Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi sebalik pelbagai tumbuhan yang subur di bumi ini, terdapat satu pokok yang sering dianggap biasa dan barangkali tidak begitu diperkatakan, namun sebenarnya menyimpan pelbagai khasiat yang luar biasa. Moringa atau dikenali sebagai remunggai merupakan satu daripada tumbuhan yang kaya dengan manfaat kesihatan. Tumbuhan ini bukan sekadar warisan petua nenek moyang, malah kini telah dikaji secara mendalam oleh saintis dari serata dunia. Persoalannya, apakah yang menjadikan pokok berdaun kecil ini begitu istimewa?
Moringa oleifera ialah nama saintifik bagi pokok remunggai dan dipercayai berasal dari kawasan kaki bukit Himalaya di India Utara. Oleh sebab sifatnya yang tahan lasak dalam iklim panas dan kering, remunggai kini ditanam secara meluas merentasi Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin. Di Malaysia, pokok ini mudah ditemui dan sering tumbuh meliar di kawasan kampung dan tepi jalan. Masyarakat tempatan juga mengenalinya sebagai kelor.
Masyarakat India merupakan antara komuniti yang paling lama memanfaatkan remunggai dalam kehidupan harian mereka. Sebelum dikenali sebagai makanan unggul (superfood) dalam kalangan masyarakat Barat, daun dan buah remunggai telah lama menjadi bahan utama dalam masakan tradisional India Selatan seperti Tamil Nadu dan Kerala. Hidangan seperti murungakkai sambar bukan sahaja menjadi juadah harian, malah melambangkan keakraban budaya mereka dengan tumbuhan ini. Di Malaysia, hidangan ini lebih dikenali sebagai kari dal remunggai yang biasanya dimakan bersama dengan nasi putih atau appalam. Selain itu, daun remunggai juga sering dimasak bersama dengan kelapa parut dan ikan bilis, menjadikannya hidangan yang enak untuk dinikmati.
Kecenderungan masyarakat India terhadap remunggai tidak berlaku secara kebetulan. Hal ini berkait rapat dengan falsafah pemakanan Ayurveda yang melihat makanan sebagai sumber keseimbangan tubuh dan kesihatan. Dalam bahasa Tamil, daun ini dikenali sebagai murungai keerai dan dipercayai membantu memanaskan badan, menyokong sistem penghadaman dan membantu pemulihan tenaga. Oleh sebab itu, remunggai sering dimasak bersama dengan bahan lain yang saling melengkapi seperti bawang putih, halia, jintan dan kunyit sebagai gabungan yang bukan sahaja menghasilkan cita rasa yang sedap, malah secara tidak langsung memberikan nutrisi kepada kesihatan badan manusia.
Nilai remunggai tidak hanya terletak pada warisan budaya, tetapi juga pada bukti saintifik yang semakin berkembang. Daun remunggai mengandungi pelbagai nutrien penting yang menjadikannya antara sayuran yang sangat padat nutrisinya. Kajian oleh Fahey (2005) menunjukkan bahawa kandungan vitamin C dalam daun remunggai adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan buah oren. Selain itu, remunggai juga mengandungi kalsium yang lebih tinggi berbanding dengan susu, zat besi yang melebihi bayam serta protein yang signifikan untuk keperluan tubuh. Kandungan vitamin A pula memainkan peranan penting dalam kesihatan mata dan sistem imun manusia.
Lebih menarik lagi, remunggai turut mengandungi kesemua sembilan asid amino perlu yang tidak dapat dihasilkan oleh tubuh manusia secara semula jadi. Menurut Gopalakrishnan, Doriya dan Kumar (2016), hal ini menjadikan remunggai sebagai sumber protein tumbuhan yang lengkap, satu ciri yang jarang-jarang ditemui dalam sumber makanan berasaskan tumbuhan. Keistimewaan ini amat bermakna, khususnya kepada individu yang mengamalkan diet vegetarian atau vegan yang diturut dikenali sebagai pemayur.
Selain nutrien asas, daun remunggai kaya dengan sebatian antioksidan seperti kuersetin, asid klorogenik, beta karotena dan vitamin C. Kajian oleh Vongsak et al. (2013) menunjukkan bahawa ekstrak daun remunggai mempunyai antioksidan yang signifikan, namun tahap keberkesanannya bergantung pada kaedah pemprosesan seperti penggunaan pelarut, suhu dan bentuk penyediaan. Hal ini menunjukkan bahawa cara pengambilan remunggai sama ada segar, dikeringkan atau dijadikan serbuk boleh mempengaruhi nilai khasiatnya.
Selain itu, remunggai turut dikaji kerana sifat antiradangnya. Moyo et al. (2012) mendapati bahawa sebatian bioaktif dalam remunggai berpotensi membantu mengurangkan tindak balas keradangan dalam tubuh sekali gus membuka ruang kepada penggunaannya dalam bidang kesihatan moden.
Dalam konteks tradisional, remunggai juga dikenali sebagai makanan penting bagi ibu selepas bersalin. Kajian oleh Estrella et al. (2000) menunjukkan bahawa pengambilan suplemen daun remunggai dikaitkan dengan peningkatan penghasilan susu dalam kalangan ibu menyusu. Namun begitu, pakar kesihatan menegaskan bahawa penghasilan susu ibu dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kekerapan penyusuan, pengambilan cecair, rehat yang mencukupi dan keadaan emosi ibu. Remunggai hanya bertindak sebagai sokongan khasiat tambahan dan bukannya faktor tunggal semata-mata.
Selain itu, remunggai juga mendapat perhatian dalam penyelidikan berkaitan dengan kawalan paras gula darah. Penyakit kencing manis jenis 2 merupakan satu daripada masalah kesihatan utama di Malaysia. Kajian oleh Ndong et al. (2007) menunjukkan potensi daun remunggai dalam membantu menurunkan paras glukosa darah. Walau bagaimanapun, kajian klinikal masih berada pada peringkat awal. Leone et al. (2015) menekankan keperluan kajian yang lebih meluas dan terkawal sebelum sebarang kesimpulan perubatan dapat diputuskan.
Seiring dengan peningkatan minat terhadap gaya hidup sihat, remunggai kini tidak lagi terhad kepada masakan tradisional, sebaliknya telah diproses menjadi serbuk, kapsul, teh dan pelbagai produk kesihatan moden yang dipasarkan secara global. Serbuk remunggai semakin popular kerana mudah dicampurkan ke dalam makanan harian tanpa mengubah rasa dengan ketara.
Dalam konteks moden, remunggai juga semakin dikenali sebagai sebahagian daripada makanan yang bukan sahaja mengenyangkan, tetapi turut memberikan manfaat kesihatan tambahan. Perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin bergantung pada makanan segera menjadikan remunggai kembali relevan sebagai sumber nutrisi semula jadi yang mudah diperoleh dan harganya yang murah.
Yang menariknya, kajian terkini turut menunjukkan bahawa kaedah pemprosesan memainkan peranan penting dalam mengekalkan khasiatnya. Proses seperti pengeringan pada suhu rendah didapati lebih baik dalam mengekalkan kandungan antioksidan berbanding dengan pemanasan tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa nilai pemakanan remunggai bukan sahaja bergantung pada kandungan zatnya, malah turut dipengaruhi oleh cara remunggai diproses dan disediakan.
Di Malaysia, potensi remunggai masih belum diterokai sepenuhnya. Pokok ini mudah ditanam, cepat membesar dan sesuai dengan iklim tempatan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, inisiatif pertanian juga mula memperkenalkan penanaman remunggai di halaman rumah dan taman komuniti.
Dengan peningkatan kesedaran terhadap pemakanan sihat, remunggai berpotensi menjadi komoditi pertanian bernilai tinggi pada masa hadapan. Selain itu, remunggai juga boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan, tetapi juga sebagai produk eksport jika diproses dengan standard kualiti yang tinggi.
Walaupun remunggai mempunyai pelbagai manfaat, penggunaannya perlu dilakukan secara sederhana dan berhemah. Seperti mana-mana bahan semula jadi lain, pengambilan berlebihan tidak semestinya memberikan kesan yang lebih baik.
Kesimpulannya, remunggai merupakan khazanah hijau yang merangkumi nilai budaya, pemakanan dan sains moden. Daripada dapur sehinggalah ke makmal penyelidikan moden, tumbuhan ini terus membuktikan kepentingannya yang tidak ternilai. Remunggai wajar diberikan perhatian sebagai satu daripada sumber makanan yang mampu menyokong kesihatan manusia secara lebih menyeluruh.
Sebagai masyarakat yang hidup di negara tropika yang kaya dengan biodiversiti, kita sebenarnya bertuah kerana tumbuhan seperti ini tumbuh subur di sekeliling kita. Yang diperlukan hanyalah kesedaran untuk menghargai, memanfaatkan dan memelihara khazanah alam ini agar terus memberikan manfaat kepada generasi akan datang.
Dari sudut ekonomi pula, remunggai berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada petani kecil di Malaysia. Dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap bahan semula jadi, penanaman secara komersial boleh memberikan manfaat besar sekiranya disokong dengan teknologi pemprosesan dan rantaian bekalan yang baik. Hal ini sekali gus dapat membantu memperkukuh sektor pertanian tempatan dan membuka peluang eksport yang lebih luas.