Oleh Anizah Mahmod
22 April 2024, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada April 2024, Hospital Port Dickson membuat laporan tentang beberapa individu yang dimasukkan ke hospital tersebut kerana disyaki mengalami keracunan makanan setelah memakan kupang. Dalam kejadian tersebut, dua kes dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat kelumpuhan, lima kes ditahan di wad dan satu kes menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dengan segera mengambil sampel kupang berserta sampel air dari kawasan berkenaan. Hasil analisis mendapati bahawa spesies kupang dan air di kawasan tersebut telah dicemari dengan toksin dari alga dinoflagelat, iaitu Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.

Keracunan kerangan yang melumpuhkan atau paralytic shellfish poisoning (PSP) merujuk keracunan kerang-kerangan yang berbahaya dan paling banyak berlaku di dunia. Setakat ini, PSP mencatatkan sebanyak 87 peratus daripada insiden keracunan tahunan di seluruh dunia. Hal ini menjadikannya sebagai keracunan yang paling biasa berlaku, berbahaya dan mencatatkan jumlah kematian yang tinggi.

PSP terjadi apabila seseorang memakan kerang-kerangan yang tercemar dengan saxitoxin (STX) atau dikenali sebagai toksin PSP. STX ialah kumpulan toksin yang dihasilkan oleh spesies alga. Satu daripada tujuan alga menghasilkan toksin adalah untuk melindungi alga ini daripada dimakan oleh pemangsa.

Toksin STX bertanggungjawab menyebabkan PSP, penyakit serius bawaan makanan laut yang memberikan kesan kepada kesihatan manusia. STX dianggap sebagai satu daripada toksin marin yang sangat kuat dengan dos maut serendah satu hingga empat mikrogram per kilogram berat badan. Kekuatan ini menjadikan STX sebagai toksin yang memberikan risiko kesihatan yang signifikan apabila kerang-kerangan yang tercemar ini dimakan.

Di perairan Malaysia, STX terhasil dari spesies alga dinoflagelat semasa ledakan alga berbahaya atau juga disebut harmful algae blooms (HAB). HAB ialah fenomena semula jadi yang berlaku kerana peningkatan spesies alga dalam persekitaran marin dan air tawar.

Pertumbuhan alga memberikan banyak manfaat, terutamanya sebagai makanan kepada hidupan laut. Namun demikian, terdapat banyak spesies alga yang boleh membahayakan kesihatan dan mengganggu ekosistem.

Kejadian HAB menghasilkan toksin marin yang berbahaya. Kesan negatif dari HAB adalah seperti penghasilan toksin, mengurangkan kandungan oksigen di dalam air dan menganggu ekologi.

Apabila terlalu banyak alga yang tumbuh, keadaan tersebut menyebabkan keadaan hipoksia (rendah oksigen) atau anoksia (tiada oksigen) yang berbahaya kepada ikan dan hidupan air yang lain yang memerlukan oksigen untuk meneruskan hidup. Selain itu, HAB mengganggu siratan makanan, menghalang alga yang bermanfaat untuk tumbuh dan mengubah proses kitaran nutrien.

Alga spesies dinoflagelat mempunyai sistem reproduktif yang efisien. Dinoflagelat melakukan pembiakan aseks melalui pemisahan sel yang membolehkannya membiak dengan segera dalam persekitaran yang kondusif. Alga spesies ini membiak dengan cepat apabila suhu air meningkat akibat cuaca panas, air mempunyai tahap nitrogen dan fosforus yang tinggi serta dalam keadaan air yang tenang.

Semasa berlaku ledakan alga dinoflagelat, STX dilepaskan ke dalam air oleh alga ini. Kerang-kerangan mengumpulkan STX di dalam tisu badan melalui proses yang dikenali sebagai biopengumpulan.

Semasa mendapatkan makanan, kerang-kerangan akan membuka cangkerangnya bagi mendapatkan partikel makanan dan menapis air laut. Kerang-kerangan menapis zarah mikrosopik, termasuklah alga, fitoplankton dan bahan organik dari air di persekitarannya.

Kerang-kerangan melakukan proses ini dengan menggunakan silia atau pergerakan otot. Proses ini berlaku secara berterusan selagi adanya air yang mengalir.

Mekanisme ini membolehkan kerang-kerangan memerangkap partikel makanan secara efisien di dalam air. Apabila partikel makanan ini dicernakan, STX berkumpul di dalam tisu kerang-kerangan, terutamanya di bahagian pencernaan dan tisu lembut lain.

STX tidak membahayakan kerang-kerangan ini kerana haiwan itu mampu bertoleransi dengan toksin. Selain itu, kerang-kerangan mempunyai mekanisme untuk mengasingkan toksin di dalam tisu tertentu. Toksin yang terkumpul di dalam tisu kerang-kerangan hanya mendatangkan bahaya kepada organisma yang memakannya.

STX mempunyai tahap ketoksikan lebih 100 ribu kali ganda berbanding dengan anestetik biasa. Selepas pengambilan makanan yang mengandungi STX, toksin ini akan segera dibebaskan ke dalam badan.

STX menyekat saluran natrium dan kalsium untuk melintasi sel membran dan seterusnya mengganggu penghantaran isyarat saraf di dalam badan manusia. Selain itu, STX menganggu saluran kalium dan menyukarkan saraf untuk menghantar isyarat dengan baik.

STX akan diedarkan ke seluruh badan yang menyebabkan gejala seperti kebas, cirit-birit, loya, muntah, pening, susah untuk bernafas dan lumpuh. Perubahan tekanan darah juga berlaku kepada hampir semua mangsa.

Gejala akibat memakan kerang-kerangan yang dicemari dengan toksin boleh berlaku dalam tempoh 30 minit setelah pengambilan makan kerang-kerangan, manakala kematian pula dilaporkan selepas tiga jam hingga empat jam. Antara rawatan perubatan yang diberikan kepada mangsa termasuklah sokongan pernafasan dan terapi bendalir.

Prognosis bagi kes ini adalah positif apabila pesakit boleh bertahan lebih dari 24 jam. Tahap keseriusan gejala juga bergantung pada jumlah toksin yang telah dicernakan serta kerentanan individu.

PSP merupakan isu global yang berlaku di kawasan HAB. Pada setiap tahun, lebih daripada dua ribu kes PSP dengan kadar kematian dalam anggaran 15 peratus dilaporkan di seluruh dunia. Di Malaysia, PSP pertama kali berlaku di perairan pantai Sabah pada tahun 1970-an yang berpunca daripada spesies alga Pyrodnium bahamense.

Sementara itu, kes PSP pertama dilaporkan di Semenanjung Malaysia adalah di Sebatu di Selat Melaka pada tahun 1991. Di kawasan tersebut, projek pembiakan kerang-kerangan kebangsaan telah dilaksanakan.

Sebanyak tiga orang dilaporkan mengalami keracunan setelah makan kupang di Sebatu. Dalam kejadian ini, spesies yang ditemukan ialah Alexandrium tamiyavanichii.

Pengumpulan kerang-kerangan dari kawasan tersebut diharamkan oleh Jabatan Kesihatan selama beberapa bulan selepas insiden tersebut berlaku. Pada September 2011 pula, enam keracunan dicatatkan apabila mangsa mengambil kerang bentik yang dikumpulkan di Tumpat, Kelantan.

Aktiviti pertanian dan aktiviti di kawasan pantai menyebabkan berlakunya eutrofikasi di kawasan perairan. Eutrofikasi ialah proses yang berlaku apabila air mempunyai tahap nutrien seperti nitrogen dan fosforus yang tinggi. Sumber nutrien ini berpunca daripada aktiviti agrikultur, pembuangan bahan kumbahan serta penggunaan baja.

Apabila nutrien ini masuk ke dalam air, nutrien tersebut membantu pertumbuhan tumbuhan akuatik, terutamanya alga. Kejadian HAB menyebabkan perubahan warna air seperti kehijauan, kemerahan, atau keperangan.

Kawalan HAB di Malaysia dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan. Walau bagaimanapun, selang masa pensampelan dan kekerapan pemantauan mestilah mencukupi untuk memantau kejadian HAB.  Kejadian HAB dan ketoksikan makanan laut yang berkaitan memberikan beban kepada negara yang mengalaminya dari sudut kesihatan, ekosistem dan ekonomi.

Antara langkah yang disyorkan oleh penyelidik termasuklah melakukan pemantauan dengan lebih baik semasa kejadian HAB dan pensampelan kerang-kerangan secara berkala untuk menentukan tahap toksin. Selain itu, penyebaran maklumat yang lebih luas melalui media massa tentang bahaya memakan kerang-kerangan yang tercemar dalam kalangan nelayan, penjual makanan laut dan masyarakat hendaklah dipergiat dari semasa ke semasa.

Masyarakat juga hendaklah memberikan perhatian terhadap pekeliling atau maklumat semasa daripada pihak kesihatan berkaitan dengan keselamatan makanan laut. Orang ramai juga perlu mengetahui bahawa memasak kerang-kerangan untuk dijadikan makanan tidak akan memusnahkan STX. Oleh hal yang demikian, penting untuk orang ramai mengelak daripada mengambil kerang-kerangan dari kawasan perairan yang telah dikenal pasti dicemari oleh toksin ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.