Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh jaringan akademik antarabangsa melalui Program Mobiliti Akademik Antarabangsa bersama-sama Fakulti Kesihatan Masyarakat, Universitas Sriwijaya (UNSRI), Indonesia yang berlangsung di UKM Kampus Kuala Lumpur bagi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi serta mobiliti pelajar dan pensyarah.
Lawatan rasmi yang diketuai oleh Dekan Fakulti Kesihatan Masyarakat, UNSRI, YBhg. Profesor Dr. rer. med. H. Hamzah Hasyim bersama-sama barisan pengurusan fakulti dan ahli akademik itu merupakan kunjungan rasmi keempat ke FSK, UKM sejak kerjasama kedua-dua institusi tersebut bermula pada tahun 2023.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Dekan Siswazah FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd. Izzuddin Hairol sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan dua hala yang memfokuskan usaha memperluas kerjasama dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan dan inovasi, di samping membuka lebih banyak peluang kepada pelajar serta pensyarah UKM dan UNSRI memperoleh pengalaman pembelajaran dan penyelidikan pada peringkat antarabangsa.

Sesi perkongsian ilmu itu menampilkan beberapa syarahan oleh ahli akademik daripada kedua-dua universiti yang membincangkan pelbagai isu kesihatan awam, termasuklah kerjasama antarabangsa dalam pendidikan kesihatan, intervensi pemakanan komuniti, kesihatan ibu dan anak, pencemaran udara dalaman serta penyelidikan berkaitan dengan kesihatan persekitaran.
Program tersebut turut memberikan ruang kepada penyelidik muda berkongsikan pengalaman penyelidikan dan pembangunan kerjaya akademik, sekali gus membolehkan para peserta memperoleh pendedahan terhadap pendekatan penyelidikan serta metodologi yang diamalkan di institusi masing-masing.
Bagi memperkukuh kolaborasi penyelidikan, FSK, UKM turut menganjurkan Research Development Workshop yang memberikan penekanan kepada penyediaan geran penyelidikan berdaya saing, strategi penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi serta perbincangan mengenai potensi permohonan geran penyelidikan bersama antara UKM dengan UNSRI sebagai pemangkin kepada kerjasama penyelidikan yang lebih mampan pada masa hadapan.

Pada hari kedua program, delegasi mengadakan sesi akademik di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM yang menjadi komponen baharu dalam siri lawatan akademik UNSRI ke UKM sejak tahun 2023 bagi memperluas pendedahan kepada amalan klinikal dan perkhidmatan kesihatan di hospital pengajar UKM.

Sesi tersebut mengetengahkan pembentangan berkaitan dengan literasi kesihatan, kesihatan ibu dan anak, pencegahan diabetes gestasi, penyusuan susu ibu serta kesan pendedahan kualiti udara terhadap kesihatan pekerja hospital, selain lawatan ke Pusat Rehabilitasi, Wad Pediatrik, Wad Dietetik dan Ronald McDonald House bagi melihat pelaksanaan amalan klinikal serta perkhidmatan kesihatan di UKM.
Program mobiliti akademik antarabangsa ini mencerminkan komitmen UKM dalam memperkukuh jaringan global melalui kerjasama strategik bersama-sama institusi pendidikan tinggi serantau, sekali gus menyokong pembangunan penyelidikan, mobiliti akademik dan pelaksanaan inisiatif yang menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan berkualiti dan perkongsian global.