Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dinobatkan sebagai WSIS Champion bagi Kategori 14: Action Line C7. E-Science dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 yang berlangsung di Geneva, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi di rantau ini.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, pengiktirafan berkenaan mencerminkan pendekatan strategik Malaysia dalam membangunkan ekosistem inovasi berasaskan konsep living lab yang merapatkan jurang antara pembangunan teknologi dengan kesiapsiagaan pasaran menerusi platform yang diterajui oleh MOSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai sekretariat utama.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, NTIS berkembang daripada sebuah inisiatif perintis kepada antara tonggak utama ekosistem inovasi negara dengan menyediakan platform berstruktur kepada penyelidik dan syarikat pemula untuk menguji, mengesahkan serta memperkasakan teknologi berpotensi tinggi dalam persekitaran sebenar, di samping memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia dan kesiapsiagaan untuk dikomersialkan.
Berlandaskan pencapaian kukuh di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), NTIS kini terus memperkukuh peranan dalam mempercepat inovasi, pengkomersialan dan penerimagunaan teknologi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Sejak pelaksanaannya, program itu telah memudah cara nilai pengkomersialan melebihi RM171.8 juta, menyalurkan RM147 juta pembiayaan kepada 147 projek, mewujudkan 388 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menjana RM122.8 juta nilai eksport serta menghasilkan 39 harta intelek baharu.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan daya saing syarikat teknologi tempatan, selain menjadikan NTIS sebagai platform penting untuk menangani cabaran syarikat pemula tempatan dan meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi.
Ujarnya,
NTIS akan terus menjadi platform penting dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh syarikat pemula tempatan serta meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada teknologi luar dan memperkukuh keupayaan teknologi negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Encik Ashran Dato’ Ghazi berkata, pengiktirafan sebagai WSIS Champion membuktikan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia menerusi NTIS, khususnya dalam membangunkan teknologi daripada peringkat penyelidikan kepada penyelesaian yang memberikan impak sebenar.
Menurut beliau,
Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama seluruh ekosistem inovasi negara yang melibatkan inovator, rakan strategik dan agensi pelaksana dalam menyediakan ekosistem, sokongan kawal selia serta kerjasama strategik yang diperlukan.
Kejayaan NTIS turut didukung oleh kerjasama erat pelbagai agensi dengan MRANTI sebagai sekretariat utama, selain sokongan MIMOS, Futurise, Malaysian Technology Development Corporation sebagai rakan pembiayaan serta Innovation Acceleration Network.
Kerjasama berkenaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek kesiapsiagaan kawal selia, pengesahan teknologi, pengkomersialan dan penyelarasan ekosistem bagi mempercepat perjalanan inovasi tempatan dari peringkat pembangunan ke pasaran.
Berikutan pencapaian itu, NTIS kini melangkah ke fasa seterusnya menerusi Global Testbed and Sandbox Alliance dengan memperluas tumpuan daripada pelaksanaan pada peringkat nasional kepada kerjasama antarabangsa yang lebih menyeluruh.
Inisiatif berkenaan dijangkakan memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta penyelarasan kawal selia bagi membolehkan inovasi Malaysia menembusi pasaran ASEAN dan global, selain membuka peluang kerjasama secara langsung dengan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pembuat dasar antarabangsa dan ekosistem inovasi global.