Diterbitkan pada 7 Jun 2026, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Kira-kira 800 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan acara Nakawan Rainforest Run – 2nd Edition yang bermula dan berakhir di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, di sini, bersempena dengan penganjuran Nakawan Rainforest Festival 2026.

Acara tersebut lebih bermakna apabila Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli bagi menyertai kategori larian ria (fun run) sejauh 3.8 kilometer.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik Ag Shaffie Ag Ahmadni bersama dengan barisan pegawai kanan jabatan berkenaan.

Larian khas itu menampilkan konsep rekreasi berasaskan pendidikan dan konservasi, dengan para peserta dibawa melalui beberapa hentian menarik termasuk D’Kelulut, Pusat Konservasi Pelanduk dan Rimba Herba Perlis.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi itu merupakan antara pengisian utama Nakawan Rainforest Festival 2026 anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Perlis yang bermula sejak 1 Jun lalu yang bertujuan untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat, menggalakkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi serta memperkenalkan khazanah hutan dan ekopelancongan negeri Perlis kepada masyarakat.

Para peserta Nakawan Rainforest Run dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam program tersebut, para peserta turut berpeluang menyertai lawatan interpretif alam sekitar serta program penanaman pokok sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian alam semula jadi.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di kawasan bersebelahan Taman Eko Rimba Bukit Ayer sepanjang tempoh festival itu berlangsung, termasuklah Pasar Warisan Perlis yang menawarkan jualan aneka makanan tradisional dan produk tempatan serta program Cakna Tradisi Lisan Awang Batil yang menampilkan pameran berkaitan dengan warisan seni budaya negeri Perlis.

Turut menjadi tarikan ialah pelbagai pameran pendidikan perhutanan dan aktiviti riadah keluarga yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana yang santai dan harmoni.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan mencemar duli berlari bersama-sama peserta bagi kategori larian ria.

Secara keseluruhannya, penganjuran Nakawan Rainforest Festival 2026 dilihat berjaya memperkukuh kedudukan Perlis sebagai destinasi ekopelancongan yang unik, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memulihara hutan sebagai warisan kepada generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi