Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 14:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027.

Ketua Pengarah NADMA, YBrs. Tuan Meor Ismail Meor Akim dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam menyatakan bahawa berdasarkan rumusan Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026 mendapati negara kini berdepan dengan peningkatan fenomena El Nino seperti kebakaran terbuka, kemarau, jerebu serta keadaan cuaca kering yang berpanjangan.

Menurut beliau, walaupun keadaan semasa masih terkawal, semua agensi berkaitan telah diarahkan meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah mitigasi lebih awal bagi memastikan keselamatan rakyat serta kelangsungan bekalan air terus terjamin.

“Pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh jentera kerajaan akan terus menjadi keutamaan dalam menghadapi sebarang risiko bencana akibat cuaca panas dan kering,” ujarnya.

Antara langkah yang telah dipersetujui termasuklah pelaksanaan tujuh siri Operasi Pembenihan Awan melibatkan 27 penerbangan sejak Februari lalu, dan tiga lagi siri dijadualkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan taburan hujan dan paras empangan.

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menyelaras aspek teknikal dan saintifik.

Pada masa yang sama, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan El Nino serta mengeluarkan ramalan jerebu dan kebakaran hutan melalui Sistem Risiko Bahaya Kebakaran dengan unjuran tujuh hari.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk memantau 83 lokasi titik panas (hotspot) yang berisiko tinggi mengalami kebakaran terbuka dan diminta untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran komuniti dengan kerjasama Rakan NADMA berkaitan dengan pembakaran terbuka di kawasan titik panas tersebut.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran diminta mengenal pasti empangan yang memerlukan penyelenggaraan segera, manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan meneliti sumber air bawah tanah untuk pembinaan telaga tiub di kawasan terjejas.

Dalam aspek kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia diminta memperluas hebahan berkaitan kesan kesihatan akibat cuaca panas terutamanya kepada golongan berisiko tinggi.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga diminta untuk mempelbagaikan program kesedaran menghadapi cuaca panas kepada murid sekolah bagi meningkatkan kesedaran serta mengurangkan risiko kesan MBD ini.

NADMA menegaskan bahawa pendekatan keseluruhan kerajaan terus menjadi tunjang utama Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi sebarang risiko bencana yang berpunca daripada cuaca panas dan kering.

NADMA akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menyelaras tindakan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi