Diterbitkan pada 24 Julai 2026, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perai – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) menganjurkan Program Composting for a Greener Perai di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perai bagi memupuk kesedaran serta membudayakan amalan pengurusan sisa organik secara lestari dalam kalangan murid sekolah.

Program yang mendapat sokongan dan peruntukan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar pada peringkat komuniti.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Sundarajoo Somu yang menegaskan kepentingan penerapan pendidikan alam sekitar sejak peringkat sekolah bagi membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam.

Menurut beliau, amalan pengkomposan bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyokong usaha mewujudkan komuniti yang lebih bersih, hijau dan mampan.

Ujarnya,

Program seumpama ini wajar diperluas ke lebih banyak sekolah di Pulau Pinang melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Projek yang juga pensyarah dari PPPJJ, USM, YBrs. ChM Dr. Gunasunderi Raju merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Seri Sundarajoo Somu atas kepercayaan, sokongan dan peruntukan yang disalurkan melalui MMK Alam Sekitar bagi menjayakan program tersebut.

Beliau turut menghargai komitmen PPPJJ, USM, pihak SJKT Perai, guru-guru, ibu bapa serta seluruh pasukan projek yang memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan program.

Tambahnya, program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai konsep pengkomposan sebagai kaedah pengurusan sisa organik yang mesra alam melalui aktiviti pembelajaran berkaitan dengan pengurusan sisa secara sistematik sebelum ditukarkan kepada baja kompos yang bermanfaat.

Sesi penanaman pokok.

Katanya,

Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini diharapkan dapat diterapkan dalam kehidupan harian murid, sekali gus membentuk budaya pengasingan sisa serta pengkomposan di rumah dan sekolah kerana setiap amalan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu memberikan impak besar terhadap kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.

Program tersebut adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar menerusi pendidikan serta menggalakkan masyarakat mengamalkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan mampan.

Program ini juga menjadi titik permulaan kepada pembudayaan amalan pengkomposan dan pengurusan sisa secara lestari di sekolah serta komuniti sekitar Perai, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan menyokong pembangunan komuniti hijau, bersih serta lestari.

Turut hadir ialah Dekan PPPJJ, USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; Timbalan Pendaftar PPPJJ, Encik Mohd Rashid Abdul Rejab; wakil dari USM; pihak pengurusan SJKT Perai; guru-guru; ibu bapa serta tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi