20 April 2024, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kerian – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melepaskan sebanyak 100 ekor induk ikan kelisa emas bernilai RM150,000 ke Tasik Bukit Merah bagi memulihara dan memastikan kemampanan spesies tersebut di habitat semula jadinya.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan berkata, pelepasan induk ikan yang dilakukan secara berperingkat bermula pada 17 April 2024 mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada penternak ikan kelisa emas di negeri itu.

Pelibatan dan kerjasama antara semua pihak sangat diperlukan dan saling bergantung antara satu sama lain bagi menjamin kejayaan usaha konservasi serta merancakkan dan mengembangkan semula industri ikan kelisa emas.

Menurut beliau, kehadiran penternak dan komuniti nelayan pada hari ini jelas menunjukkan komitmen mereka dalam membantu jabatan menjayakan usaha pemuliharaan bagi menjamin kelestarian sumber.

Dalam kenyataan itu juga, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 1.5 juta ekor ikan kelisa berjaya dieksport pada tahun lalu dengan nilai dagangan berjumlah RM78 juta.

Katanya, jabatan sentiasa bersedia membantu pengusaha dalam memberikan khidmat nasihat teknikal dan pengurusan, terutamanya dari segi urusan mendapatkan permit Convention on International Trade in Endangered Species (CITES) bagi tujuan eksport.

Bermula dari tahun 2011 hingga tahun 2024, sebanyak 18 orang penternak ikan kelisa emas di Perak telah menerima bantuan peralatan dan input bagi aktiviti akuakultur melalui Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.49 juta.

Jelas beliau, jabatan juga sedang meneliti dan menilai semula Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah, Perak sedia ada agar lebih relevan dengan pembangunan semasa di kawasan tersebut.

Tambah beliau, DOF negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menyenaraikan dan memasukkan terma santuari dan spesies ikan kelisa emas sebagai ikan yang dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Negeri Perak 1992.

Cadangan pindaan pelaksanaan penguatkuasaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1992 Negeri Perak juga menyentuh tentang kawalan penangkapan ikan kelisa emas di perairan sungai dengan mengehadkan saiz maksimum 15 sentimeter (enam inci) sahaja yang boleh ditangkap.

Ujar beliau, penguat kuasa jabatan sentiasa membuat rondaan berkala di kawasan tempat pelepasan induk ikan bagi memastikan kesemua ikan tersebut tidak ditangkap.

Dalam sesi libat urus bersama-sama nelayan yang pernah diadakan sebelum ini, jabatan turut mengingatkan kepada pihak yang berkaitan agar tidak menangkap ikan kelisa emas dan melepaskan semula ikan tersebut sekiranya tertangkap.

Pada program yang sama juga, sesi libat urus jabatan bersama-sama pemegang taruh telah diadakan bagi mendapatkan pandangan untuk penambahbaikan pelan tersebut.

Sementara itu, sesi penyampaian cek cura bantuan program Kebuniti MADANI (subsektor akuakultur) bernilai RM21,000 kepada komuniti nelayan Tasik Bukit Merah daerah Kerian berupa input peralatan, iaitu enam unit tangki ternakan, pam air, alat pengudaraan, kit ujian parameter air, sistem paip serta input makanan ikan dan benih juga diadakan dalam program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.