Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam era globalisasi yang semakin pesat, pendidikan di Malaysia menghadapi cabaran untuk terus memodenkan pengalaman pembelajaran dengan memanfaatkan teknologi digital. Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Kelubi merupakan sekolah di luar bandar di daerah Hulu Langat, Selangor telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan sistem automasi inovatif yang dikenali sebagai Hybrid Catalogue Handling and Management (HyCHAM) bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2024.
Sistem HyCHAM mewakili semangat inovasi dan tekad untuk membawa transformasi digital dalam pendidikan negara. Pada tahun ini, sambutan hari guru yang bertemakan “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani” adalah bertepatan dengan seruan kerajaan untuk memperkasakan proses pendigitalan dan menjadi teras dalam usaha memodenkan pengalaman pembelajaran.
Sistem HyCHAM yang dibangunkan oleh Guru Perpustakaan dan Media, SK Lubok Kelubi, Puan Nurul Izzah Haji Yaacob menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan. Beliau menggunakan perkakasan yang dipasang sendiri dan perisian yang dibangunkan sendiri dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Python dan Node.js. Hal ini membolehkan beliau menggabungkan teknologi terkini dengan kecekapan operasi yang canggih.
Inisiatif ini timbul daripada kesedaran beliau terhadap kos yang tinggi untuk membeli sesuatu sistem perisian pengurusan buku baharu bagi pusat sumber di sekolahnya.
Pada Disember 2023, beliau memulakan projek pembangunan HyCHAM dengan kos keseluruhan sebanyak RM1500.00 sahaja. Penggunaan komponen perisian sumber terbuka seperti Python dan Node.js membolehkan pembangunan sistem ini menggunakan kos yang minimum. Walaupun projek ini dibangunkan dengan belanjawan yang terhad, HyCHAM berjaya dilancarkan pada Mac 2024. Hal ini membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya memerlukan belanjawan yang besar untuk memberikan impak yang berkesan dalam bidang pendidikan.
Penggunaan teknologi sumber terbuka dan pengalaman beliau dalam membangunkan HyCHAM mencerminkan semangat inovasi dan kreativiti dalam komuniti guru di Malaysia. Kejayaan pelancaran HyCHAM bukan sahaja menunjukkan kebolehan guru dalam mencari penyelesaian kreatif untuk menghadapi cabaran di sekolah, malah memberikan inspirasi kepada pendidik lain untuk mengadaptasi pendekatan yang serupa dalam memodenkan proses pembelajaran.
Usaha kerajaan untuk memperkasakan proses pendigitalan negara telah menjadi sumber inspirasi penting kepada inisiatif seperti HyCHAM di SK Lubok Kelubi. Transformasi digital merupakan agenda utama dalam visi negara untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam semua sektor termasuklah dalam bidang pendidikan.
Malaysia sedang berusaha untuk mencapai aspirasi negara Madani dengan memodenkan dan menggunakan teknologi secara efektif dalam sistem pendidikan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Melalui sokongan dan inisiatif kerajaan, projek seperti HyCHAM akan dapat dijadikan contoh agar bidang pendidikan dapat berinovasi dan bertransformasi dengan memanfaatkan teknologi terkini. Secara umumnya, hal ini bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap modernisasi pendidikan, malah memberikan kesan positif kepada pelajar dan komuniti pendidikan. Transformasi ini juga sejajar dengan visi negara untuk mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan secara holistik melalui penerapan teknologi dalam segala aspek kehidupan.
Selari dengan perkembangan teknologi dunia yang pesat, sistem seperti HyCHAM menunjukkan kemahiran guru di negara ini dalam mewujudkan penyelesaian bagi mempertingkat pengalaman pembelajaran. Dalam era teknologi yang kian berkembang dan berubah, para guru juga terus mengikuti trend ini agar pelajar dapat mengembangkan daya saing mereka dalam dunia digital yang semakin kompleks.
Sistem automasi seperti HyCHAM misalnya, mencerminkan keperluan untuk mengintegrasikan inovasi teknologi ke dalam pendidikan dan memberikan guru peluang untuk mencari penyelesaian terkini yang dapat menambah baik pengalaman para pelajar di sekolah. Dengan memanfaatkan perkembangan teknologi terbaharu, para guru dapat membina persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik dan relevan dengan keperluan pelajar pada masa ini.
Dalam menghadapi kepesatan perkembangan teknologi, guru merupakan ejen perubahan yang berdaya maju dalam mencipta dan menggunakan alat pendidikan digital seperti HyCHAM. Mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran baharu agar dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan efektif dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Satu daripada aspek utama yang membezakan antara HyCHAM dengan perisian pengurusan perpustakaan dalam pasaran adalah dari segi penggunaan kios layan diri mudah alih dan dilengkapi dengan komputer papan tunggal Raspberry Pi yang dipadankan dengan skrin sentuh tujuh inci. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja memastikan keberkesanan kos dan penggunaan yang lancar di dalam perpustakaan, malah meningkatkan kecekapan interaksi antara pelajar dan guru dengan perkhidmatan perpustakaan.
Melalui kemudahan pengimbas kod bar, pengenalan wajah dan pengimbas cap jari, proses peminjaman dan pemulangan buku menjadi lebih interaktif, mudah dan berkesan.
Kios layan diri HyCHAM menawarkan pengalaman perpustakaan yang lebih interaktif dan efisien bagi pengguna. Dengan adanya pengimbas kod bar, fungsi pengenalan wajah dan pengimbas cap jari, pelajar dan guru dapat meminjam dan memulangkan buku dengan lebih pantas dan mudah. Selain membantu mengurangkan masa menunggu di kaunter, kemudahan ini juga memberikan rasa keterlibatan yang lebih kepada pengguna dalam pengalaman pembelajaran mereka di perpustakaan.
Sistem HyCHAM turut dilengkapi dengan sistem automasi dan menggunakan nombor ISBN buku sebagai asas perekodan buku di perpustakaan. Proses perekodan buku mengguna pakai capaian antara muka atur cara aplikasi (API) daripada Google Books dan OpenLibrary secara automatik untuk menjana maklumat buku berdasarkan nombor ISBN dan kemudiannya diimbas.
Kaedah ini menandakan satu inovasi penting dalam pengurangan beban kerja manual, terutamanya proses mencetak kod bar dan mengisi maklumat buku secara manual yang sering dihadapi dalam sistem pengurusan perpustakaan sedia ada dalam pasaran pada hari ini.
Kemampuan sistem untuk mengambil maklumat buku secara automatik melalui API membuka ruang untuk mengurangkan kesilapan dan kerja yang berulang dalam pengurusan perpustakaan. Penggunaan nombor ISBN memudahkan proses pencarian dan pengesahan maklumat buku dengan tepat dan berkesan. Inovasi ini juga membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perpustakaan serta menjadikan pengalaman menguruskan perpustakaan lebih efisien dan bermakna bagi guru pusat sumber.
HyCHAM turut menyediakan sistem papan pemuka (dashboard) pengurusan yang komprehensif dan memberikan kemudahan kepada guru pusat sumber untuk menguruskan katalog perpustakaan secara lebih efisien. Melalui sistem ini, guru pusat sumber dapat memantau trend peminjaman buku dan membuat keputusan strategik mengenai pengurusan koleksi perpustakaan. Hal ini ialah satu daripada langkah proaktif yang memberikan impak besar terhadap pembangunan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan lengkap.
Dengan sokongan capaian melalui sambungan Wi-Fi, sistem papan pemuka pengurusan HyCHAM yang boleh diakses menggunakan peranti seperti komputer dan telefon pintar memainkan peranan penting dalam memperkukuh persekitaran pembelajaran. Dengan memudahkan akses dan pengurusan koleksi perpustakaan, guru pusat sumber dapat memfokuskan pemantauan trend peminjaman buku dan merancang inisiatif strategik yang sesuai untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan perpustakaan.
Dalam dunia pendidikan yang sentiasa berubah, guru di Malaysia perlu menjadi kreatif dalam mencari penyelesaian yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar pada masa ini. HyCHAM ialah satu contoh konkrit yang mencungkil kreativiti guru, sekali gus memberikan impak yang positif dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik dan efisien.
Bertepatan dengan tema sambutan hari guru pada tahun ini, sistem HyCHAM mencerminkan aspirasi negara dalam menggalakkan pendigitalan pendidikan. Sistem ini memberikan peluang kepada pengguna untuk mengawal interaksi perpustakaan secara bebas melalui perkhidmatan layan diri yang lancar dan menjadikan pengalaman pembelajaran lebih lengkap. Reka bentuk antara muka yang intuitif pada sistem HyCHAM turut memupuk semangat guru dan pelajar untuk terus menyokong transformasi digital.
Sebagai kesimpulannya, kehadiran HyCHAM diharapkan mampu menyumbang sedikit aspirasi kepada guru di Malaysia dalam memacu pendigitalan dunia pendidikan dan akhirnya merangsang semangat transformasi digital dalam kalangan guru dan pelajar.
HyCHAM ialah suatu transformasi yang menonjolkan semangat inovasi dan komitmen guru dalam menghadapi cabaran semasa dalam bidang pendidikan. Melalui usaha seperti ini, SK Lubok Kelubi mengambil peranan yang penting dalam merintis jalan ke arah pendidikan yang lebih cemerlang, inklusif dan berdaya maju. Oleh hal yang demikian, para guru seharusnya kekal meneruskan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan harmoni dari pelbagai aspek.