20 April 2024, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Landskap dunia pendidikan kini sedang mengalami metamorfosis yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Teknologi berkuasa tinggi ini mempunyai potensi besar dalam membuka dan menjelajah ruang pembelajaran diperibadikan (personalized learning) tanpa mengira masa dan tempat. Selain itu, teknologi ini berupaya merapatkan jurang pendidikan untuk komuniti yang mempunyai latar belakang yang berlainan dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif serta interaktif.

Walau bagaimanapun, memanfaatkan teknologi dan kelebihan sebenar AI dalam pendidikan memerlukan pemahaman yang tinggi tentang keupayaannya. Di samping itu, cara pengendaliannya, pandangan kritis terhadap potensi cabaran dan komitmen dalam melaksanakannya daripada tenaga pengajar mahupun pelajarnya juga dituntut sebelum meneroka dengan lebih jauh lagi tentang teknologi ini.

Sehubungan dengan itu, rencana ini ingin membincangkan kelebihan utama teknologi dan kuasa AI ini diguna pakai dalam proses pembelajaran pada masa ini. Rencana ini juga akan menjawab beberapa persoalan yang berlegar-legar tentang teknologi AI dalam ruang pembelajaran yang dilihat semakin mencabar dan berdaya saing.

Keupayaan Teknologi AI Sebagai Pendorong Kejayaan Pelajar

Secara tradisinya, pendidikan dan pembelajaran sering menggunakan pendekatan pukul rata. Kedua-duanya dipandang dan diresipikan dengan kaedah yang sama bagi semua golongan pelajar, tanpa mengira peringkat sekolah mahupun menara gading.

Walau bagaimanapun, jika dilihat dari skop yang lebih luas dan hasil kajian lepas, majoriti pelajar lebih cenderung belajar pada kadar yang berbeza dan mempunyai kekuatan serta kelemahan yang unik dari segi pengetahuan serta pemahaman kandungan pembelajaran. Dalam hal ini, teknologi AI boleh merevolusikan paradigma setiap pelajar dengan mencipta dan meneroka suasana pembelajaran secara peribadi dengan mengikut beberapa tatacara seperti yang berikut:

1. Pemahaman dipacu data

Pemahaman dipacu data akan memanfaatkan teknologi dan kebolehan AI dalam menganalisis data pelajar, termasuklah markah ujian, corak pembelajaran dan metrik pelibatan dalam apa-apa jua aktiviti mereka.

Data ini akan memberikan analisis yang ketara tentang kekuatan dan kelemahan setiap pelajar, selain membolehkan tenaga pengajar mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan tambahan atau peluang pengayaan. Data ini kemudiannya akan dikumpulkan dalam satu bentuk jadual yang sistematik dan boleh dicapai mengikut tapisan tertentu.

 

2. Platform pembelajaran secara adaptif

Apabila terdapat platform pembelajaran yang dikuasai oleh teknologi AI, data sedia ada boleh diguna pakai untuk mencipta dan membuka ruang pembelajaran yang baharu. Secara tidak langsung, pelajar akan dapat memahami konsep pembelajaran dengan lebih cepat dan berteknologi.

Pelajar juga memerlukan sokongan tambahan supaya boleh menerima intervensi dan sumber yang disasarkan. Hal ini bagi memastikan pemikiran dan keupayaan pelajar sentiasa dicabar dan sentiasa berada pada tahap pembelajaran yang optimum.

3. Maklum balas diperibadikan

Sistem tutorial berteknologi AI boleh memberikan maklum balas masa nyata dan diperibadikan. Teknologi ini dapat mengenal pasti salah tanggapan daripada pelajar dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Selain itu, pelajar akan mendapat penjelasan dalam masa nyata dan cadangan pembetulan masalah yang dihadapi. Maklum balas berterusan ini menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang konsep dan memperkasakan pelajar untuk mengambil alih pembelajaran mengikut masa dan kesesuaian pemikiran mereka.

Merapatkan Jurang Ekuiti: AI sebagai Alat untuk Pendidikan Inklusif

Pendidikan harus menjadi medan permainan yang sama rata apabila semua pelajar berpeluang untuk mencipta kejayaan tersendiri tanpa mengira latar belakang atau kemampuan. Persaingan yang sihat dan terbuka ini akan memberikan hasil pembelajaran yang dalam dari pelbagai perspektif dan bersifat lebih dinamik.

Dengan suntikan teknologi AI dalam suasana pembelajaran masa kini, jurang pengetahuan kebolehupayaan pelajar dapat dirapatkan dan memberikan nilai keterangkuman dalam diri setiap pelajar tersebut. Tiga kelebihan apabila teknologi AI digunakan dalam sistem pembelajaran adalah seperti yang berikut:

1) Kebolehcapaian untuk pelajar berlainan upaya

Bantuan dan penggunaan teknologi AI dalam pembelajaran secara tidak langsung boleh memenuhi keperluan khusus pelajar yang berlainan upaya. Misalnya, perisian teks dalam pertuturan boleh membantu pelajar yang mengalami masalah kurang penglihatan beralih daripada menggunakan deria mata kepada deria pendengaran untuk memahami sesuatu kandungan yang lebih jelas. Teknologi pengecaman pertuturan pula boleh memperkasakan pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran untuk mengekspresikan diri mereka dengan lebih berkesan.

Perisian dan teknologi ini akan menghapuskan halangan kepada pembelajaran. Kelebihan ini juga akan menggalakkan penyertaan positif daripada pelajar yang berkelainan upaya, selain membolehkan semua pelajar melibatkan diri sepenuhnya dalam persekitaran pembelajaran yang inklusif.

2) Sokongan pembelajaran bahasa

Perisian terjemahan bahasa yang berteknologi AI boleh merapatkan jurang bagi pelajar yang masih mengembangkan kecekapan dalam bahasa pengantar utama.

Perisian ini boleh menyediakan terjemahan masa nyata bagi kuliah dan bahan pembelajaran, selain memastikan semua pelajar boleh mencapai dan memahami kandungan. Dengan mengeluarkan halangan bahasa ini, teknologi AI boleh memperkasakan pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk berkembang maju dalam akademik.

3) Sokongan peribadi untuk pelajar yang bermasalah

Sistem tunjuk ajar dan pemantauan yang dikuasakan oleh AI boleh memberikan sokongan yang disasarkan bagi pelajar yang ketinggalan atau menghadapi cabaran dalam bidang pembelajaran yang tertentu.

Sistem ini boleh mengenal pasti jurang pengetahuan dan menawarkan peluang pengajaran serta amalan yang diperibadikan untuk membantu pelajar mengejar dan menguasai kemahiran penting dalam masa yang tertentu. Sistem ini akan mengenal pasti titik kelemahan yang ada dalam diri pelajar menerusi beberapa perwajaran yang diberikan dan kemudiannya akan memberikan beberapa pilihan untuk pelajar memilih.

Pembelajaran secara Interaktif: Teknologi AI sebagai Pencetus Penerokaan Rasa Ingin Tahu

Susunan dan ruangan bilik darjah secara tradisional kebanyakannya bersifat statik dan satu dimensi sahaja. Konsep ini akan dilihat terlalu skeptikal dan akan membuatkan pengalaman belajar itu berada pada tahap mendatar.

Bagi memberikan dan membuka ruang penerokaan ruang yang lebih dinamik, teknologi AI menawarkan penciptaan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif yang membuka ruang ingin tahu pelajar kepada pengetahuan yang lebih mendalam. Antaranya termasuklah:

1) Pengalaman pembelajaran secara immersive

Simulasi yang dikuasakan dengan teknologi AI boleh menjadikan pembelajaran lebih interaktif, dinamik dan kritis. Bayangkan simulasi yang membolehkan pelajar meneroka secara maya peristiwa bersejarah seperti pembinaan piramid atau menjalankan eksperimen saintifik dalam persekitaran digital yang selamat dan terkawal. Menarik, bukan?

Teknologi AI akan membolehkan pelajar untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sesuatu konsep yang kompleks. Pada masa yang sama, penggunaan teknologi ini akan memberikan pengetahuan dan pengalaman yang berbeza kepada setiap pelajar dalam mengadaptasikan suasana pembelajaran yang baharu.

2) Gamifikasi pembelajaran

Gamifikasi dalam pembelajaran yang dikuasakan oleh AI boleh mengubah suasana pembelajaran daripada tugasan bersifat tradisional menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan menarik. Permainan ini boleh direka bentuk khusus untuk menyasarkan objektif pembelajaran yang diperlukan selain memberikan pelajar maklum balas dan ganjaran segera untuk kemajuan mereka.

Konsep gamifikasi ini juga boleh mendorong pelajar untuk mengambil alih pembelajaran dan menggalakkan mereka untuk berlatih dan memperhalusi kemahiran sendiri dengan cara yang teratur, dipantau dan dinamik.

3. Persekitaran pembelajaran adaptif

Persekitaran pembelajaran dikuasakan AI boleh menyesuaikan diri dengan rentak dan gaya pembelajaran pelajar. Bayangkan persekitaran interaktif yang menyesuaikan tahap kesukaran bahan pembelajaran atau memberikan petunjuk dan sumber tambahan berdasarkan prestasi pelajar. Pendekatan yang diperibadikan ini berupaya menggalakkan pencapaian dan memastikan pelajar bermotivasi untuk terus belajar.

Memperkasakan Pendidik: AI sebagai Rakan Kongsi, Bukan Pengganti

Pendidik ialah nadi dan jiwa kepada mana-mana persekitaran pembelajaran yang berkesan. Tugas yang digalas oleh pendidik tidak terbatas dalam satu ruang lingkup dan objektif sahaja, bahkan lebih daripada yang dijangka.

Walaupun teknologi AI menawarkan potensi yang sangat besar, orang ramai perlu memahami bahawa AI bukanlah pengganti kepada peranan pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana peranan pendidik tetap peranan yang tidak boleh diganti. Untuk memperkasakan peranan pendidik itu dengan lebih besar, AI boleh membantu dalam aspek:

  1. Mengautomasikan tugas pentadbiran

Dengan bantuan teknologi AI, beban tugasaan pentadbiran boleh diringankan dan pendidik akan mempunyai lebihan masa untuk membuat kajian dan lebih fokus kepada objektf pengajaran dengan lebih jelas dan bermutu. Membayangkan sistem yang dilengkapi dengan teknologi AI untuk mengendalikan tugas rutin seperti pengedaran ujian pelbagai pilihan, penjejakan kehadiran dan penjanaan laporan individu dalam masa nyata akan membebaskan pendidik daripada keserabutan dalam mengendalikannya secara manual.

Hal ini secara tidak langsung akan membolehkan pendidik untuk menumpukan pada perkara terbaik yang mereka boleh lakukan seperti menyediakan bimbingan yang diperibadikan, memupuk kreativiti dan kemahiran berfikir kritis dan membina hubungan bermakna dengan pelajar mereka.

  1. Arahan dipacu data

Dengan memfokuskan AI kepada teknologi yang boleh menyediakan para pendidik dengan cerapan terpacu data yang berharga tentang kemajuan pembelajaran pelajar mereka, penjimatan masa dan tenaga akan berlaku, sekali gus membolehkan pendidik dapat meneliti maklumat yang lebih inklusif dan bersasar.

Maklumat dalam data ini boleh digunakan untuk mengenal pasti bidang yang bersesuaian dengan latar belakang pelajar yang ada dan membolehkan analisis bersasar dilakukan oleh pendidik. Apabila data seperti ini berada dalam simpanan pendidik, segala kerja penambahbaikkan mutu pembelajaran boleh disediakan dengan segara.

Masyarakat Bersatu dalam Membentuk Masa Hadapan Pendidikan

Penyatupaduan teknologi AI ke dalam sistem pendidikan memberikan peluang yang menarik dan cabaran yang ketara untuk pendidik mahupun pelajar. Sebagai sebuah komuniti yang pelbagai latarbelakang, kita mesti menerima pendekatan kolaboratif bagi memanfaatkan kuasa dan teknologi AI secara bertanggungjawab.

Perbincangan terbuka yang melibatkan pendidik, ibu bapa, pelajar dan pembangun teknologi adalah penting bagi memastikan teknologi ini dapat melengkapkan dan meningkatkan kaedah pedagogi tradisional kepada pedagogi yang berlatarkan teknologi semasa. Hal ini akan membantu persekitaran komuniti mengutamakan pemikiran kritis dan pembangunan sosial–emosi, di samping memanfaatkan faedah teknologi AI dalam kehidupan. Bagi merealisasikan impian ini, kerjasama dan visi yang jelas perlu disegerakan bagi membentuk masa hadapan pembelajaran dengan teknologi AI berfungsi sebagai alat yang berkuasa, memperkasakan pendidik dan memacu landskap pembelajaran komuniti ke arah masa hadapan yang lebih cerah.

 

Khairul Yusri Zamri merupakan Pensyarah Kanan dan Pengarah Program di Taylor’s University. Beliau mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dan lebih 600 projek pembangunan reka bentuk aplikasi dan interaktif berjaya disiapkan. Beliau juga aktif memberikan pandangan dan pendapat dalam bidang berkaitan dengan teknologi pembelajaran pada masa ini di beberapa institusi pendidikan selain menjadi juri jemputan dalam beberapa pertandingan kreatif.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.