Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBaru-baru ini, penulis terdengar kisah yang disampaikan oleh seorang penceramah tentang dua sahabat baik. Salah seorangnya telah meninggal dunia dan dimasukkan ke dalam neraka.
Kisahnya bermula apabila salah seorang sahabat itu hendak menunaikan fardu haji. Lalu beliau bertemu dengan sahabatnya menyatakan hasrat tersebut dan pada masa yang sama, meminta sahabatnya itu untuk menyimpan wang yang dimilikinya memandangkan rakannya dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah.
Selepas balik daripada menunaikan haji, beliau pergi ke rumah sahabatnya untuk mengambil semula wang yang telah ditinggalkan. Malangnya, sahabat tersebut telah meninggal dunia dan tidak seorang pun dari kalangan ahli keluarganya tahu lokasi wang tersebut disimpan.
Lalu beliau mencari orang yang dapat membantunya menyelesaikan masalah tersebut dan akhirnya beliau bertemu dengan seorang yang alim. Orang alim itu menyuruhnya pergi ke telaga zamzam dan menyerunya nama sahabat yang telah meninggal dunia itu.
Jika sahabatnya itu dalam kalangan ahli syurga, seruan itu akan disahut. Jika tidak, maka dikhuatiri sahabatnya itu adalah ahli neraka. Setibanya di telaga zamzam, beliau pun melakukan sebagaimana yang disuruh dan ternyata sahabatnya yang telah meninggal itu tidak menyahutnya.
Beliau kemudiannya disuruh pergi ke telaga Barahut yang terletak di Yaman dan akhirnya menemukan rakannya itu. Sahabatnya yang ketika hayatnya dikenali orang sebagai seorang yang sangat amanah itu menyatakan bahawa beliau mengabaikan dan tidak mengambil tahu tentang kehidupan saudara kandungnya hingga mengakibatkan beliau menjadi ahli neraka.
Dari satu sudut, kisah ini mengandungi hikmah yang sangat besar, iaitu tentang kepentingan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga yang perlu dipelihara, khususnya dalam kalangan adik-beradik yang merupakan ahli keluarga terdekat. Dari sudut lain pula, kisah ini menonjolkan kelebihan telaga zamzam yang sering dihubungkan dengan kemuliaan dan kesucian, apatah lagi apabila sentiasa digandingkan dengan kehidupan dan keindahan di syurga.
Oleh sebab itu, air dari telaga zamzam ini sentiasa menjadi tumpuan di seluruh dunia, sama ada dari segi mengambil keberkatan atau keyakinan terhadap kandungannya yang dikatakan sangat berkhasiat. Air ini juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit, merawat kesihatan luaran dan dalaman serta mendatangkan kekuatan spiritual dalam diri.
Air zamzam mempunyai banyak ciri yang menjadikannya unik dan berbeza daripada telaga atau sumber air yang lain. Air ini dikatakan tidak tercemar sepanjang zaman. Sejak ditemukan kira-kira 4000 tahun yang lalu, telaga itu masih mampu memancarkan air dan membekalkan kepada orang tempatan dan pelawat yang datang menziarahi Masjidil Haram di Mekah dengan air.
Menurut penelitian yang dijalankan oleh Ivan Behnam Karumi bertajuk “Optical Properties: A Comparative Study of Zamzam Water, Magnetized Water, Normal Water and Distilled Water” yang disiarkan dalam Journal Of Education And Science pada tahun 2011, beliau mendapati bahawa satu daripada ciri unik yang dimiliki oleh telaga tersebut ialah ketiadaan pertumbuhan biologi seperti alga di telaga tersebut. Keadaan itu menyebabkan kualitinya kekal dari segi rasa, bau dan warna dalam jangka masa panjang. Oleh sebab itu, mana-mana pengunjung boleh meminum air tersebut secara terus daripada telaga atau menyimpannya dalam tempoh yang lama tanpa mengalami masalah kesihatan.
Selain itu, sifat kimia semula jadi yang terdapat pada air zamzam menjadikannya unik berbanding dengan air dari sumber lain. Sebagai contohnya, peratusan garam mineral yang terkandung di dalamnya adalah lebih tinggi, iaitu mencapai 2000 miligram per liter berbanding dengan air mineral yang dirawat yang hanya memiliki garam mineral antara 150 miligram per liter hingga 350 miligram per liter.
Disebabkan air ini tergolong dalam kategori air lembut penghadaman kerana mengandungi 366 miligram bikarbonat seliter, maka air ini sering dijadikan sebagai sumber untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Hal ini dikatakan demikian kerana mana-mana air biasa yang memiliki kandungan sekitar 357 miligram bikarbonat seliter lazimnya dimanfaatkan orang untuk merawat badan yang mengalami masalah kesihatan.
Sifat air zamzam dikatakan mirip dengan sifat air bermagnet. Kenyataan ini mengandaikan bahawa air berkenaan mungkin memiliki sifat magnet tersebut secara semula jadi yang mungkin disebabkan oleh struktur fizikal batu yang kuat mengelilingi telaga tersebut.
Sifat ini diperkukuhkan lagi dengan ciri utama yang dimilikinya seperti kebanyakan sifat fizikal dan kimia kedua-dua molekul air yang bertanggungjawab untuk ikatan kovalen antara dua atom. Susunan atom hidrogen dan oksigen ini membentuk sudut magnitud 104 darjah dalam dua molekul air zamzam dalam bentuk tertentu adalah berbeza sepenuhnya daripada yang tidak kelihatan dalam air biasa yang menjadikan air zamzam secara konsisten unggul dalam sifat fizikal berbanding dengan model air bermagnet yang lain.
Kesimpulan yang paling penting disini ialah air zamzam mempunyai sifat optik yang tidak dapat dicirikan walaupun dikategorikan sebagai bermagnet. Hal ini bermakna bahawa air zamzam boleh digunakan sebagai cecair optik kerana mempunyai sifat optik secara semula jadi.
Dalam kajian nanoteknologi yang dijalankan oleh saintis Jepun, Masaru Emoto sebagaimana yang dimuatkan dalam bukunya yang berjudul The True Power of Water: Healing And Discovering Ourselves terbitan Simon and Schuster pada tahun 2005, formasi yang dibina oleh molekul air zamzam menunjukkan bahawa air ini memiliki ingatan dan menyimpannya dalam bentuk tenaga. Ciri ini membolehkannya mendengar, melihat, merasa, beremosi dan seterusnya menyimpan maklumat terhadap sesuatu yang mempengaruhinya. Daripada kesan tersebut, air zamzam juga didapati mempunyai potensi untuk menguatkan imuniti manusia dan merawat penyakit organik dan psikologi.
Menurut kajian yang dijalan oleh Basem Shomar bertajuk “Zamzam Water: Concentration of Trace Elements and Other Characteristics” yang terbit dalam Chemosphere pada tahun 2012 dan Bassam H Mashat yang bertajuk “The Microbiological Quality of Sabil (Free) Drinking Water in Makkah Al-Mukarramah during Ramadan 2007” terbitan Journal of King Abdulaziz University-Meteorology, Environment and Arid Land Agriculture Sciences pada tahun 2010, walaupun air zamzam kelihatan sama seperti air dari sumber yang lain, hakikatnya air ini berbeza secara radikal daripada sebatian air kerana semua air adalah berasid, sebaliknya air zamzam bersifat alkali. Meminumnya dengan kerap memberikan badan manusia imuniti yang kuat terhadap virus kerana hidupan tersebut tidak hidup dalam persekitaran alkali.
Oleh sebab itu, sejak zaman dahulu hingga kini, jemaah haji meminum air zamzam sebanyak yang mereka mampu agar tidak dijangkiti penyakit berjangkit. Bahkan, banyak analisis kimia yang dilakukan mendapati bahawa air zamzam mengandungi jumlah kalsium, magnesium dan mineral lain yang tinggi berbanding dengan air dari sumber yang lain. Faktor tersebut menjadi punca jemaah haji yang keletihan dapat memulihkan kesegaran dengan kadar segera setelah meminum air zamzam.
Memandangkan air zamzam bersifat alkali dan mengandungi banyak mineral, maka air ini dianggap sebagai agen antikanser yang sangat efektif. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Ulfat M Omar dan rakan-rakannya yang bertajuk “In Vitro Cytotoxic and Anticancer Effects of Zamzam Water in Human Lung Cancer (A594) Cell Line” yang terbit dalam Malaysian Journal of Medical Sciences pada tahun 2017, air zamzam dikatakan mampu merawat kanser paru-paru dengan menurunkan daya maju sel A549.
Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Nauman Khalid dan rakan-rakan bertajuk “Mineral Composition and Health Functionality of Zamzam Water: A Review” yang terbit dalam International Journal of Food Properties pada tahun 2014 mendapati bahawa jisim tumor yang berada di dalam kolon menurun dengan ketara setelah air zamzam diminum secara berkala selama sebulan. Kemungkinan penyebab kehilangan atau penurunan kanser itu adalah komposisi semula jadi air zamzam yang terdiri daripada 34 komponen yang berbeza.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Ghadeer F AlJuwaie dan rakan-rakan bertajuk “Effects of Zamzam Water on Glycemic Status, Lipid Profile, Redox Homeostasis and Body Composition in Rats” yang terbit dalam Journal of Taibah University Medical Sciences pada tahun 2020 didapati bahawa pengambilan air zamzam selama sepuluh minggu dapat mengurangkan kandungan gula, insulin dalam darah dan rintangan insulin. Walau bagaimanapun, air zamzam tidak menjejaskan lipid, homeostasis redoks dan komposisi badan.
Penelitian berikutnya yang dilakukan oleh Ahmad Fauzi dan Muhammad Ega Alfarizi yang bertajuk “Benefits of Zamzam Water for Prevention of Osteoporosis” yang terbit dalam jurnal Majority pada tahun 2016 mendapati bahawa kandungan kalsium yang tinggi dalam air zamzam, iaitu sekitar 300 miligram per liter hingga 340 miligram per liter berbanding dengan air semula jadi lain yang biasanya mempunyai kandungan kalsium sekitar 28 miligram per liter hingga 32 miligram per liter memberikan faedah yang besar kepada kesihatan gigi dan tulang dan menjadikan badan cergas. Selain itu, kalsium memainkan peranan penting dalam pembekuan darah dan menjadi pemangkin dalam kerja enzim, iaitu sebagai medium untuk mencetuskan tindak balas hormon dan berupaya menurunkan tekanan darah.
Sebagai kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang terdapat pada air zamzam yang telah dibuktikan secara saintifik oleh pengkaji di seluruh dunia yang secara tidak langsung membuktikan kebenaran hadis Nabi Muhammad SAW seperti yang tercatat dalam Al-Jami’ Al-Saghir hadis bernombor 4077 dan Majma’ al-Zawaid hadis bernombor 286/3 sebagaimana yang dipaparkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri Ke-125: Air Zamzam berkenaan riwayat Abdullah bin Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda dengan maksudnya, “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi ialah zamzam dan penawar bagi penyakit”.