Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – MedPlanner Sdn. Bhd. hari ini melancarkan dua produk kecerdasan buatan (AI) baharu, iaitu HEMI Health dan AskHEMI yang direka untuk meningkatkan kecekapan doktor serta memperkukuh sokongan kepada pesakit, sekali gus melengkapkan ekosistem AI klinikal syarikat itu merangkumi keseluruhan perjalanan penjagaan kesihatan.

HEMI Health ialah jurutulis perubatan AI dengan perlindungan medikolegal yang dibangunkan khusus untuk doktor, manakala AskHEMI merupakan alat peneman kesihatan pelbagai bahasa yang membantu pesakit mengurus penyakit kronik dan mendapatkan panduan kesihatan secara klinikal pada bila-bila masa.

Kedua-dua produk tersebut bersama-sama HEMI Teams yang diperkenalkan sebelum ini bagi membantu penyelarasan proses klinikal di hospital, dibangunkan berasaskan Health Medical Intelligence (HEMI), platform kecerdasan klinikal proprietari milik MedPlanner.

HEMI Health menangani cabaran utama dalam persekitaran klinikal moden, iaitu beban dokumentasi dan peningkatan risiko medikolegal dengan menggabungkan fungsi catatan perubatan berkuasa AI, dokumentasi penaakulan klinikal berstruktur, sokongan keputusan berasaskan bukti serta penyediaan respons profesional terhadap aduan, sekali gus meningkatkan kecekapan dan melindungi aliran kerja serta kerjaya doktor.

HEMI Health sebagai jurutulis perubatan AI dengan perlindungan medikolegal yang dibangunkan khusus untuk doktor.

Menurut MedPlanner dalam satu kenyataan, keupayaan perlindungan medikolegal yang menyokong dokumentasi penaakulan semasa, amalan reflektif dan jawapan aduan berstruktur merupakan ciri unik dalam pasaran AI klinikal ketika ini.

Buat masa ini, HEMI Health dipasarkan kepada doktor di Malaysia dan United Kingdom.

Sementara itu, AskHEMI dibangunkan untuk merapatkan jurang sokongan yang sering dialami oleh pesakit antara sesi janji temu bersama-sama doktor dengan menyediakan panduan kesihatan yang boleh diakses oleh pesakit, penjaga dan orang awam dalam bahasa pilihan masing-masing.

AskHEMI merupakan alat peneman kesihatan pelbagai bahasa yang membantu pesakit mengurus penyakit kronik dan mendapatkan panduan kesihatan secara klinikal.

Berbeza daripada pembantu AI umum, AskHEMI dibangunkan berasaskan HEMI yang direka khusus untuk penjagaan kesihatan, memahami sistem kesihatan tempatan di lokasi pengguna, mampu mencadangkan tindakan susulan yang sesuai serta berkomunikasi secara empati.

Aplikasi yang boleh diakses melalui peranti iOS dan Android itu ditawarkan secara percuma untuk pasaran global serta boleh disesuaikan bagi kegunaan organisasi seperti pusat penjagaan kesihatan, syarikat insurans dan syarikat yang memerlukan peneman kesihatan berasaskan AI.

Dengan gabungan HEMI Health, AskHEMI dan HEMI Teams, MedPlanner kini menawarkan penyelesaian AI klinikal yang merangkumi setiap peringkat penjagaan kesihatan, daripada penyelarasan proses klinikal di hospital dan dokumentasi perubatan sehinggalah sokongan pesakit di rumah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MedPlanner merangkap Pakar Perunding Pediatrik, YBrs. Dr. Ezam Mat Ali berkata, beliau menyaksikan sendiri cara sistem penjagaan kesihatan yang berpecah menyebabkan doktor dibebani dengan tugasan dokumentasi, manakala pesakit kehilangan sokongan selepas meninggalkan klinik.

Katanya,

MedPlanner ditubuhkan kerana kami percaya terdapat cara yang lebih baik untuk menangani cabaran ini melalui satu platform dan satu kecerdasan yang saling terhubung dari wad hospital ke rumah pesakit.

Tambah beliau, kebanyakan syarikat membangunkan produk AI, namun MedPlanner membina enjin AI klinikal yang menjadi asas kepada keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan.

Ujarnya,

HEMI Health bukan sekadar menghasilkan catatan perubatan, malah mendokumentasikan penaakulan klinikal, memberikan perlindungan kepada pengamal perubatan dan menghasilkan rekod yang boleh disahkan apabila diperlukan.

Ketiga-tiga penyelesaian MedPlanner dikuasakan oleh HEMI yang dibangunkan berasaskan penaakulan klinikal berstruktur, prinsip keselamatan dan realiti aliran kerja klinikal, selain mematuhi piawaian Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) serta Peraturan Perlindungan Data Umum.

Bagi menyokong pelan pengembangan antarabangsa, MedPlanner turut menubuhkan HEMI Limited di London sebagai sayap pengedaran global yang meliputi United Kingdom, Eropah dan pasaran lain.

MedPlanner dijadualkan mempamerkan ketiga-tiga produknya di NHS ConfedExpo yang akan berlangsung di Manchester, United Kingdom pada 10 dan 11 Jun 2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi