30 April 2024, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Santubong – Program Operasi Khidmat Masyarakat Optometri Ke–31 (OPKOM–31) anjuran Persatuan Mahasiswa Optometri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Program Optometri dan Sains Penglihatan sekali lagi diadakan di Sarawak yang melibatkan aktiviti program anak angkat dan perkhidmatan pemeriksaan mata.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Penggemar Sejarah dan Kebudayaan Santubong itu menyahut seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu memiliki pendidikan yang berkualiti, memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur serta memperkukuh dan menggalakkan perkongsian secara global.

Pengarah Yayasan Sarawak, Tuan Haji Mersal Abang Rosli merasmikan program OPKOM–31 dan disaksikan oleh wakil penaja utama program, Mr. Wong Ching Fook.

Penganjuran OPKOM–31 pada kali ini telah dijayakan oleh 61 orang mahasiswa di bawah seliaan tiga orang pensyarah, iaitu YBrs. Dr. Mohd Harimi Abd Rahman, YBrs. Dr. Norliza Mohamad Fadzil dan Encik Mohd Norhafizun Mohd Saman, empat orang penyelia klinikal program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, (FSK), UKM serta dibantu oleh 10 orang optometris dari bumi kenyalang.

Barisan pensyarah dan penyelia klinikal program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM serta optometris dari Bumi Kenyalang yang membantu menjayakan program OPKOM–31.

Perkhidmatan pemeriksaan mata yang dijalankan telah memberikan peluang kepada mahasiswa mengguna pakai pengetahuan klinikal yang dimiliki kepada penduduk di Kampung Santubong, sekali gus mengenali adat dan budaya masyarakat setempat.

Pendedahan tersebut juga dapat melahirkan graduan yang menghayati aspirasi kebangsaan, kompeten serta berdaya saing bagi memenuhi keperluan negara dan masyarakat sejagat.

Sesi pemeriksaan mata oleh pelajar program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM.

Menerusi program berkenaan, pemeriksaan mata telah berjaya dilakukan terhadap 324 orang dan sebanyak 182 pasang cermin mata percuma telah diberikan kepada individu yang layak dan memerlukannya.

Selain La Calisto Sdn. Bhd. selaku penaja utama bagi program OPKOM–31, beberapa agensi lain turut memberikan sumbangan dalam menjayakan program berkenaan seperti Yayasan Sarawak, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Optometris Malaysia dan Alumni Optometri UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.