4 April 2024, 13:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa telefon pintar telah menjadi keperluan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencapai atau memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh pengguna  melalui kemudahan pelbagai aplikasi. Malaysia juga menduduki tangga ketiga dalam senarai ketagihan telefon pintar di dunia antara tahun 2014 hingga tahun 2020 selepas China dan Arab Saudi berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik di Universiti McGill, Kanada.

Situasi ini menunjukkan bahawa sekiranya keadaan ini tidak dikawal dengan baik, penggunaan telefon pintar yang tinggi akan memberikan impak yang kurang baik kepada pengguna dari pelbagai aspek, terutamanya kesihatan dan sosial. Dari aspek kesihatan, perkembangan ini sekiranya tidak dipantau dengan baik mampu memberikan kesan seperti penyakit yang dikenali sebagai nomofobia, iaitu takut akan kehilangan atau hidup tanpa telefon bimbit yang boleh membawa kesan dalam kehidupan harian mereka.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini juga boleh dipandang dari sudut positif dan sebagai sesuatu yang baik serta boleh dibanggakan dalam kalangan negara maju. Hal ini dikatakan demikian kerana laporan tersebut meletakkan indikator bahawa rakyat Malaysia celik teknologi dan negara ini sedang berada pada landasan menuju status negara maju.

Ketagihan ini turut dibuktikan oleh data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2023 yang melaporkan peratusan capaian rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi bagi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan isi rumah adalah sebanyak 99.3 peratus pada tahun 2022. Melalui data yang sama, turut dinyatakan bahawa lelaki merupakan pengguna tertinggi (98.8 peratus) berbanding dengan wanita (95.9 peratus). Pada masa yang sama, dilaporkan sebanyak 99.7 peratus merupakan pengguna berumur antara 20 tahun hingga 24 tahun.

Data yang sama turut melaporkan bahawa antara aplikasi yang menjadi tumpuan utama pengguna telefon pintar termasuklah rangkaian media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain dengan peratusan sebanyak 92.5 peratus, ikuti dengan aktiviti muat turun kandungan (93.5 peratus), carian maklumat berkaitan dengan pembelian barangan atau perkhidmatan sebanyak 92.5 peratus dan muat turun perisian atau aplikasi (89.1 peratus).

Penggunaan telefon pintar telah meningkat berlipat kali ganda ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Pengguna mengggunakan banyak masa dengan menggunakan telefon pintar untuk saling berhubung, mendapatkan maklumat, melayari media sosial dan memuat turun permainan bagi memenuhi masa semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Ketagihan kepada penggunaan telefon pintar mendorong kepada gejala yang sukar dikawal. Lebih malang lagi apabila banyak para pengguna tidak menyedari bahawa mereka telah berada dalam zon ketagihan yang sukar dikawal. Situasi ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan dewasa sahaja, namun telah merebak kepada kanak-kanak.

Sewajarnya pada usia semuda itu, perkembangan otak kanak- kanak haruslah tidak didedahkan kepada elemen yang boleh membantutkan sel otak untuk memproses maklumat dalam bentuk logik secara semula jadi. Sel otak juga tidak sepatutnya memproses data yang diterima luar daripada kemampuan umur kanak-kanak yang akhirnya akan mendorong kepada kesan kesihatan dan perubahan tingkah laku yang negatif.

Tanda Ketagihan Telefon Pintar

Antara tanda seseorang itu telah mengalami gejala ketagihan telefon pintar termasuklah tidak dapat memberikan fokus pada sesuatu tugasan dan sering gagal menyiapkan tugasan hakiki dengan baik. Hal ini terjadi kerana masa telah banyak diluangkan untuk melayari aplikasi yang ada di dalam telefon pintar. Prestasi dan produktiviti kerja juga akan menurun dengan begitu ketara. Banyak kerja lain tidak dapat dilunaskan seperti yang diharapkan oleh majikan.

Selain itu, pergaulan sosial dengan rakan-rakan atau ahli keluarga terjejas akibat masa banyak dihabiskan dengan melayari aplikasi di dalam telefon pintar. Jurang pergaulan sosial dengan masyarakat juga semakin melebar dan adab antara indvidu semasa berkomunikasi juga tidak dihormati kerana penumpuan diberikan pada telefon atau gajet yang sedang digunakan. Keadaan ini telah memberikan gambaran bahawa pengasingan sosial telah dibina secara tidak langsung dengan dunia sebenar.

Gejala ketagihan telefon pintar juga dapat dikenal pasti dari tingkah laku pengguna itu sendiri seperti cuba menyembunyikan daripada diketahui oleh individu lain berkenaan aktiviti penggunaan telefon pintar. Emosi seseorang itu secara tiba-tiba juga boleh berubah menjadi marah atau menjengkelkan apabila ditegur semasa menggunakan telefon pintar. Perubahan emosi yang sukar dikawal ini jelas menggambarkan bahawa ketagihan telefon pintar telah menguasai penggunanya.

Sementara itu, sikap yang tidak mampu menahan diri daripada ketinggalan mendapatkan berita atau maklumat terkini sehingga sanggup untuk tidak tidur pada waktu malam atau meninggalkan perkara penting yang sememangnya perlu dilunaskan merupakan antara tanda bahawa seseorang itu telah mengalami ketagihan telefon pintar. Seseorang itu juga akan berasa takut dan cemas sekiranya telefon pintar tidak dapat dicapai atau tidak berada pada pengguna itu sendiri. Perasaan gusar dapat dilihat dengan jelas oleh individu lain walaupun sekadar bateri telefon semakin berkurangan atau telefon pintar tidak dapat dihidupkan.

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa ketagihan telefon pintar merupakan fenomena yang membimbangkan serta boleh mempengaruhi kesejahteraan individu. Gejala ketagihan juga akan memberikan kesan yang tidak baik pada diri dan persekitaran sekiranya tidak ditangani dengan baik atau diberikan perhatian yang lebih serius.

Dr. Irwan Syah Md Yusoff,
Ketua,
Unit Pengembangan dan Pemindahan Ilmu,
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia.

Pensyarah Kanan,
Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna,
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia.

Exco,
Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Sesi 2024–2026.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.