Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menjayakan program TVET 2.0 bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.

Inisiatif transformasi menerusi TVET 2.0 ini merupakan satu langkah strategik kerajaan untuk memecahkan kepompong pemikiran lama yang sering menganggap bahawa TVET merupakan pilihan terakhir dan tidak menjamin kerjaya yang baik.

Menurut YAB Perdana Menteri, peralihan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan, mata wang kripto dan transisi tenaga pada masa ini menuntut sebuah lapangan kepakaran serba baharu yang tidak terjangkau pada puluhan tahun yang lalu.

Beliau turut mewajibkan kesemua badan penyelidikan kerajaan yang diselaraskan di bawah Majlis Sains Negara supaya mengambil antara 50 orang hingga 100 orang pelajar TVET terpilih bermula pada bulan hadapan untuk diberikan kursus kepakaran teknikal.

Pempamer menerangkan kepada YAB Perdana Menteri hasil inovasi yang telah dicipta.

“Lulusan TVET yang terpilih perlu diberi pendedahan dan pengalaman yang wajar kepada industri kemahiran hari ini,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa gaji lepasan TVET sewajarnya dibayar lebih tinggi berbanding dengan graduan lepasan ijazah biasa.

“Malah, pelabur antarabangsa terkemuka dari Austria telah menambah dana pelaburan TVET di negara ini sebanyak dua bilion Euro baru-baru ini serta menyatakan hasrat untuk mengutamakan pekerja berkemahiran tinggi berbanding dengan sekadar bersandarkan kelulusan ijazah semata-mata,” ujar beliau ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2026.

Selain itu, bagi menampung kelompangan keperluan industri ini, pihak syarikat swasta dan syarikat multinasional (MNC) diseru agar tidak melepaskan bebanan latihan sepenuhnya kepada pihak kerajaan, sebaliknya membina sinergi dengan menawarkan ruang latihan terus kepada para pelajar lepasan TVET ini.

Dalam keghairahan negara memacu pembangunan teknologi yang serba pantas, YAB Perdana Menteri tetap memberikan ingatan keras agar nilai karamah insaniah tidak diketepikan dalam mana-mana silibus institusi pengajian termasuklah di semua institusi TVET.

“Kalau kita hendak melatih manusia, nilai dan akhlak manusiawi itu perlu diterapkan. Banyak negara sibuk mengejar kemahiran, tetapi Malaysia berbeza, kita tidak tinggalkan dimensi manusiawi dalam mengejar kecemerlangan,” jelas beliau mengenai kepentingan nilai kemanusiaan seiring dengan kemajuan teknologi hari ini.

YAB Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri beramah mesra dengan peserta cilik semasa meninjau gerai pameran bersempena dengan Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2026.

Beliau menegaskan bahawa segala kemajuan dan kekayaan yang dicapai haruslah berteraskan nilai kemanusiaan dan menolak fahaman lapuk yang menindas golongan kelas bawahan atau yang berbeza pandangan politik mahupun warna kulit.

“Saya mahukan Malaysia yang selamat dengan moral dan akhlak yang baik, saya percaya, TVET akan memulakan generasi sikap yang baharu ini,” tambahnya lagi ketika mengakhiri ucapan perasmian tersebut.

Yang turut hadir bersama-sama dalam majlis ini, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi; Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri.

Kredit Foto: Facebook Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi