Oleh Rashid Ating
8 April 2024, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 8 April 2024, bumi akan mengalami gerhana matahari yang akan melintasi negara seperti Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada di benua Amerika Utara. Gerhana matahari penuh dijangka akan bermula dari Lautan Pasifik Selatan. Jika cuaca mengizinkan, lokasi pertama di benua Amerika Utara yang akan mengalami gerhana matahari ialah Pantai Pasifik, Mexico pada pukul 11.07 pagi (waktu Pasifik).

Lakaran perjalanan gerhana matahari yang akan melalui beberapa kawasan di Mexico,
Amerika Syarikat dan Kanada.

Laluan gerhana matahari akan dari bermula dari Mazatlan, Mexico, sebuah bandar dan pelabuhan yang terletak di barat daya Sinaloa Estado, di barat utara–tengah Mexico. Lokasi ini terletak di selatan Teluk California dan terus ke timur hingga hujung selatan semenanjung California.

Setelah itu, gerhana matahari ini akan memasuki 15 kawasan di Amerika Syarikat yang bermula di Texas dan melalui beberapa kawasan seperti Oklahoma, Arkansas, Missouri, Illinois, Kentucky, Indiana, Ohio, Pennsylvania, New York, Vermont, New Hampshire dan Maine. Sebahagian kecil Tennessee dan Michigan juga akan mengalami gerhana matahari penuh.

Pada masa yang sama, gerhana akan memasuki enam kawasan di Kanada seperti di Ontario Selatan dan melalui Quebec, New Brunswick, Pulau Prince Edward dan Cape Breton. Gerhana matahari kemudiannya akan keluar dari benua Amerika Utara melalui pantai Atlantik Newfoundland, Kanada pada pukul 5.16 petang (waktu Newfoundland).

Orang ramai yang ingin melihat fenomena gerhana matahari di kawasan ini dinasihatkan tidak melihat fenomena ini secara terus dengan menggunakan mata kasar. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan tersebut akan merosakkan mata dan berpotensi menyebabkan buta kekal. Sebaliknya, penggunaan penuras khas semasa melihat fenomena gerhana matahari amat digalakkan.

Gerhana matahari kali ini tidak akan terjadi di Malaysia dan negara lain yang berada di garisan khatulistiwa bumi. Hal ini adalah kerana laluan utama gerhana ini hanya akan melintasi negara di benua Amerika Utara sahaja.

Walau bagaimanapun, Malaysia akan mengalami gerhana separa pada 20 April 2024, 12 hari selepas kejadian gerhana matahari ini. Fenomena gerhana separa ini akan bermula pada pukul 11.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang bagi mereka yang berada di Sabah, manakala pukul 1.00 tengah hari bagi mereka yang berada di Semenanjung.

Kawasan di Malaysia yang akan mengalami gerhana matahari separa.
(Sumber: Laman sesawang Agensi Angkasa Malaysia)

Berdasarkan laman web Agensi Angkasa Malaysia, terdapat 42 kawasan di 14 buah negeri di seluruh Malaysia yang boleh dijadikan lokasi untuk melihat gerhana matahari separa pada 20 April 2024 nanti. Lokasi untuk melihat gerhana matahari separa ini bukanlah keseluruhan untuk sesuatu negeri tersebut, namun hanya tiga kawasan bagi setiap negeri sahaja yang terlibat kerana litupan faktor bayang-bayang.

Sebagai permulaan, kawasan di Johor akan mengalami gerhana matahari separa lebih awal berbanding dengan kawasan lain di Semenanjung Malaysia. Daerah Skudai, Batu Pahat dan Muar akan mula mengalami gerhana bulan separa masing-masing pada pukul 10.56 pagi, 10.57 pagi dan 10.59 pagi. Beberapa daerah di Johor juga mengalami gerhana matahari separa beberapa minit lebih awal berbanding dengan daerah Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak pada pukul 10.57 pagi, 11.00 pagi dan 11.04 pagi.

Sementara itu, negeri yang paling lambat mengalami gerhana matahari separa ialah Perlis, iaitu pada pukul 11.26 pagi, 11.26 pagi dan 11.28 pagi masing-masing bagi daerah Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar. Daerah di Sibu, Sarawak; Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, Sabah; dan Miri, Sarawak pula antara merupakan daerah yang paling lama merekodkan fenomena gerhana matahari separa kali ini dalam tempoh masa selama tiga jam 14 minit; dua jam 46 minit; dua jam 43 minit; dua jam 37 minit dan dua jam 36 minit.

Fenomena gerhana matahari separa merupakan kejadian yang agak unik kerana berlaku pada setiap empat tahun sekali. Kali terakhir fenomena ini berlaku pada 21 Jun 2020 dan akan berlaku semula pada 2 Ogos 2027, yakni empat tahun daripada sekarang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.