Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sistem pengenalan diri negara melangkah ke era baharu apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memulakan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu secara berfasa mulai bulan ini bagi meningkatkan keselamatan identiti dan data peribadi rakyat Malaysia.
MyKad generasi baharu itu diperkenalkan selepas lebih dua dekad penggunaan MyKad sedia ada yang mula dilancarkan pada tahun 2001. Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan sistem identiti negara terus relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan siber dan ancaman pemalsuan dokumen yang semakin kompleks.
Ketua Pengarah JPN, YBhg. Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad Struktur Baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding dengan 23 ciri keselamatan pada MyKad sedia ada.
Ujarnya,
Antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
Menurut beliau, peningkatan ciri keselamatan itu dijangka mampu mengurangkan risiko pemalsuan dokumen serta memperkukuh proses pengesahan identiti dalam pelbagai urusan rasmi.
Pada peringkat awal, pengeluaran MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih melalui sistem janji temu, sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara bagi memastikan proses berjalan lancar serta mengelakkan kesesakan di kaunter.
JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad kerana dokumen pengenalan sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.
Walau bagaimanapun, pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar kad pengenalan mereka kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Pengenalan MyKad Struktur Baharu merupakan kesinambungan evolusi sistem identiti negara yang bermula sejak tahun 1948 dengan penggunaan kad pengenalan berasaskan kertas.
Sistem itu kemudian berkembang kepada kad plastik pada tahun 1960-an, diikuti kad pengenalan bermutu tinggi pada tahun 1980-an, sebelum Malaysia mencipta sejarah menerusi pelancaran MyKad pada tahun 2001.