkan pada tahun 1949 oleh Alfred J. Gross dan menjadi perkhidmatan “paging” paling praktikal yang pertama dilancarkan di Banda Raya New York pada tahun 1950. Pada peringkat permulaan, alat ini digunakan oleh para doktor dan petugas hospital untuk menerima pesanan penting.
Para doktor di New York yang menggunakan alat kelui dikenakan caj bulanan kira-kira USD12. Antara kemampuan alat kelui tersebut termasuklah boleh mempamerkan mesej berupa angka sahaja.
Versi yang dipertingkatkan pula boleh menghantar pesanan abjad dan angka. Jarak capaiannya kira-kira 40 kilometer daripada peranti pemancarnya (transmitter). Alat kelui peranti penerima (receiver) yang bersaiz kecil seberat kira-kira 200 gram hingga 300 gram.
Namun demikian, alat kelui konvensional seolah-olah pupus apabila pengguna beralih kepada telefon bimbit pada lewat tahun 1990-an. Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 149,268 pengguna alat kelui abjad angka pada tahun 1996.
Menjelang tahun 2000, majoriti pengguna alat kelui telah beralih kepada telefon bimbit. Fungsi mesej pesanan pada alat kelui yang juga terdapat pada telefon bimbit menyerupai SMS menyebabkan alat itu bukan lagi menjadi pilihan utama.
Sebagai rekod, sistem komunikasi tanpa wayar analog (ETACS) mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1989 dan menjadi antara pengguna sistem mudah alih terbesar di dunia pada ketika itu. Pada tahun 2004, sebanyak 9.5 bilion SMS dengan nilai sebanyak RM5 bilion dihantar dengan menggunakan telefon bimbit oleh pengguna telefon negara ini. Pada ketika itu, telefon bimbit belum mempunyai kemudahan aplikasi seperti Whatsapp dan seumpamanya.
Di Jepun, zaman kegemilangan alat kelui atau dalam bahasa tempatan dipanggil poke-beru bermula pada tahun 1996 dengan lebih daripada 10 juta pengguna. Namun begitu, disebabkan oleh kehilangan pengguna secara mendadak, pengendalinya, iaitu Tokyo Telemessage telah menamatkan perkhidmatan kelui di Tokyo dan tiga daerah sekitarnya pada tahun 2019 yang pada masa itu mempunyai sebanyak 1500 pengguna sahaja.
Sementara itu, syarikat telekomunikasi utama Jepun, iaitu Nippon Telegraph and Telephone (NTT) yang pernah memperkenalkan perkhidmatan kelui pada tahun 1968 menghentikan khidmat sistem pesanan itu lebih awal, yakni pada tahun 2007. Secara umumnya, alat kelui digunakan oleh penduduk Jepun, terutamanya pelajar sekolah menengah dan kolej selama 50 tahun dan kemudiannya beralih kepada telefon bimbit.
Walau bagaimanapun, masih terdapat kira-kira dua juta pengguna alat kelui di seluruh dunia yang digunakan dalam perkhidmatan strategik dan kritikal untuk tujuan khusus di sektor keselamatan awam dan hospitaliti sebagai alat perhubungan kedua. Hal ini terjadi kerana faktor teknikal seperti liputan sistem kelui tidak mudah terganggu dengan peralatan tanpa wayar yang lain di samping isyaratnya yang konsisten berbanding dengan penggunaan telefon selular.
Gelombang frekuensi alat kelui juga boleh menembusi halangan konkrit yang isyarat telefon bimbit atau telefon pintar mungkin tidak boleh lakukan. Apabila peranti lain gagal, alat kelui yang dikuasakan oleh bateri kering boleh digantikan semasa bekalan elektrik terputus dan tidak bergantung pada sambungan Internet atau rangkaian selular. Oleh sebab itu, dalam sektor tertentu, alat kelui oleh petugas trafik dan teknikal di dalam terowong.
Alat kelui hanya menggunakan sebanyak satu biji bateri kering bersaiz AA. Kuasanya juga boleh bertahan sehingga sebulan. Walau bagaimanapun, antara kelemahan alat kelui analog ialah mesejnya boleh dipintas.
Oleh hal yang demikian, alat ini tidak sesuai digunakan untuk menghantar pesanan yang sangat sulit. Panjang mesejnya pula hanya sekitar 160 aksara. Pengguna kelui lazimnya menggunakan alat tersebut untuk berkongsi arahan kerja atau perkongsian maklumat dalam kumpulan kerja sahaja.
Di Amerika Syarikat, walaupun Motorola Inc. menghentikan pengeluaran alat kelui pada tahun 2001, namun alat itu masih dikilangkan oleh Spok Paging Services di Amerika Syarikat. Syarikat ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kelui yang ditingkatkan dengan menggunakan sistem T5 GenA, termasuklah sistem kelui sehala, dua hala dan kelui yang disulitkan (encrypted). Kebanyakannya digunakan untuk perkhidmatan kritikal tertentu seperti perkhidmatan kesihatan di negara itu dan serantaunya.
Sekadar mengenang zaman kegemilangan alat kelui, antara beberapa syarikat yang popular dalam komunikasi kelui di negara ini termasuklah Hutchison Paging Sdn. Bhd., Komtel Paging Sdn. Bhd., Eazy Call dan beberapa syarikat lain. Kebanyakannya tidak lagi beroperasi atau telah menukar perniagaan kepada bidang lain yang berasaskan teknologi komunikasi semasa.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka, Siti Hajar Abd Aziz ketika dihubungi berkata, “Walaupun penggunaan alat kelui memerlukan kos yang agak tinggi, penggunaannya di hospital memberikan pelbagai kelebihan. Alat kelui memudahkan komunikasi pantas dan cekap dalam kalangan pasukan perubatan, memastikan penjagaan pesakit berjalan dengan lancar dan menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti”.
Katanya lagi, kecepatan dan ketepatan komunikasi melalui alat kelui dapat membawa impak positif kepada operasi hospital, menjadikannya pelaburan yang berbaloi. Selain itu, penggunaannya juga mengekalkan tahap privasi pesakit dengan membolehkan komunikasi peribadi dalam kalangan pasukan kesihatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan pesakit.
Alat Kelui Sebagai “Pelayan” Perkhidmatan
Perubahan teknologi komunikasi pada masa ini menyaksikan alat kelui yang tidak lagi menjadi pilihan telah mengalami penyesuaian teknikal dan digunakan sebagai “pelayan” di restoran atau premis perkhidmatan. Dalam konteks ini, restoran yang menggunakan alat kelui bermakna mengamalkan konsep “pelanggan layan sendiri”. Empunya perniagaan juga telah mengurangkan kebergantungan tenaga manusia seperti pelayan dan pekerja untuk menerima pesanan atau menghantar makanan untuk dihidangkan di kedai masing-masing.
Ketika pelanggan memesan makanan di kaunter, pelanggan akan diberikan sebuah peranti kelui yang bernombor. Apabila pesanan sudah disiapkan, alat kelui tersebut akan berbunyi atau bergetar dan pelanggan perlu ke kaunter untuk mengambil makanan masing-masing. Pelanggan kemudiannya menyerahkan kembali alat kelui kepada petugas kaunter.
Fungsi sistem alat kelui di restoran sedikit berlainan dengan alat kelui konvensional yang digunakan pada peringkat awal untuk menerima mesej. Alat kelui restoran menggunakan frekuensi radio UHF 433 Mhz dan berkesan pada jarak hingga 200 meter di dalam premis dan hingga 500 meter dalam persekitaran bebas tanpa halangan seperti di medan selera dalam pusat membeli belah. Penggunaan alat kelui restoran juga memerlukan seunit peranti pemancar meja (desktop transmitter).
Harga alat kelui kegunaan restoran juga tidak sebegitu mahal dan mampu dimiliki oleh kebanyakan pengusaha. Semakan secara dalam talian menunjukkan sebanyak 10 unit alat kelui dan sebuah peranti pemancar boleh dibeli dengan harga antara RM300 hingga RM500. Harga yang berbeza ini juga bergantung pada jenama dan kepelbagaian fungsi alat kelui itu. Pembekal alat kelui restoran yang berjenama Retekess misalnya telah digunakan oleh lebih 10 juta restoran di seluruh dunia.
Penggunaan Alat Kelui di Hospital
Di kebanyakan negara maju, pengurusan pesakit luar di sesebuah hospital mahupun pesakit yang mendaftar masuk wad diurus dengan menggunakan sistem kelui bagi mengelakkan kesesakan di ruang menunggu. Di samping itu, penggunaan alat kelui juga dapat mengurangkan beban kepada petugas hospital untuk mengurus pergerakan pesakit yang ramai di kawasan hospital.
Apabila seseorang pesakit mendaftar di kaunter pesakit luar atau kaunter farmasi, petugas hospital memberikan alat kelui untuk menggantikan nombor giliran. Sistem tersebut membolehkan pesakit untuk tidak menunggu di ruang menunggu, sebaliknya boleh berada di tempat lain seperti kafeteria, perpustakaan hospital atau melakukan tugasan lain.
Apabila sampai giliran pesakit untuk dirawat oleh doktor, petugas akan memanggil pesakit berkenaan menerusi alat kelui yang telah diberikan. Melalui alat kelui itu, pesakit diberikan maklumat mengenai masa dan tempat atau nombor bilik untuk bertemu dengan doktor atau pegawai farmasi.
Kaedah ini juga dapat merenggangkan seseorang pesakit dengan pesakit lain, lebih-lebih lagi jika seseorang itu mengalami jangkitan penyakit yang boleh merebak dan membahayakan orang lain.
Walaupun konsep asal penggunaan alat kelui telah hampir pupus, namun penggunaan alat kelui generasi baharu dalam industri perniagaan restoran, hospital dan lain-lain mempunyai kelebihan tertentu seperti mengurangkan kos menggaji pekerja, meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa.
Penjimatan Kos
Dalam perniagaan restoran atau kedai makanan, jumlah pelayan yang banyak untuk mengambil atau menghantar pesanan tidak diperlukan lagi. Sebaliknya, pelanggan akan membuat pesanan di kaunter atau mengimbas kod bar.
Pelanggan juga diberikan alat kelui untuk menerima pemberitahuan yang pesanan mereka telah disiapkan. Pekerja pula hanya diperlukan untuk memasak dan mencuci sahaja yang tentunya menjimatkan perbelanjaan pengusaha. Perkembangan ini sedikit sebanyak akan menyaksikan kehilangan besar pekerja dalam sektor tertentu seperti ketiadaan pelayan pelanggan, juruwang dan lain-lain.
Secara keseluruhannya, ledakan teknologi digital terus mempengaruhi kehidupan manusia dari semasa ke semasa. Seiring dengan perkembangan itu, teknologi komunikasi juga berkembang pesat dengan kepelbagaian fungsi dalam sesuatu peranti seperti telefon pintar yang seolah-olah berperanan sebagai “pejabat bergerak” bagi manusia pada masa ini. Kemajuan teknologi ini juga membolehkan kesalinghubungan dilakukan secara mudah dan pantas, sekali gus menjadikan sesuatu interaksi berkesan dan perkongsian yang lancar dalam kalangan penggunanya.
Selamat Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Transformasi Sedunia 2024.