17 April 2024, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewasa ini, permintaan produk berasaskan tumbuh-tumbuhan semakin meningkat. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat mula sedar akan kepentingan penjagaan kesihatan melalui corak pemakanan. Tidak kurang juga mereka yang mengamalkan diet veganisme, vegetarianisme atau flexitarian kerana ingin meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan.

Rentetan perubahan gaya pemakanan masyarakat, permintaan makanan dan minuman alternatif yang berasaskan tumbuhan terus meningkat. Oleh sebab itulah banyak syarikat mula memperkenalkan produk berasaskan tumbuh-tumbuhan demi memenuhi permintaan pengguna.

Inovasi sate vegan daripada umbut dan jantung pisang untuk kesihatan.

Akibat perubahan permintaan pasaran, kumpulan penyelidik daripada Program Sains Makanan, Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) yang terdiri daripada Dr. Yusnita Hamzah, Dr. Nor Akma Ismail, Dr. Nabilah Abdul Hadi, Dr. Nurmahani Mohd Maidin dan Dr. Nur Suaidah Mohd Isa yang bertindak sebagai ketua telah membangunkan produk inovatif sate vegan berasaskan jantung dan umbut pisang.

Menurut Dr. Nur Suaidah, inovasi produk ini bukan sahaja membuka ruang kepada peningkatan penggunaan sumber-sumber tempatan seperti jantung pisang, malah memenuhi keperluan semasa dalam penghasilan produk makanan mampan (sustainable food product).

Tambahnya, sate vegan berasaskan jantung dan umbut pisang dibangunkan bagi memenuhi keperluan pasaran vegan dan pengguna yang mementingkan pemakanan sihat. Melalui pengambilan sate ini, pengguna dapat menikmati rasa asli sate yang lebih sihat.

Sate vegan dibangunkan dengan meniru rasa dan tekstur sate ayam atau daging sebenar. Ciri ini bukan sahaja memberikan pilihan yang lebih luas dalam pemilihan makanan dalam kalangan pengamal vegetarian dan vegan, malah mengandungi kandungan serat yang mencukupi dan seimbang untuk keperluan harian.

Inovasi produk sate vegan yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UMT.

Sate vegan yang dihasilkan ini tinggi dengan kandungan serat serta rendah kandungan lemak dan kolesterol. Kelebihan ini menjadikannya sebagai alternatif yang sihat dengan ciri tekstur yang menyamai sate ayam.

Produk ini juga dihasilkan secara sejuk beku dan disertakan dengan kuah kacang yang memudahkan penyediaannya dalam tempoh yang cepat. Pengguna hanya perlu memanaskannya semula sebelum disajikan. Kemudahan ini secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan pengguna pada masa ini yang sibuk dengan urusan harian dan mementingkan produk makanan yang mudah disediakan.

Dr. Nur Suaidah berkata, UMT melalui FPSM merancang untuk mengadakan kerjasama dengan industri bagi tujuan pengkomersialan. Beliau juga mengharapkan agar produk ini akan berada dalam pasaran produk makanan sejuk beku pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.