Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cherating – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah memasang penjejak satelit pada dua ekor ibu penyu agar bagi membolehkan corak pergerakan dan penggunaan habitat spesies berkenaan dipantau bagi menyokong pengurusan konservasi berasaskan bukti saintifik.

Menurut DOF dalam satu kenyataan, data pemantauan satelit menunjukkan dua ekor ibu penyu agar berkenaan masih berada di sekitar perairan Cherating.

Pemantauan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyelidikan penyu marin melalui penggunaan teknologi yang membolehkan DOF memperoleh maklumat mengenai pergerakan penyu selepas musim bertelur serta mengenal pasti habitat penting bagi spesies berkenaan.

Menurut DOF, pemasangan penjejak satelit telah dilaksanakan pada 5 Julai 2026 menerusi kerjasama pihaknya dengan Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang terhadap dua ekor ibu penyu yang mendarat untuk bertelur di Pantai Cherating.

Kedua-dua penyu tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semula jadi dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating pada 8 Julai 2026, pukul 6.00 petang.

Penyu pertama yang dikenal pasti melalui tag MYC6603/MYC6604 mempunyai berat sebanyak 116 kilogram yang direkodkan mendarat buat kali pertama pada 1 Julai 2026 dengan 140 biji telur sebelum kembali mendarat pada 12 Julai 2026 dan menghasilkan 76 biji telur.

Penyu kedua pula membawa tag MYC6601/MYC6602 mempunyai berat sebanyak 159 kilogram yang mendarat pada 2 Julai 2026 dengan 112 biji telur dan sekali lagi pada 16 Julai 2026 dengan 82 biji telur.

“Sistem penjejak satelit menghantar maklumat lokasi secara automatik ke satelit setiap empat jam apabila penyu ini timbul ke permukaan untuk bernafas dan hingga kini, seekor daripada penyu itu telah direkodkan muncul ke permukaan sebanyak 18 kali, sekali gus membolehkan data lokasi dihantar secara berkala melalui sistem satelit,” jelas DOF.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Encik Roslan Abu Hassan menyatakan bahawa penggunaan teknologi penjejak satelit membolehkan DOF mengumpulkan maklumat lapangan secara lebih sistematik bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu.

Ujarnya, data yang diterima melalui penjejak satelit membolehkan DOF meneliti corak pergerakan, laluan migrasi dan penggunaan habitat penyu selepas musim bertelur serta maklumat ini menjadi asas penting dalam merancang langkah pengurusan dan konservasi spesies berkenaan secara lebih berkesan.

Tambah beliau, maklumat yang diperoleh juga membantu mengenal pasti habitat penting yang perlu diberikan perhatian dalam usaha melindungi penyu, di samping memperkukuh penyelidikan dan pengurusan sumber marin berasaskan bukti saintifik.

Kerjasama antara DOF, institusi penyelidikan dan sektor swasta amat penting dalam memperluas penggunaan teknologi bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu serta memperkaya data saintifik yang menjadi asas kepada pengurusan sumber marin.

Kos perolehan bagi setiap unit penjejak satelit adalah sekitar RM21,000.00 dan dibiayai menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer serta sumbangan daripada Bumi Armada Berhad.

Data yang diperoleh daripada pemantauan satelit akan dimanfaatkan bagi menyokong penyelidikan DOF dalam memahami taburan dan pergerakan penyu, sekali gus memperkukuh perancangan pengurusan serta pemuliharaan spesies ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi