Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerjasama strategik antara Malaysia dengan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) yang telah sekian lama terjalin kini terus diperkukuh bagi memantapkan sektor kesihatan haiwan, perkhidmatan veterinar, pengawasan penyakit serta pelaksanaan pendekatan One Health di negara ini.

Komitmen berterusan tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarah WOAH, Dr. Emmanuelle Soubeyran kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Chan Foong Hin di KPKM, semalam.

YB Datuk Chan menyampaikan cenderamata kepada Dr.Emmanuelle Soubeyran atas kunjungan WOAH ke Malaysia.

Dalam pertemuan tersebut, YB Datuk Chan turut merakamkan penghargaan tertinggi negara atas sokongan berterusan WOAH yang telah banyak membantu memperkukuh kapasiti veterinar kebangsaan, memajukan piawaian antarabangsa dan menggalakkan kelancaran pelaporan penyakit yang telus.

Mesyuarat peringkat tertinggi itu turut membincangkan usaha berterusan penyelarasan pendekatan One Health yang merentasi pelbagai sektor penting termasuk kesihatan awam, hidupan liar, haiwan akuatik dan alam sekitar.

Langkah ini disokong penuh melalui jalinan kerjasama bersepadu antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menguruskan risiko penyakit zoonotik antara haiwan ternakan, hidupan liar dan manusia.

Selain itu, pihak kementerian turut mengambil peluang untuk berkongsi status terkini beberapa inisiatif utama negara. Antaranya termasuklah pelaksanaan Pelan Hala Tuju National Bridging Workshop (NBW) serta Strategi Pembasmian Rabies Malaysia bagi menangkis ancaman rentas sempadan dan penyakit zoonotik yang saban hari semakin meningkat.

Kedua-dua delegasi turut bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan instrumen Performance of Veterinary Services (PVS) Pathway kelolaan WOAH, yang diiktiraf sebagai instrumen utama dalam menyokong kelancaran penambahbaikan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Komitmen pengukuhan kerjasama ini mencerminkan pengiktirafan teguh antarabangsa terhadap usaha Malaysia untuk membangunkan sebuah sistem kesihatan haiwan yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan sentiasa bersedia mendepani segala cabaran kesihatan pada masa hadapan.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah barisan pegawai kanan daripada KPKM dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Kredit Foto: Facebook YB Chang Foon Hin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi