Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Usaha memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat terus diperkasakan apabila Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Bengkel Penyediaan dan Pemerkasaan Permohonan Geran Yayasan PETRONAS.
Bengkel yang diadakan di Bilik Persidangan ini menghimpunkan ahli akademik dan penyelidik PPPJJ yang bertujuan untuk memberikan pendedahan berkaitan dengan peluang, keperluan dan strategi penyediaan permohonan Geran Yayasan PETRONAS yang berdaya saing serta mampu menghasilkan impak signifikan kepada masyarakat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan PPPJJ, USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaakob menegaskan bahawa usaha mendapatkan geran luar seperti Geran Yayasan PETRONAS perlu dilihat sebagai satu platform strategik untuk memperluas manfaat kepakaran universiti kepada masyarakat.

Menurut beliau, penyelidik tidak seharusnya mengehadkan hasil penyelidikan kepada penerbitan akademik semata-mata, tetapi perlu menterjemahkan pengetahuan dan inovasi yang dihasilkan kepada program yang mampu menyelesaikan isu sebenar dalam kalangan komuniti.
Beliau turut menjelaskan bahawa PPPJJ sentiasa menggalakkan warga akademiknya untuk meneroka peluang pembiayaan yang berpotensi menghasilkan impak sosial yang tinggi.
Katanya,
Geran seperti ini bukan sahaja membantu penyelidik mengembangkan idea dan kepakaran mereka, malah membuka ruang untuk universiti menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat melalui projek pendidikan, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Wan Ismahanisa Ismail yang diundang sebagai penceramah dalam bengkel berkenaan berkongsikan pengalamannya dalam memperoleh dana penyelidikan dan komuniti bernilai lebih RM1.3 juta, termasuklah projek yang dibiayai oleh Yayasan PETRONAS.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau menjelaskan bahawa kejayaan sesuatu permohonan geran bukan hanya bergantung pada kekuatan idea projek, tetapi juga ditentukan oleh kejelasan penyataan masalah, kebolehukuran impak, pelibatan komuniti sasaran serta kelestarian program selepas tempoh pembiayaan berakhir.
Menurut beliau lagi, Yayasan PETRONAS memberikan penekanan kepada projek yang mampu membawa perubahan bermakna kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Beliau turut berkongsi kaedah untuk mengenal pasti keperluan sebenar komuniti, membina objektif yang realistik, merangka pelan pelaksanaan yang sistematik serta menyediakan indikator keberhasilan yang boleh dinilai secara kuantitatif dan kualitatif.
Dalam sesi bengkel ini juga membolehkan para peserta meneliti contoh permohonan yang berjaya serta mendapatkan maklum balas terus daripada penceramah bagi memperkukuh cadangan projek masing-masing.
PPPJJ terus berusaha memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan sektor industri bagi memastikan manfaat ilmu serta hasil penyelidikan universiti dapat dinikmati secara lebih meluas oleh komuniti.
Selaras dengan aspirasi USM sebagai universiti yang memacu kelestarian dan kesejahteraan masyarakat, PPPJJ komited untuk terus memperkasakan budaya penyelidikan berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan komuniti.
Melalui penganjuran bengkel seumpama ini, PPPJJ berharap lebih banyak penyelidik dapat menghasilkan projek yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mampu membawa perubahan positif dan berkekalan kepada masyarakat.
Penganjuran bengkel ini juga mencerminkan kesungguhan PPPJJ dalam membudayakan penyelidikan, selain menghasilkan penerbitan akademik dan memberikan impak sosial yang mampan kepada masyarakat.
Melalui sokongan geran seperti yang ditawarkan oleh Yayasan PETRONAS, lebih banyak projek komuniti berimpak tinggi berpotensi dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan negara secara inklusif serta lestari.
