Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam landskap dunia moden yang dipacu oleh kemajuan teknologi yang pesat, definisi kedaulatan negara tidak lagi terbatas kepada kawalan sempadan fizikal semata-mata. Keupayaan sesebuah negara untuk mempertahankan kedaulatannya kini sangat bergantung pada penguasaan teknologi pertahanan yang berupaya memacu inovasi serta menjamin keutuhan sistem maklumat. Peperangan informasi telah muncul sebagai medan tempur yang jauh lebih kompleks dan mencabar, merangkumi spektrum yang sangat luas bermula daripada keselamatan data dalam talian sehinggalah kepada manipulasi persepsi dalam dimensi kognitif manusia. Kegagalan menguasai dimensi peperangan moden ini bukan sahaja menyebabkan sesebuah negara dipandang rendah oleh kuasa luar, malah secara langsung mendorong ketidakstabilan politik dan ekonomi negara tersebut.

Anatomi Peperangan Informasi

Konsep peperangan informasi secara dasarnya merupakan sebuah doktrin ketenteraan yang mengintegrasikan pelbagai elemen strategik bagi mendapatkan kelebihan kompetitif ke atas pihak lawan. Konsep utamanya melibatkan lima dimensi kritikal, iaitu peperangan siber, peperangan elektronik, operasi psikologi (PsyOps), muslihat tentera (MILDEC) dan keselamatan operasi (OPSEC).

Peperangan siber kini berkembang pesat dan menuntut pemahaman mendalam terhadap tiga komponen utamanya, iaitu serangan siber, pertahanan siber dan eksploitasi siber. Serangan siber melibatkan tindakan agresif untuk merosakkan, mengganggu atau memusnahkan rangkaian komputer serta infrastruktur kritikal pihak musuh bagi melumpuhkan keupayaan mereka. Sebaliknya, pertahanan siber memfokuskan usaha mempertahankan serta melindungi infrastruktur dan sistem maklumat negara daripada sebarang gangguan, cubaan pencerobohan atau sabotaj. Eksploitasi siber pula merujuk tindakan teknikal untuk mengenal pasti dan mengambil kesempatan atas kerentanan sistem musuh bagi tujuan pengumpulan maklumat atau pemantauan secara senyap tanpa disedari oleh pihak lawan.

Selaras dengan kemajuan teknologi, peperangan elektronik memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menguasai spektrum elektromagnetik bagi menjejaskan keupayaan, rantaian komunikasi dan kesedaran situasi pihak lawan. Teknologi ini secara teknikal terbahagi kepada tiga elemen teras, iaitu tindakan bantuan peperangan elektronik atau electronic support measures (ESM), tindak balas elektronik atau electronic countermeasures (ECM) dan tindakan perlindungan elektronik atau electronic protective measures (EPM).

ESM melibatkan aktiviti pencarian, pemintasan dan pengenalpastian isyarat elektromagnetik musuh untuk mendapatkan perisikan taktikal yang tepat mengenai maklumat komunikasi, kedudukan dan aset mereka. ECM pula merujuk penggunaan tenaga elektromagnetik secara aktif, seperti teknik penyesakan (jamming) untuk menyerang kemudahan atau peralatan dengan tujuan untuk meneutralkan keupayaan tempur lawan. Sementara itu, EPM ialah langkah teknikal yang diambil bagi memastikan aset dan sistem komunikasi sendiri tidak mudah dikesan, diganggu atau dimusnahkan oleh serangan elektronik pihak lawan.

PsyOps dan MILDEC bertindak sebagai instrumen pengaruh yang mensasarkan dimensi kognitif pihak lawan bagi memanipulasikan persepsi, emosi dan proses pembuatan keputusan. PsyOps melibatkan penyebaran maklumat terpilih secara terancang untuk melemahkan moral, menyemai keraguan atau mengubah tingkah laku sasaran, sama ada pihak musuh mahupun populasi awam di kawasan konflik. Sementara itu, MILDEC pula menggunakan teknik tipu helah seperti penyebaran maklumat palsu, penggunaan umpan (decoys) atau demonstrasi ketenteraan yang mengelirukan untuk menyembunyikan niat sebenar dan memaksa pihak lawan membuat keputusan yang salah, sekali gus memberikan kelebihan taktikal kepada pasukan sendiri tanpa perlu melepaskan tembakan secara langsung.

Di sebalik usaha mempengaruhi musuh, setiap tindakan ketenteraan mesti disokong oleh OPSEC yang ketat bagi memastikan kerahsiaan perancangan dan keupayaan sendiri. OPSEC berfungsi melindungi maklumat sensitif seperti komunikasi, pergerakan pasukan, keupayaan teknologi dan jadual operasi yang boleh dieksploitasi oleh pihak lawan untuk membongkar niat strategik pasukan. Melalui proses mengenal pasti maklumat kritikal, menganalisis ancaman dan mengurangkan pendedahan, OPSEC memastikan bahawa pihak lawan tidak mendapat gambaran yang tepat mengenai kekuatan atau strategi pasukan sendiri. Integrasi antara peperangan siber, peperangan elektronik, PsyOps, MILDEC dan OPSEC ini membuktikan bahawa kejayaan dalam peperangan moden tidak hanya bergantung pada kekuatan senjata fizikal atau kinetik, tetapi juga pada keupayaan menguasai maklumat dan persepsi di medan tempur, seterusnya memberikan keunggulan maklumat kepada pihak tentera.

Perintis Sejarah PsyOps dan SIGINT di Tanah Melayu

Sejarah membuktikan bahawa Malaysia merupakan pelopor dalam penguasaan peperangan psikologi yang kini menjadi rujukan dunia, terutamanya melalui keberkesanan strategi memenangi hati dan minda semasa era Darurat Tanah Melayu. Keupayaan pasukan keselamatan pada waktu itu dalam menuntut anggota komunis menyerah kalah dilakukan melalui sebaran maklumat yang sangat taktikal, termasuklah penggunaan pesawat yang dilengkapi dengan pembesar suara dan pengguguran jutaan risalah tawaran pengampunan dari ruang angkasa. Keberkesanan PsyOps ini bukan sekadar penyampaian maklumat secara rawak, tetapi manipulasi psikologi yang dirancang rapi untuk meruntuhkan tekad perjuangan musuh dari dalam. Strategi ini dianggap sebagai antara operasi psikologi paling berjaya dalam sejarah peperangan antipemberontakan dunia yang melibatkan elemen penggunaan komunikasi  untuk mengubah tingkah laku pihak lawan secara efektif dan menyeluruh.

Selain aspek psikologi, sejarah pertahanan negara turut mencatatkan penggunaan peperangan elektronik yang canggih melalui kerjasama perisikan isyarat atau Signal Intelligence (SIGINT) dengan sekutu antarabangsa. Berdasarkan dokumen sejarah berkaitan dengan sumbangan SIGINT Australia kepada Darurat Malaya (1952 hingga 1962) yang didedahkan kepada umum, tentera Australian Defence Forces (ADF) melalui 101 Wireless Regiment telah memberikan sumbangan dalam memantau komunikasi pemberontak komunis. Bermula dengan satu detasmen kecil yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan orang anggota pada tahun 1952, mereka ditugaskan di Stesen Timur Jauh British di Singapura untuk memintas transmisi radio komunis Malaya. Menjelang Mei 1955, kekuatan ini meningkat kepada 30 orang pengendali di Singapura serta Tanah Melayu, manakala Tentera Udara Australia menempatkan 20 orang pengendali di Labuan bagi menyokong operasi tersebut.

Pada tahun 1956, seramai enam orang pengendali telah dipisahkan dari Singapura ke Malaya untuk mencari dan mengumpul komunikasi Parti Komunis Malaya. Menjelang tahun 1959, detasmen ini meningkat kepada 13 orang anggota dan dipindahkan ke Batu Uban, Pulau Pinang. Mereka beroperasi hingga tapak tersebut ditutup pada tahun 1962. Pemintasan komunikasi ini merupakan aplikasi awal peperangan elektronik yang membuktikan bahawa penguasaan spektrum radio dan pemintasan komunikasi mampu memberikan kelebihan taktikal dalam operasi pertahanan di Tanah Melayu.

Dominasi Peperangan Informasi dalam Konflik Global

Dominasi peperangan informasi moden dapat dilihat dengan jelas dalam konflik antara Palestin dengan Israel yang berlarutan sehingga kini. Dalam peperangan tersebut, maklumat digunakan secara agresif untuk membentuk naratif global dan mengawal persepsi dunia bagi menjustifikasikan tindakan ketenteraan. Situasi yang hampir serupa turut dikesan dalam konflik sempadan antara Thailand dengan Kemboja yang memanipulasikan dokumen sejarah digital sebagai bahan propaganda untuk meraih sokongan.

Di Asia Barat, secara amnya penggunaan “ladang troll” dan kempen maklumat palsu telah menjadi instrumen utama untuk mencetuskan ketidakstabilan politik serta mengelirukan strategi pertahanan lawan. Malah, dalam konflik antara Rusia dengan Ukraine, sebuah video palsu memaparkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang menyeru tenteranya menyerah kalah telah disebarkan secara meluas sebelum akhirnya disahkan sebagai kandungan palsu. Di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr. juga menjadi sasaran manipulasi audio palsu tulen (deepfake) yang mendakwa beliau mengeluarkan arahan ketenteraan yang tidak wujud. Kejadian ini membuktikan betapa bahayanya manipulasi maklumat terhadap kedaulatan, moral pasukan keselamatan dan kestabilan sesebuah negara.

Sebelum tercetusnya pencerobohan fizikal, aplikasi peperangan siber sering kali bertindak sebagai instrumen “peperangan awal” untuk melumpuhkan kesiapsiagaan lawan. Dalam konteks antara Rusia dengan Ukraine, serangan perisian tebusan (ransomware) dan wiper telah menyasarkan infrastruktur kritikal Ukraine seperti rangkaian tenaga dan sistem perbankan untuk mencetuskan panik dalam kalangan orang awam. Begitu juga dalam ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS), serangan siber secara berterusan dilakukan ke atas kemudahan nuklear, pelabuhan dan rangkaian bekalan air.

Sebagai contohnya, serangan perisian hasad AcidRain terhadap rangkaian satelit Viasat semasa konflik antara Rusia dengan Ukraine bukan sahaja melumpuhkan sistem arahan dan kawalan (C2) tentera Ukraine, malah turut menyebabkan gangguan Internet di Ukraine dan gangguan bekalan tenaga kepada ribuan turbin angin di Jerman akibat kesan limpahan digital. Selain itu, kumpulan seperti CyberAv3ngers yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran didakwa berjaya mengeksploitasi alat kawalan logik boleh atur cara (PLC) di infrastruktur kritikal seperti sistem rawatan air dan rangkaian tenaga di AS dan Israel, membuktikan strategi “prakedudukan” (pre-positioning), iaitu penggodam menetap dalam rangkaian selama bertahun-tahun untuk melakukan sabotaj teknikal apabila konflik memuncak.

Seterusnya, dalam kancah konflik antara Iran, Israel dan AS, aplikasi peperangan elektronik memainkan peranan penting dalam mendominasi spektrum elektromagnetik bagi membutakan sistem penderiaan pihak lawan. Teknik gangguan atau  frekuensi penyesak (jamming) dan perdayaan isyarat (spoofing) GPS sering digunakan untuk memesongkan haluan dron kamikaze dan peluru berpandu tepat. Sebagai contohnya, sistem pertahanan elektronik yang canggih membolehkan aset ketenteraan memintas komunikasi tanpa wayar dan mengganggu radar sistem pertahanan udara musuh, menjadikan ruang udara “legap” dan menghalang penyelarasan serangan yang berkesan. Keupayaan peperangan ini bukan sahaja melindungi aset taktikal, malah berfungsi sebagai perisai halimunan yang menentukan kelangsungan (survival) dalam medan tempur berteknologi tinggi.

Konflik Iran, Israel dan AS juga membuktikan proliferasi amunisi berkeliaran (loitering munitions) kos rendah atau lebih dikenali sebagai “dron kamikaze” telah memberikan cabaran signifikan terhadap seni bina pertahanan udara tradisional. Dalam rentetan konflik dari Ukraine hingga ke Asia Barat, penggunaan dron yang menelan kos kurang daripada USD 50,000 telah berjaya meneutralkan aset ketenteraan bernilai jutaan dolar. Fenomena ini mewujudkan dilema “pengenaan kos” (cost-imposition) yang meruncing terhadap sistem pertahanan udara moden. Selain itu, pada Mac 2026, gangguan spektrum di wilayah Teluk mencapai tahap kritikal apabila lebih 1650 kapal komersial terjejas akibat manipulasi isyarat GPS. Dalam tempoh 24 jam pertama Operasi Epic Fury, teknik perdayaan isyarat yang dilancarkan AS telah menyebabkan sistem navigasi kapal memaparkan koordinat palsu yang tidak logik, seperti lokasi di daratan atau loji nuklear.

Transformasi STRIDE, IPT dan Industri Pertahanan Tempatan dalam Ekosistem Teknologi Pertahanan

Dalam mendepani cabaran peperangan moden yang semakin bersifat asimetrik, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) perlu bertransformasi menjadi penggerak inovasi yang lebih agresif. STRIDE kini memikul tanggungjawab untuk beralih daripada sekadar penyokong teknikal kepada peneraju pembangunan teknologi kritikal seperti komunikasi taktikal, integrasi kecerdasan buatan (AI) dan sistem tanpa pemandu. Dengan mencontohi kejayaan model seperti Defence Science Organisation (DSO) Singapura dan Defence Science and Technology Laboratory (DSTL) United Kingdom, STRIDE dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh penyelidikan tempatan melalui teknologi termaju bagi memastikan Malaysia mampu membina kapasiti pertahanan berdikari yang berpaksikan teknologi tempatan.

Selari dengan agenda pemerkasaan teknologi ini, institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memainkan peranan penting sebagai hab pembangunan modal insan dan pusat kecemerlangan bagi penyelidikan teknologi pertahanan. Kerjasama erat antara STRIDE dengan UPNM, sebagai contohnya akan menjadi pemangkin kepada penyediaan bakat mahir dalam bidang AI, keselamatan siber serta teknologi dron dan peluru berpandu (missile). Melalui sinergi antara kerajaan, industri dan akademia, ekosistem inovasi ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan pakar pertahanan masa hadapan, malah berfungsi sebagai pusat intelektual yang merangka strategi teknologi pertahanan negara secara proaktif, sekali gus memastikan keselamatan Malaysia kekal utuh dalam mendepani ancaman yang sentiasa berkembang.

Bagi melengkapkan rantaian ekosistem ini, industri pertahanan tempatan perlu beralih daripada sekadar pembekal peralatan sedia ada kepada penyedia penyelesaian teknologi yang berpaksikan keupayaan domestik. Pelibatan aktif syarikat tempatan dalam rantaian bekalan strategik adalah kritikal bagi memastikan kelangsungan penyelenggaraan dan keupayaan menaik taraf aset pertahanan tanpa terlalu bergantung pada teknologi luar yang terdedah kepada sekatan atau risiko bekalan. Melalui insentif kerajaan dan kerjasama pemindahan teknologi (ToT) yang lebih berkesan, industri tempatan mampu menjadi pengeluar sistem dan komponen canggih yang memenuhi keperluan spesifik Angkatan Tentera Malaysia. Transformasi ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi pertahanan nasional, malah memastikan Malaysia mempunyai kedaulatan teknologi yang utuh dalam menghasilkan aset yang relevan bagi mendepani realiti peperangan asimetrik kini.

Penutup

Masa hadapan kedaulatan negara kini tidak lagi hanya ditentukan oleh kekuatan kinetik, tetapi keupayaan kita menguasai spektrum siber dan elektromagnetik yang semakin kompleks. Evolusi peperangan informasi telah membawa kita ke fasa peperangan kognitif yang menyasarkan cara otak manusia memproses maklumat secara fundamental. Dalam era teknologi palsu tulen dan manipulasi AI mampu mengaburkan garis antara kebenaran dengan kepalsuan, pertahanan negara memerlukan strategi yang lebih dinamik dan bersepadu. Keupayaan peperangan siber Malaysia harus diperkasakan menjangkau lebih daripada sekadar perlindungan data, malah merangkumi ketahanan infrastruktur kritikal daripada sabotaj digital yang mampu melumpuhkan negara dalam sekelip mata. Pada masa yang sama, penguasaan dalam peperangan elektronik menjadi penentu kelangsungan dalam medan tempur moden. Tanpa keupayaan untuk mendominasi spektrum elektromagnetik, aset fizikal secanggih mana sekalipun akan menjadi lumpuh dan tidak berkesan.

Tuntasnya, cabaran masa ini menuntut kita beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta solusi pertahanan. Hanya dengan penguasaan ruang siber, spektrum elektromagnetik dan membina ketahanan kognitif yang utuh, Malaysia mampu berdiri teguh sebagai sebuah negara berdaulat yang kalis terhadap evolusi peperangan moden yang kini beralih daripada serangan kinetik ke arah penguasaan minda dan teknologi maklumat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi