Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kemalangan atau kecelakaan jalan raya yang melibatkan kanak-kanak sekolah semakin membimbangkan di Malaysia. Pelbagai laporan dipaparkan di media massa mengenai murid sekolah yang cedera atau maut akibat dilanggar kenderaan, termasuklah ketika melintas jalan, menunggang basikal, menaiki motosikal atau semasa berada di kawasan sekolah. Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan berita seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar oleh sebuah van di hadapan pintu pagar sekolah. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Golongan kanak-kanak merupakan aset penting negara kerana mereka bakal menjadi pemimpin, tenaga kerja dan pencorak masa hadapan masyarakat. Oleh itu, keselamatan mereka perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, termasuklah ibu bapa, pihak sekolah, kerajaan dan masyarakat. Isu ini bukan sahaja menyebabkan penderitaan besar kepada keluarga mangsa, malah turut memberikan kesan sosial, emosi dan ekonomi kepada komuniti secara keseluruhan.

Dalam dunia moden yang semakin pesat dengan pembangunan dan peningkatan jumlah kenderaan, cabaran keselamatan jalan raya menjadi semakin kompleks. Kawasan sekolah yang dahulunya lebih tenang kini dipenuhi dengan jumlah trafik yang tinggi, terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang. Kehadiran motosikal, kenderaan berat, pemandu yang tergesa-gesa serta sikap tidak sabar pemandu di jalan raya meningkatkan risiko kepada kanak-kanak yang masih belum matang dari segi membuat penilaian bahaya.

Trend dan Statistik

Laporan Protecting Young Lives: Global Status Report on Child and Adolescent Road Safety telah mengetengahkan isu kritikal kemalangan jalan raya sebagai antara punca utama kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia. Pada setiap tahun, dianggarkan seramai 181 453 orang kanak-kanak dan remaja berusia antara 0 tahun hingga 19 tahun maut akibat kecederaan berkaitan dengan kemalangan jalan raya. Lebih 90 peratus daripada kes tersebut berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana, termasuklah negara kita.

Di Malaysia, statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan kanak-kanak masih berada pada tahap yang agak membimbangkan. Menurut laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 855 kes kemalangan melibatkan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2007 sebelum meningkat kepada 990 kes pada tahun 2008 dan mencecah 1048 kes pada tahun 2009. Selain itu, laporan media pada tahun 2022 menyatakan bahawa lebih 1000 kematian kanak-kanak akibat kemalangan jalan raya direkodkan sejak tahun 2019.

Kajian turut mendapati bahawa lebih 30 peratus kemalangan melibatkan kanak-kanak berlaku dalam lingkungan 200 meter dari kawasan sekolah. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi murid sebenarnya mungkin menjadi zon berisiko tinggi akibat kelemahan sistem pengurusan trafik dan tingkah laku pengguna jalan raya.

Tragedi yang Berulang

Negara kita telah menyaksikan pelbagai tragedi melibatkan murid sekolah yang mendapat perhatian masyarakat. Antaranya termasuklah kes murid sekolah rendah yang maut ketika melintas jalan di hadapan sekolah akibat dirempuh kenderaan yang dipandu laju. Kes seperti ini sering berlaku di kawasan sekolah yang tidak mempunyai jejantas, lintasan pejalan kaki yang jelas atau pengawal lalu lintas.

Di negeri Johor misalnya, beberapa tahun lalu kita dikejutkan dengan berita seorang murid maut selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan berhampiran sekolah. Siasatan mendapati kawasan tersebut mempunyai jumlah trafik yang sibuk tetapi tidak dilengkapi dengan lampu isyarat pejalan kaki yang mencukupi. Penduduk setempat telah lama memohon pembinaan jejantas, namun tindakan yang lambat menyebabkan tragedi terus berlaku.

Satu lagi kes yang pernah menggemparkan negara ialah tragedi “basikal lajak” di Johor Bahru pada tahun 2017 yang mengorbankan lapan orang remaja. Walaupun kes ini melibatkan pelbagai faktor termasuk pengawasan ibu bapa dan tingkah laku remaja, kes ini turut membuka mata masyarakat terhadap risiko keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di kawasan bandar.

Terbaharu, di Kelantan, empat orang murid sekolah parah selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta. Seorang daripada mangsa, murid perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha akibat komplikasi darah beku. Tragedi seperti ini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap berlaku dan menimbulkan persoalan besar tentang tahap keselamatan persekitaran sekolah di negara kita.

Di kawasan luar bandar pula, banyak murid menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan utama ke sekolah. Namun demikian, kekurangan laluan khas basikal atau sekurang-kurangnya bahu jalan yang berturap dan sesuai menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan.

Di Sabah dan Sarawak misalnya, terdapat murid yang perlu berjalan jauh di bahu jalan sempit tanpa pencahayaan yang mencukupi untuk ke sekolah pada setiap hari. Situasi ini menjadi lebih berbahaya terutamanya ketika hujan atau awal pagi yang gelap.

Mengapakah Golongan ini Lebih Berisiko?

Kanak-kanak merupakan golongan yang lebih terdedah kepada kemalangan jalan raya kerana tahap perkembangan fizikal dan mental mereka masih belum matang sepenuhnya. Mereka sukar menilai kelajuan kenderaan, jarak dan tahap bahaya di sekelilingnya. Pada usia muda, mereka cenderung bertindak secara spontan seperti berlari untuk melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan.

Dari sudut psikologi perkembangan, kanak-kanak juga mempunyai daya tumpuan yang lebih pendek berbanding dengan orang dewasa. Mereka mudah leka, bermain atau terganggu dengan persekitaran ketika berada di jalan raya. Penggunaan telefon bimbit dan permainan digital juga menyebabkan sesetengah murid kurang peka terhadap bahaya di sekelilingnya.

Selain itu, ketinggian fizikal kanak-kanak yang rendah menyebabkan mereka sukar dilihat oleh pemandu terutama di kawasan sesak atau berhampiran kenderaan besar seperti bas dan lori. Hal ini menjadikan mereka lebih mudah terlibat dalam kemalangan.

Sikap Pengguna Jalan Raya

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemalangan yang melibatkan kanak-kanak sekolah, namun faktor utama ialah sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Banyak pemandu memandu melebihi had laju terutamanya di kawasan sekolah dan kawasan perumahan. Ada juga yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu sehingga hilang fokus terhadap keadaan jalan raya.

Sikap tidak sabar ibu bapa atau penjaga ketika menghantar anak ke sekolah turut memburukkan keadaan. Banyak ibu bapa memberhentikan kenderaan di lokasi yang tidak sesuai, membuat pusingan berbahaya atau berhenti secara mengejut sehingga menyebabkan kesesakan dan risiko pelanggaran. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa pemanduan laju merupakan antara faktor utama kematian pejalan kaki dalam kalangan kanak-kanak.

Sebagai contohnya, pada kelajuan 30 km/jam, risiko kematian pejalan kaki adalah sekitar 10 peratus, namun risiko tersebut meningkat secara mendadak kepada hampir 90 peratus apabila kelajuan kenderaan mencapai 60 km/jam. Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun peningkatan kelajuan kelihatan kecil, impaknya terhadap keselamatan kanak-kanak amat besar dan boleh membawa maut.

Secara saintifiknya, semakin tinggi kelajuan kenderaan, semakin rendah peluang seseorang pejalan kaki untuk terselamat apabila dilanggar kerana tenaga hentaman meningkat secara eksponen apabila kelajuan bertambah. Oleh sebab itu, banyak negara mula memperkenalkan had laju rendah di kawasan sekolah.

Infrastruktur Jalan Raya yang Selamat

Faktor kedua yang menyumbang kepada masalah ini ialah kelemahan infrastruktur jalan raya. Kebanyakan sekolah tidak mempunyai jejantas, lintasan zebra, lampu isyarat pejalan kaki atau pengawal lalu lintas yang mencukupi. Di sesetengah kawasan, murid terpaksa melintas jalan utama yang sibuk tanpa sebarang perlindungan keselamatan. Keadaan menjadi lebih berbahaya apabila terdapat kenderaan yang diparkir di bahu jalan sehingga menghalang pelihatan pemandu dan pejalan kaki.

Kajian di Belanda menunjukkan bahawa penyediaan infrastruktur mesra pejalan kaki dan laluan basikal khas berjaya mengurangkan kadar kemalangan kanak-kanak secara signifikan. Belanda terkenal dengan konsep “keselamatan lestari” (sustainable safety) yang memberikan keutamaan kepada pengguna jalan raya paling lemah dan terdedah seperti kanak-kanak dan penunggang basikal.

Di Jepun pula, kawasan sekolah direka dengan konsep “zon sekolah” (school zone) yang sangat ketat. Laluan pejalan kaki dipisahkan secara fizikal daripada jalan utama, manakala had laju diturunkan secara drastik. Pengawal keselamatan dan sukarelawan komuniti turut membantu murid melintas jalan pada setiap hari.

Kajian Kes dan Teknologi Keselamatan

Sweden merupakan antara negara paling berjaya dalam aspek keselamatan jalan raya melalui dasar Vision Zero, iaitu sasaran sifar kematian di jalan raya. Pendekatan ini menganggap bahawa tiada kehilangan nyawa yang boleh diterima dalam sistem pengangkutan. Di Sweden, kawasan sekolah diberikan perhatian khusus melalui reka bentuk jalan raya yang lebih selamat, had laju rendah, bonggol jalan dan lintasan pejalan kaki yang jelas. Kamera kelajuan dipasang berhampiran sekolah untuk memastikan pemandu mematuhi had laju. Hasilnya, Sweden merekodkan antara kadar kematian jalan raya paling rendah di dunia.

Selain itu, Korea Selatan memperkenalkan inisiatif sekolah “karpet kuning” (Yellow Carpet) melalui ChildFund Korea. Inisiatif ini melibatkan pemasangan hamparan berwarna kuning terang dan mempunyai permukaan antigelincir di kawasan lintasan pejalan kaki berhampiran zon sekolah bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak.

Struktur ini, yang lazimnya turut dilengkapi dengan dinding berwarna kuning, membantu pemandu melihat kehadiran kanak-kanak dengan lebih jelas serta menggalakkan murid menunggu isyarat melintas di kawasan yang lebih selamat. Pendekatan ini diperkenalkan bagi menangani kadar kemalangan yang tinggi melibatkan kanak-kanak berhampiran sekolah.

Pendidikan Keselamatan Jalan Raya

Selain infrastruktur dan penguatkuasaan, pendidikan keselamatan jalan raya juga memainkan peranan penting. Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan, masih banyak murid yang tidak memahami cara melintas jalan dengan selamat atau kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

Keselamatan jalan raya kanak-kanak melibatkan usaha mendidik mereka supaya memahami dan mengamalkan langkah keselamatan ketika berada berhampiran jalan raya. Kanak-kanak perlu diajar untuk sentiasa berhenti, melihat ke kiri dan ke kanan serta peka terhadap keadaan lalu lintas sebelum melintas jalan. Mereka juga perlu sentiasa memegang tangan orang dewasa apabila berada berhampiran trafik dan menggunakan lintasan pejalan kaki yang disediakan.

Kanak-kanak juga perlu memahami bahawa mereka tidak seharusnya melintas di antara kenderaan yang diparkir atau di kawasan selekoh tajam kerana pelihatan pemandu dan pejalan kaki mungkin terhalang. Pemakaian pakaian berwarna terang atau mempunyai jalur pemantul cahaya amat penting terutama pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca gelap. Selain itu, penggunaan telefon bimbit atau fon kepala ketika berjalan berhampiran atau melintas jalan raya perlu dielakkan kerana boleh mengganggu tumpuan terhadap keadaan sekeliling.

Di Finland, pendidikan keselamatan jalan raya dimulakan sejak peringkat prasekolah. Kanak-kanak diajar tentang tanda jalan, cara menggunakan lintasan pejalan kaki dan kepentingan memakai topi keledar ketika berbasikal. Di Singapura pula, taman pendidikan trafik dibangunkan khas untuk melatih murid memahami situasi sebenar di jalan raya melalui pendekatan simulasi.

Keselamatan Kenderaan dan Basikal

Dalam aspek keselamatan kenderaan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan alat penahan keselamatan kanak-kanak dan memakai tali pinggang keledar ketika berada di dalam kenderaan. Penggunaan alat keselamatan yang sesuai mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 71 peratus. Kanak-kanak juga tidak seharusnya mengeluarkan tangan atau kepala melalui tingkap kenderaan semasa dalam perjalanan.

Bagi keselamatan berbasikal pula, kanak-kanak perlu sentiasa memakai topi keledar semasa menunggang basikal kerana dapat mengurangkan risiko kecederaan otak sehingga 74 peratus. Selain itu, lampu dan brek basikal perlu dipastikan berfungsi dengan baik sebelum digunakan. Kanak-kanak juga tidak seharusnya berdiri terlalu dekat atau berjalan berhampiran dengan bas yang sedang bergerak kerana keadaan tersebut boleh mendatangkan bahaya.

Peranan Ibu Bapa, Sekolah dan Komuniti

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak. Sesetengah ibu bapa membenarkan anak kecil berjalan atau menunggang basikal ke sekolah tanpa pemantauan. Ada juga ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen. Pengawasan yang lemah boleh mengundang tragedi. Selain itu, ibu bapa dan pendidik perlu sentiasa menunjukkan contoh tingkah laku yang baik seperti menggunakan lintasan pejalan kaki, mematuhi lampu isyarat dan memakai tali pinggang keledar. Kanak-kanak lebih mudah belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang dewasa di sekeliling mereka.

Komuniti setempat turut memainkan peranan melalui program rondaan sukarelawan, kempen kesedaran dan bantuan melintas jalan berhampiran sekolah. Di beberapa negara seperti Australia dan New Zealand, sukarelawan komuniti membantu mengawal lalu lintas di kawasan sekolah pada waktu puncak.

Aplikasi dan Teknologi Pintar

Perkembangan teknologi pintar semakin memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan jalan raya kanak-kanak, khususnya di kawasan sekolah dan kawasan perumahan. Antara teknologi yang semakin meluas digunakan ialah kamera penguatkuasaan automatik, lampu isyarat pintar, sensor pengesan pejalan kaki dan papan tanda had laju digital. Teknologi ini membantu memberikan amaran awal kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan apabila terdapat kanak-kanak melintas jalan raya. Selain itu, penggunaan sistem pemantauan trafik secara masa nyata juga membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan mengambil tindakan lebih cepat serta berkesan.

Sebagai contohnya, program “karpet kuning” yang diperkenalkan di Korea Selatan berjaya meningkatkan tahap kewaspadaan pemandu dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kanak-kanak. Selain itu, beberapa bandar di Korea Selatan turut menggunakan lampu jalan pintar yang menjadi lebih terang apabila mengesan kehadiran pejalan kaki.

Di China pula, teknologi kecerdasan buatan digunakan untuk mengesan pemandu yang gagal berhenti di lintasan pejalan kaki. Sistem ini mampu merekodkan nombor pendaftaran kenderaan secara automatik dan membantu penguatkuasaan undang-undang dengan lebih efisien. Malaysia juga mula memperkenalkan konsep bandar pintar melalui penggunaan kamera pintar dan sistem pemantauan trafik berhampiran sekolah. Walaupun pelaksanaannya masih pada peringkat awal, penggunaan teknologi pintar ini menunjukkan potensi besar dalam membentuk persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk kanak-kanak pada masa hadapan.

Melindungi Masa Hadapan Negara

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya yang melibatkan kanak-kanak sekolah merupakan isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak. Statistik yang tinggi menunjukkan bahawa usaha sedia ada masih belum mencukupi untuk melindungi golongan muda. Pelbagai faktor seperti kecuaian pengguna jalan raya, kelemahan infrastruktur, kurangnya pendidikan keselamatan dan pengawasan ibu bapa telah menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan.

Oleh itu, langkah pencegahan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan melalui gabungan penguatkuasaan, pendidikan, teknologi dan reka bentuk jalan yang lebih selamat. Pengalaman negara seperti Sweden, Belanda, Jepun, Finland, Korea Selatan dan Singapura membuktikan bahawa kadar kemalangan boleh dikurangkan sekiranya keselamatan jalan raya dijadikan agenda nasional yang serius.

Kanak-kanak bukan sekadar pengguna jalan raya biasa. Mereka ialah harapan masa hadapan negara. Setiap nyawa kecil yang hilang di jalan raya merupakan kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, keselamatan mereka tidak boleh dipandang ringan atau dianggap isu bermusim semata-mata.

Jika semua pihak bersatu dalam mewujudkan budaya jalan raya yang lebih selamat, sudah pasti jumlah kemalangan melibatkan kanak-kanak sekolah dapat dikurangkan demi memastikan generasi muda membesar dalam persekitaran yang lebih selamat, lestari dan manusiawi.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ts. Nur Faezah Yahya, 
Pensyarah Kanan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi