19 April 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hernia diafragmatik kongenital atau congenital diaphragmatic hernia (CDH) merupakan kecacatan dalam pembentukan diafragma semasa perkembangan janin di dalam rahim. Diafragma merupakan otot yang memisahkan organ di bahagian abdomen daripada organ di bahagian dada.

Kecacatan ini boleh mengakibatkan organ di bahagian abdomen untuk menjulur ke bahagian dada lalu memberikan tekanan kepada paru-paru. Kecacatan ini merupakan satu daripada bentuk hernia yang jarang-jarang berlaku, namun serius dan boleh menyebabkan masalah pernafasan dan kematian.

Kadar kelahiran bayi dengan CDH direkodkan sebanyak 2.3 dalam 10 ribu kelahiran di seluruh dunia. Di Malaysia, kesedaran terhadap CDH masih rendah. Oleh hal yang demikian, bersempena dengan Hari Kesedaran Hernia Diafragmatik Kongenital Antarabangsa pada setiap 19 April, diharapkan rencana ini dapat memberikan maklumat dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang perkembangan yang tidak normal ini.

Jenis CDH

Terdapat dua jenis CDH yang umum, iaitu hernia Bochdalek dan hernia Morgagni.

Hernia Bochdalek menyumbang sekitar 80 peratus hingga 90 peratus daripada keseluruhan kes CDH. Hernia ini berlaku apabila terdapat lubang atau berlakunya kelemahan otot di bahagian kiri di belakang diafragma. Keadaan ini mengakibatkan organ seperti perut, usus dan hati memasuki bahagian dada melalui lubang tersebut.

Pengumpulan organ ini di bahagian dada mengakibatkan tekanan kepada paru-paru dan akan menyebabkan bayi untuk sukar bernafas. Pada kebiasaannya, hernia ini akan dapat dikenal pasti sewaktu imbasan antenatal ibu atau setelah bayi dilahirkan.

Perbezaan anatomi antara bayi yang normal (kiri) dengan bayi yang mempunyai masalah CDH (kanan).

 

Hernia Morgagni ialah CDH yang jarang-jarang berlaku dan menyumbang sekitar dua peratus daripada kes keseluruhan yang dilaporkan. Hernia ini berlaku apabila terdapat lubang atau kecacatan di bahagian hadapan diafragma. Pesakit mungkin mengalami gejala yang sangat ringan seperti kesukaran untuk bernafas dan gangguan salur pencernaan atau tidak bergejala langsung. Pada kebiasaannya, keadaan ini dapat dikesan apabila anak itu semakin membesar.

Faktor CDH

CDH merupakan keadaan yang sangat kompleks. Faktor yang mengakibatkan CDH juga masih belum diketahui sepenuhnya oleh ahli saintis. Walau bagaimanapun, berdasarkan artikel saintifik, terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan CDH.

Antaranya termasuklah perkembangan embrio. Terdapat laporan dalam jurnal saintifik yang menyatakan bahawa kecacatan ini berlaku pada peringkat embrio yang merujuk berlakunya ketidaknormalan perkembangan embrio. Fenomena ini direkodkan berlaku pada usia lima minggu kehamilan.

Selain itu, faktor genetik juga memberikan kesan kepada berlakunya CDH. Terdapat beberapa penyelidikan yang menekankan sejarah keluarga sebagai aspek yang penting dengan CDH. Sekiranya ada ahli keluarga yang pernah mengalami kecacatan kongenital ini, kecenderungan untuk melahirkan anak dengan CDH adalah lebih tinggi.

Rawatan

Bayi dengan masalah hernia Bochdalek memerlukan rawatan yang sangat teliti. Oleh sebab itu, selepas bayi dilahirkan dan jika doktor merasakan bahawa bayi tersebut menpunyai gejala simpton CDH seperti kesukaran benafas dan bayi menjadi biru (sianosis), bayi tersebut akan dihantar ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) untuk rawatan lanjut.

Di NICU, bayi akan diberikan bantuan pernafasan melalui ventilator untuk menampung pernafasan bayi sementara menunggu pembedahan. Kesemua bayi dengan CDH memerlukan pembedahan.

Tujuan pembedahan ini adalah untuk membaiki lubang otot diafragma dan mengembalikan organ yang bergerak ke rongga abdomen. Untuk keadaan hernia Morgagni, pembedahan juga akan dilakukan selepas mengetahui anak tersebut mempunyai kecacatan otot diafragma.

Langkah Pencegahan

CDH biasanya dikesan melalui imbasan ultrabunyi semasa pemeriksaan rutin kehamilan. Oleh sebab itu, pemeriksaan ini sangat penting dan wajar dituruti oleh setiap wanita untuk memantau perkembangan janin dan secara tidak langsung dapat mengesan sebarang ketidaknormalan.

Untuk masalah ini, tiada sebarang pencegahan khusus yang disarankan oleh pakar perubatan. Walau bagaimanapun, persediaan awal boleh dilakukan sekiranya CDH dapat dikenal pasti pada awal kehamilan.

Antaranya termasuklah dengan menghadiri kaunseling. Kaunseling wajar diberikan kepada pasangan yang bakal menimang anak dengan masalah CDH. Langkah ini amat disarankan agar pasangan tesebut mendapat maklumat yang tepat dan bimbingan yang terbaik untuk mengawal emosi sepanjang kehamilan. Selain itu, pasangan tersebut juga lebih bersedia untuk perkara yang akan mendatang.

Pakar perubatan bagi masalah CDH pada kebiasaannya terdiri daripada pakar neonatologi, pakar bedah kanak-kanak dan pakar lain. Jika CDH dapat dikesan pada awal kehamilan, mereka akan lebih bersedia dan rawatan susulan dapat dilakukan dengan komprehensif.

Pada masa yang sama, ibu bapa perlu mengetahui bahawa pemilihan hospital juga penting untuk merawat CDH. Bukan semua hospital di Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang CDH. Oleh hal yang demikian, berbincanglah dengan doktor anda mengenai pemilihan hospital yang tepat.

Secara kesimpulannya, CDH ialah keadaan yang kompleks kerana masih banyak yang belum diketahui sepenuhnya. Ahli saintis masih melakukan penyelidikan untuk terus memahami mengenai CDH.

Walaupun CDH ialah kecacatan kelahiran yang serius dan mencabar, melalui diagnosis awal dan rawatan yang tepat, bayi dengan CDH boleh menjalankan kehidupan seperti manusia biasa. Oleh hal yang demikian, orang ramai wajar berganding bahu dalam meningkatkan kesedaran dan mendorong penyelidikan yang akan datang mengenai CDH.

Apabila meningkatnya kesedaran dan pemahaman masyarakat tentang masalah CDH, diharapkan pasangan yang mempunyai anak dengan masalah tersebut dapat mendapat sokongan yang diperlukan. Bayi yang mengalami CDH juga dapat menerima rawatan yang sesuai untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.