Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Program Inovasi Kecerdasan Produktiviti terus menjadi pemangkin utama dalam memacu transformasi digital sektor kesihatan negara.
Program anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia dengan kerjasama Hospital Tuanku Permaisuri Norashikin (HTPN) ini menjadi platform strategik bagi mencungkil serta mengetengahkan penyelesaian inovatif berasaskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Inisiatif berkenaan berjaya menghimpunkan penyertaan daripada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membangunkan pelbagai penyelesaian digital bagi menangani cabaran sebenar operasi harian fasiliti kesihatan, selain dapat menambah baik proses kerja, malah berupaya meningkatkan produktiviti organisasi, memperkukuh keselamatan pesakit serta menyokong penyampaian perkhidmatan yang cekap, pantas dan berpusatkan rakyat.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa program seumpama ini amat signifikan untuk membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan warga sektor kesihatan.
Ujar beliau,
Penerapan teknologi digital dan AI perlu dimanfaatkan secara optimum bagi menghasilkan penyelesaian yang bukan sahaja inovatif, malah mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta memberikan impak besar kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar inovasi yang dihasilkan dapat diperluas penggunaannya ke lebih banyak fasiliti kesihatan di seluruh negara sebagai amalan terbaik dalam menyokong agenda transformasi digital negara.
Sebanyak tiga kategori utama telah dipertandingkan, iaitu Pengurusan, Perjalanan Pesakit dan Perjalanan Klinikal, dengan pemenang johan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00, naib johan (RM300.00) dan tempat ketiga (RM200.00).
Kategori Pengurusan menyaksikan keunggulan MedMove Pro dari Hospital Sentosa yang dinobatkan sebagai johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00, diikuti naib johan disandang oleh projek Data Permit dan Pendaftaran Kematian terbitan Jabatan Forensik HTPN, manakala inovasi IRIS mewakili Hospital Shah Alam mendapat tempat ketiga.
Sementara itu, Kategori Perjalanan Pesakit memperlihatkan penguasaan pasukan Medexa dari Hospital Kepala Batas yang berjaya merangkul juara, tempat kedua dimenangi oleh pasukan CRE Tracker Pro dari Unit Kawalan Infeksi HTPN dan tempat ketiga dirangkul oleh SPECTRA dari Unit Terapi Cara Kerja HTPN.
Kategori Perjalanan Klinikal pula menyaksikan pasukan AMS Round Manager Pro dari Jabatan Farmasi HTPN meraih johan, naib johan disandang oleh pasukan ResusHero (BLS) Code hasil karya pegawai perubatan siswazah HTPN dan pasukan CLABSI Guard Pro dari Unit Kawalan Infeksi HTPN cemerlang mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga.
Kejayaan projek ini membuktikan bahawa keupayaan warga KKM dalam mengaplikasikan teknologi digital dan AI bagi menyelesaikan cabaran sebenar di lapangan dan mempunyai potensi yang besar untuk diaplikasikan ke fasiliti kesihatan lain, selain membuat keputusan klinikal berasaskan data serta menambah pengalaman pesakit secara menyeluruh.