Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Teknologi hidrografi kini merevolusikan pemetaan dasar laut apabila bukan sahaja mampu mengukur kedalaman laut, malah mampu mengenal pasti pelbagai ciri fizikal dan karakteristik kawasan perairan dengan lebih tepat melalui penggunaan teknologi moden.

Pensyarah Unit Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Gs. Khairul Naim Abd. Aziz berkata, kemajuan teknologi telah menjadikan hidrografi sebagai sumber data penting yang dimanfaatkan dalam pelbagai bidang, termasuklah pemetaan habitat marin, keselamatan perairan, penerokaan sumber, pembangunan infrastruktur dan penyelidikan saintifik.

Menurut beliau, bidang hidrografi yang pada suatu ketika dahulu lebih sinonim dengan pengukuran kedalaman laut, kini berkembang menjadi satu disiplin saintifik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, keselamatan pelayaran, pengurusan sumber marin serta adaptasi terhadap perubahan iklim.

Katanya,

Sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi laut, Malaysia memerlukan data hidrografi yang tepat bagi menyokong pembangunan ekonomi, keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.

Gs. Khairul Naim Abd. Aziz mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi hidrografi moden.

Beliau menjelaskan bahawa perkembangan teknologi seperti multibeam sonar, pemetaan digital, penderiaan jauh dan sistem maklumat geografi (GIS) telah meningkatkan ketepatan pemetaan dasar laut secara signifikan.

Menurut beliau, tugas hidrografi memerlukan pengumpulan data lapangan yang melibatkan kos yang tinggi, namun konsep multiple use from a single survey membolehkan data yang diperoleh diintegrasikan dengan pelbagai sumber data lain untuk menghasilkan maklumat yang lebih komprehensif.

Jelasnya,

Integrasi data hidrografi dengan data sonar, imej penderiaan jauh dan GIS membolehkan ciri marin dipetakan dengan lebih terperinci, sekali gus membantu perancangan pembangunan pesisir pantai, pengurusan perikanan, akuakultur dan pemuliharaan habitat marin dengan lebih berkesan.

Dalam aspek keselamatan pelayaran pula, beliau menegaskan bahawa data hidrografi menjadi komponen utama dalam penyediaan carta nautika yang digunakan oleh kapal dagang dan kapal penumpang.

Teknologi sonar dan GIS membolehkan pemetaan dasar laut dilakukan dengan lebih tepat untuk pembangunan dan pemuliharaan ekosistem marin.

Malaysia merupakan antara laluan perdagangan maritim yang paling sibuk di dunia dan maklumat mengenai kedalaman air, halangan dasar laut serta perubahan morfologi dasar perairan amat penting bagi memastikan laluan kapal sentiasa selamat.

“Saiz kapal perdagangan moden yang semakin besar memerlukan maklumat kedalaman laut yang sentiasa dikemas kini dan tanpa data hidrografi yang tepat, risiko kapal terkandas akan meningkat, sekali gus boleh mengganggu rantaian perdagangan antarabangsa serta menjejaskan ekonomi negara,” kata beliau.

Kerja lapangan hidrografi memerlukan ketelitian yang tinggi bagi memperoleh data kedalaman dan ciri perairan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pakar hidrografi berdepan dengan pelbagai cabaran ketika menjalankan kerja lapangan, misalnya perubahan pasang surut, keadaan ombak, cuaca yang tidak menentu, kos operasi yang tinggi serta kesan perubahan iklim yang semakin sukar diramal.

Ujarnya, setiap kelewatan kerja lapangan akibat faktor cuaca boleh meningkatkan kos operasi dan menjejaskan jadual projek yang melibatkan pelbagai agensi serta industri.

Mengulas mengenai perubahan iklim pula, beliau menyatakan bahawa data hidrografi kini menjadi aset penting dalam memahami perubahan fizikal kawasan pantai.

“Rekod hidrografi yang dikumpulkan secara berterusan membolehkan penyelidik mengesan perubahan kedalaman laut, trend pasang surut serta perubahan morfologi pantai dan maklumat ini sangat penting dalam membuat unjuran kenaikan aras laut, merancang mitigasi banjir pantai serta melindungi ekosistem pesisir daripada kesan perubahan iklim,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa bidang hidrografi menawarkan prospek kerjaya yang semakin luas kepada graduan sains marin, geomatik, GIS dan teknologi geospatial.

Selain sektor pembangunan infrastruktur marin, peluang pekerjaan juga semakin berkembang dalam industri minyak dan gas, pemasangan saluran paip dasar laut, tenaga boleh diperbaharui luar pesisir, pemetaan marin, keselamatan perairan serta perundingan geospatial pada peringkat antarabangsa.

Perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, automasi dan robotik juga dapat diintegrasikan secara lebih meluas dalam bidang hidrografi negara.

Penggunaan AI dan robotik bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan serta ketepatan pengumpulan data, malah dapat memperkukuh aspek keselamatan ketika menjalankan operasi di laut.

Katanya,

Saya percaya integrasi teknologi pintar ini akan menjadikan bidang hidrografi lebih dinamik, menarik minat generasi muda serta memperkukuh usaha negara ke arah kelestarian marin dan pembangunan mampan.

Secara keseluruhannya, pembangunan hidrografi moden bukan sekadar memperkukuh penyelidikan marin, malah menjadi pemangkin kepada pengurusan sumber laut yang lebih lestari, perlindungan ekosistem pesisir serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.

Kredit Foto: Khairul Naim Abd. Aziz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi