Diterbitkan pada 2 Jun 2026, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Surabaya – Kepakaran akademik Malaysia dalam bidang kejuruteraan perisian, kecerdasan buatan (AI) dan data raya terus mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa apabila YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dijemput menyampaikan syarahan khas bertajuk “Software Engineering in the Era of AI and Big Data” di Universitas Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya (UINSA), Indonesia.

Program yang berlangsung di Amphitheater Lantai 9, Kampus 2 UINSA Gunung Anyar itu telah menghimpunkan kira-kira 180 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah daripada pelbagai program pengajian di bawah Fakultas Sains dan Teknologi, manakala sesi tersebut dikendalikan oleh moderator, Dr. Nita Yalina dari Program Studi Sistem Informasi UINSA.

Dalam ucapan pembukaan, Wakil Dekan I Bidang Akademik dan Kelembagaan Fakultas Sains dan Teknologi UINSA, Dr. Moh. Hafiyusholeh, M.Si., M.PMat., menegaskan bahawa penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa yang telah lama terjalin antara dua institusi ini. Beliau menyatakan bahawa kolaborasi strategik antara UINSA dengan institusi rakan antarabangsa sepeti UiTM perlu terus diperkasakan bagi menyokong pembangunan universiti, memperluas perkongsian ilmu serta memberikan manfaat kepada masyarakat dan ummah.

Sebagai penceramah jemputan antarabangsa, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi mengupas peranan kejuruteraan perisian dalam mendepani perkembangan pesat AI dan data raya sebagai pemacu utama transformasi digital global, selain menjelaskan evolusi teknologi yang mengubah pembangunan perisian daripada sekadar menghasilkan aplikasi kepada membangunkan sistem pintar yang mampu menganalisis data, membuat ramalan dan menyokong proses membuat keputusan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, ledakan data yang dihasilkan daripada pelbagai sektor seperti pendidikan, industri, kesihatan, tenaga dan perkhidmatan awam membuka peluang baharu untuk pembangunan aplikasi yang lebih pintar, responsif dan berasaskan data. Dalam konteks ini, disiplin kejuruteraan perisian memainkan peranan penting bagi memastikan sistem AI dibangunkan secara sistematik, berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan pengguna serta organisasi.

Beliau turut berkongsi pandangan mengenai cabaran semasa dalam pembangunan sistem pintar, termasuk integrasi model AI ke dalam aplikasi, pengurusan kualiti perisian, tadbir urus data, kebolehskalaan sistem serta aspek keselamatan dan etika penggunaan teknologi AI. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada trend teknologi terkini dan amalan terbaik dalam pembangunan penyelesaian digital yang memanfaatkan data raya bagi menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

Perkongsian berasaskan pengalaman akademik dan penyelidikan tersebut memberikan gambaran yang jelas kepada peserta tentang keperluan kemahiran masa hadapan dalam bidang pembangunan perisian serta kepentingan menguasai teknologi AI dan analitik data bagi memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.

Sesi soal jawab yang berlangsung selepas kuliah turut mendapat sambutan menggalakkan apabila para peserta mengambil peluang untuk mendapatkan pandangan lanjut berkaitan dengan pembangunan sistem pintar, prospek kerjaya serta peluang penyelidikan dalam bidang AI dan data raya.

Turut hadir ialah Wakil Dekan II (Bidang AUK), Dr. Abid Rohman, S.Ag, M.Pd.I.; Wakil Dekan III (Bidang Kemahasiswaan dan Kerjasama), Dr. Khoirul Yahya, S.Ag., M.Si; Ketua Prodi Sistem Informasi, Dwi Roliawati, M.T. serta dosen dari Fakultas Sains dan Teknologi, UINSA.

Penganjuran Guest Lecture ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia, malah menjadi platform penting perkongsian kepakaran rentas sempadan dalam bidang teknologi maklumat dan transformasi digital.

Program ini juga mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik UiTM dalam bidang kejuruteraan perisian, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkasakan budaya ilmu, inovasi dan kolaborasi antarabangsa pada peringkat serantau.

Wakil Dekan I, Dr. Moh. Hafiyusholeh menyampaikan ucapan alu-aluan dan merasmikan sesi Guest Lecture, sekali gus menzahirkan komitmen UINSA dalam memperkasakan jaringan kerjasama akademik antarabangsa dan perkongsian ilmu rentas sempadan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi