Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPaku bulu emas atau nama saintifiknya Cibotium barometz (L.) J. Sm. merupakan satu daripada spesies paku pakis yang tergolong dalam famili Cibotiaceae dan order Cyatheales. Secara umumnya, paku pakis ini turut dikenali dengan pelbagai nama lain seperti balung ayam emas, penawar jambi, bulu pusi, bulu empusi dan jambul ayam emas.
Di Malaysia, paku bulu emas juga dikenali sebagai ayam emas. Masyarakat di Indonesia pula mengenali spesies ini sebagai bulu jambe dan paku simpai. Morfologinya, puncak batang, krozier dan pelepah muda selalunya berwarna hijau kekuningan dan ditutupi dengan bulu keemasan lembut yang panjang. Selain itu, paku pakis ini juga dikenali sebagai paku ayam mas atau golden chicken kerana ciri-ciri bulu halus yang terdapat pada rizomnya.
Rizom merupakan batang tumbuhan yang tumbuh mendatar di bawah tanah. Struktur rizom menjalankan fungsi yang sama seperti batang kerana menghasilkan tunas yang tumbuh ke permukaan tanah. Bahagian ini juga dianggap sebagai akar kerana berada di dalam tanah dan akar sebenar akan terhasil dan keluar daripada rizom.
Rizom paku ayam mas ditutupi dengan bulu halus berwarna perang berkilat seakan-akan menyerupai bulu keemasan, sinonim dengan penamaan spesies ini, iaitu paku bulu emas. Ciri ini telah menjadikan spesies ini unik dan menjadi antara ciri utama dalam proses pengecaman spesies paku pakis ini.
Cibotium barometz merupakan tumbuhan asli yang mempunyai taburan meluas di China dan Asia Tenggara yang merangkumi Malaysia, Singapura dan Indonesia, Assam ke selatan negara China. Spesies ini telah tersebar ke negara Asia lain seperti Korea kerana keistimewaannya yang boleh digunakan dalam industri kosmetik.
Di Semenanjung Malaysia, spesies ini boleh ditemukan di Cameron Highland dan Bukit Fraser, Pahang. Spesies ini mudah dijumpai di cerun yang terbuka dan di sekitar pinggir sungai di hutan hujan tropika dengan ketinggian antara 500 meter hingga 800 meter dan hutan pergunungan rendah dengan ketinggian antara 1000 meter hingga 1600 meter.
Cibotium barometz boleh dibiakkan melalui spora dan rizom. Melalui kaedah pembiakan aseksual, iaitu dengan menggunakan rizom, populasinya boleh dibiak dengan pantas. Tumbuhan ini juga selalunya mampu membesar setinggi dua meter tinggi dan padat sehingga memenuhi kawasan yang didominasi.
Di Malaysia, status paku pakis ini dikategorikan sebagai membimbangkan. Hal ini terjadi kerana bukan kerana kurangnya aktiviti untuk mengeksploitasi manfaat tumbuhan ini, namun akibat banyak berlakunya eksploitasi hutan yang memusnahkan habitat asalnya.
Sementara itu, spesies ini dikategorikan sebagai terancam di China kerana banyak diekploitasi untuk tujuan perubatan dan kosmetik. Potensi paku pakis ini sebagai tumbuhan hiasan yang ditanam mengelilingi rumah atau taman juga menjadi buruan pengusaha industri hortikultur.
Cibotium barometz terkenal dengan keistimewaannya sebagai tumbuhan yang digunakan untuk tujuan perubatan. Setiap bahagiannya mempunyai kegunaan tersendiri. Rizom tanaman ini dapat menghasilkan bahan yang mempunyai potensi antiradang, anodin yang berfungsi untuk mengurangkan kesakitan dan vermifuj yang berfungsi untuk memusnahkan dan menyingkirkan cacing yang berada dalam usus.
Selain itu, tanin dan astringen juga boleh didapati daripada rizomnya yang boleh dijadikan bahan salap dan berkesan untuk menghentikan pendarahan. Beberapa kegunaan rizom untuk perubatan termasuklah merawat sakit sendi, sakit belakang badan yang kronik, sakit yang disebabkan keradangan saraf tulang belakang, disuria (kesakitan ketika membuang air kecil), kerap membuang air kecil dalam kalangan warga tua dan untuk merawat osteoporosis.
Pelepah paku pakis ini juga berguna untuk mempercepat penggumpalan darah dan berkesan untuk menghentikan pendarahan yang disebabkan oleh salur darah yang pecah. Di China, akar paku pakis ini dijadikan tonik yang mampu memberikan kesan khas kepada organ kelamin–urin.
Sungguhpun telah banyak ubat-ubatan yang dihasilkan dengan menggunakan spesies paku pakis ini, kita haruslah tidak sewenang-wenangnya menggunakan mana-mana bahagian tumbuhan ini untuk dijadikan ubat tanpa merujuk pakar perubatan, ahli farmasi atau rujukan yang sahih.
Walaupun spesies paku pakis ini tidaklah menjadi tumpuan untuk kegunaan perubatan dan tidak terancam di Malaysia, usaha untuk memelihara spesies ini perlulah sentiasa aktif untuk memastikan populasi spesies ini dalam keadaan yang baik dan kekal untuk rujukan dan boleh dilihat oleh generasi akan datang. Spesies ini juga antara spesies paku pakis yang menjadi pilihan utama Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai satu daripada koleksi spesies untuk tujuan pemuliharaan.
Secara ringkasnya, Cibotium barometz yang juga dikenali sebagai paku pakis bulu emas mempunyai beberapa nilai dan faedah ekonomi. Antaranya termasuklah:
Secara keseluruhannya, berdasarkan fakta yang dibincangkan dalam rencana ini, Cibotium barometz mempunyai nilai ekonomi yang signifikan dalam pelbagai industry. Spesies ini juga memberikan faedah yang pelbagai dalam bidang kesihatan, hortikultur dan kosmetik.
Dr. Mohd Ikmal Asmuni, Dr. Siti Nurfaeiza Abd Razak dan
Profesor Dr. Noraini Talip,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.