7 April 2024, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula” merupakan satu daripada peribahasa bahasa Melayu yang cukup popular dalam kalangan masyarakat. Penggunaan perkataan gaharu dalam bait peribahasa ini menunjukkan kepentingan gaharu dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga banyak diabadikan dalam kias, pantun, peribahasa dan sebagainya.

Gaharu sering dikaitkan dengan pembuatan minyak wangi serta mempunyai nilai dan harga yang tinggi dalam pasaran. Namun begitu, istilah gaharu itu sebenarnya bukan merujuk kepada spesies pokok. Sebenarnya, istilah gaharu merujuk resin beraroma yang diperoleh atau dirembes oleh pokok karas. Nama saintifik pokok karas ialah Aquilaria malaccensis. Tumbuhan ini tergolong dalam genus Aquilaria daripada famili Thymelaeaceae.

Sebanyak 25 spesies Aquilaria boleh ditemukan di seluruh dunia. Antara negara yang mempunyai bilangan spesies Aquilaria yang tinggi termasuklah Malaysia, Thailand, Bhutan, Bangladesh, India, Myanmar dan Filipina.

Di Semenanjung Malaysia, terdapat lima spesies karas, iaitu Aquilaria malaccensis, Aquilaria macrocarpa, Aquilaria beccariana, Aquilaria hirta dan Aquilaria rostrata. Kesemua spesies ini boleh ditemukan di kawasan tanah pamah hingga kawasan pergunungan pada aras 750 meter dari aras laut.

Pokok karas yang tumbuh secara semula jadi di hutan boleh mencapai ketinggian hingga 20 meter. Pokok ini mempunyai kulit batang yang merekah, berjalur dan mengeluarkan resin apabila ditakik. Ciri ini menjadi antara ciri morfologi yang digunakan oleh pengusaha resin gaharu, ahli taksonomi, ahli botani dan pihak Jabatan Perhutanan Malaysia untuk mengenal pasti spesies karas di lapangan.

Daun pokok karas berwarna hijau tua dengan permukaan daun berkilat, tersusun secara berselang. Tepi daun ini licin dan mempunyai hujung daun akut (menirus) serta pendek.

Pada kebiasaannya, saiz daun pokok ini dalam julat tiga sentimeter hingga 3.5 sentimeter lebar dan enam sentimeter hingga lapan sentimeter panjang. Bunganya pula berwarna hijau kekuningan, manakala buahnya berbentuk kapsul yang mempunyai tekstur berkayu yang bersaiz antara 2.5 sentimeter hingga tiga sentimeter.

Kulit batang spesies Aquilaria.
Daun spesies Aquilaria malaccensis.

Resin gaharu dikatakan terbentuk secara semula jadi akibat tindak balas pokok karas terhadap serangan bakteria atau kulat di kawasan yang luka, retak atau jangkitan penyakit. Respons ini merupakan satu daripada mekanisme tindak balas atau rangsangan terhadap ancaman luar terhadap spesies ini.

Resin dirembeskan untuk melindungi bahagian pokok yang cedera, sama ada di bahagian batang, akar, dahan dan sebagainya. Lama-kelamaan, resin ini akan menjadi keras dengan sendirinya. Resin inilah yang mengandungi bahan sari yang wangi yang dipanggil gaharu.

Namun demikian, mekanisme penghasilan gaharu masih memerlukan kajian lanjut. Hal ini dikatakan demikian kerana berkemungkinan terdapat faktor lain yang mencetuskan pembentukan resin selain tindak balas terhadap ancaman luar kepada spesies tersebut.

Antara nama komersial bagi gaharu yang sering digunakan pada peringkat antarabangsa termasuklah agarwood, aloeswood, eaglewood dan kalamabak. Pada peringkat tempatan, nama ini juga sering digunakan dalam industri wangian.

Antara negara pengeksport utama gaharu termasuklah negara dari Timur Tengah, Jepun dan China. Dalam pasaran, gaharu biasanya ditemukan dalam dua bentuk, sama ada dalam bentuk serbuk kayu yang sering digunakan dalam upacara keagamaan, perubatan dan tradisional selain minyak gaharu sebagai pati dalam pembuatan minyak wangi atau dalam industri wangian seperti losen, balsam, deodoran dan sebagainya.

Penghasilan gaharu boleh dilakukan dengan dua kaedah, iaitu kaedah tradisional atau kaedah inokulasi. Dalam kaedah tradisional, pokok yang berusia lima tahun ke atas dan mempunyai batang yang berdiameter lapan meter hingga 10 meter akan ditakik dengan menggunakan parang atau kapak di bahagian tertentu seperti batang dan dahan. Rembesan resin gaharu ini akan mengalir keluar daripada takikan tadi. Rembesan akan ditadah dengan bekas dan dibiarkan keras untuk dikutip. Melalui kaedah ini, gaharu boleh diambil dalam tempoh tiga bulan.

Sementara itu, bagi kaedah inokulasi, terdapat tiga teknik yang biasa dilakukan, iaitu teknik takung, teknik menggunakan buluh dan teknik siat atau sapu. Melalui teknik ini, gaharu biasanya terhasil dalam tempoh satu tahun hingga dua tahun selepas inokulasi. Walaupun teknik ini agak lambat untuk mendapat gaharu, namun gaharu akan bertahan lebih lama untuk dikutip. Teknik ini juga lebih mampan untuk pengutipan gaharu.

Pati gaharu gred terbaik (AA) mempunyai harga yang mampu mencecah RM150,000 sekilogram. Terasnya pula dijual antara RM2000 hingga RM18,000 sekilogram mengikut gred, faktor bau dan warna kehitaman. Namun begitu, individu atau syarikat yang mengambil hasil gaharu tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan adalah salah.

Spesies pokok karas telah disenaraikan di bawah The Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) dalam Apendix II yang menyenaraikan semua spesies flora dan fauna yang terancam di dunia. Jika ada pihak yang ingin menanam pokok karas di ladang secara komersial, mereka perlu mendapatkan permit atau kebenaran daripada pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengikut negeri masing-masing terlebih dahulu.

Menyedari potensi serta pasaran gaharu, sebuah syarikat di Gopeng, Perak, iaitu Holystic Gaharu (HOGA) telah menanam lebih 200 ribu pokok karas di ladang Gaharu Tea Valley yang berkeluasan 300 ekar. Berkonsepkan ekopelancongan, pengunjung akan dibawa menaiki van menelusuri ladang pokok karas dan melalui tiga perhentian, iaitu Hilltop View Cafe, Hugging Park dan Lovers Park.

Selain itu, aktiviti lain yang ditawarkan kepada pengunjung termasuklah merentas hutan, mempelajari teknik penanaman pokok karas, sewaan tempat untuk aktiviti pembinaan pasukan, seminar dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, spesies karas ini berpotensi dijadikan satu daripada tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai spesies ini.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada gaharu termasuklah teh herba gaharu, kopi gaharu, teh buah gaharu, biskut gaharu, mi gaharu, nuget gaharu, pensanitasi tangan, bahan penghalau nyamuk (anti-nyamuk), set spa mandian gaharu, minyak gaharu, serbuk gaharu, kayu gaharu, penyental badan, balsam bibir, losen tangan dan badan, tongkat kemenyan dan pelbagai produk lain.

Aquilaria malaccensis digunakan dalam industri bukhoor.

Pada masa ini, permintaan dan pasaran produk gaharu semakin meningkat, terutamanya dalam industri farmaseutikal, kosmetik, produk berasaskan wangian dan sebagainya. Hal ini menyebabkan bekalan gaharu secara semula jadi semakin berkurangan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu diambil oleh pihak berwajib bagi menggalakkan penanaman pokok karas secara komersial untuk memastikan sumber bekalan gaharu yang berterusan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Kisah karas dan gaharu ini boleh dikaitkan dengan pepatah Melayu “lembu punya susu, sapi dapat nama”. Pepatah ini bermaksud pihak lain yang berusaha, bekerja keras dan bersusah payah untuk melakukan sesuatu yang memberi faedah, namun pihak lain yang mendapat pujian dan ganjaran seperti karas punya pokok, gaharu dapat nama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.