Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi pelbagai program pendidikan kelestarian, mobiliti antarabangsa, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan amalan pejabat hijau, sekali gus dinobatkan sebagai Johan Anugerah Pejabat Lestari USM Tahun 2025.

Selaras dengan aspirasi Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, PPPJJ mengintegrasikan elemen kelestarian dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu akademik, malah membangunkan kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuklah Program Mobiliti dan Kursus Musim Panas hasil kerjasama PPPJJ dengan University of Tasmania, Australia yang melibatkan penyertaan 40 orang pelajar universiti tersebut dalam program akademik dan pengalaman lapangan di USM.

Sepanjang program itu, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berkaitan dengan pembangunan mampan termasuklah penanaman pokok paya bakau di Merbok, Kedah, sesi perkongsian mengenai pembangunan bandar lestari bersama-sama Penang Development Corporation serta eksplorasi ekopelancongan di Bukit Bendera.
PPPJJ turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik melalui pelbagai aktiviti CSR yang memberikan manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, termasuklah pelantikan Pengarah Urusan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Cheok Lay Leng sebagai Felow Adjung bagi memperluas kerjasama dalam penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pelaksanaan program berkaitan dengan kelestarian.
Dalam usaha memperkasakan komuniti, pensyarah PPPJJ turut melaksanakan projek penanaman sayur-sayuran bersama-sama pelajar orang kurang upaya di Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut, Pulau Pinang, selain projek penanaman cendawan Volvariella bersama-sama komuniti di Kepala Batas.

Bagi menghargai sumbangan warga pusat pengajian tersebut dalam membudayakan amalan lestari, PPPJJ memperkenalkan Sustainability Excellence Award yang mengiktiraf kecemerlangan pensyarah, pelajar dan kakitangan dalam bidang penerbitan, penyelidikan, perundingan, program komuniti serta inisiatif institusi.
PPPJJ juga terus memperkukuh amalan Pejabat Hijau melalui pelaksanaan konsep 5R, iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle menerusi pelbagai program yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kelestarian PPPJJ.
Antara program yang dilaksanakan termasuklah jualan pokok hidup kepada warga akademik dan pentadbiran, pembangunan laman lestari di sekitar PPPJJ serta kolaborasi bersama-sama Pusat Pemulihan dalam Komuniti Telok Bahang dalam menjayakan program pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Menurut pihak pengurusan PPPJJ, usaha berterusan tersebut mencerminkan komitmen pusat pengajian itu dalam menyokong agenda kelestarian universiti serta melahirkan graduan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap isu alam sekitar, tanggungjawab sosial dan pembangunan mampan.
PPPJJ berharap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dapat terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan kelestarian dan menyumbang kepada pencapaian SDG pada peringkat nasional serta antarabangsa.
Kejayaan PPPJJ meraih Johan Anugerah Pejabat Lestari USM Tahun 2025 menjadi bukti keberkesanan pelaksanaan pelbagai program berteraskan amalan hijau dan konsep 5R yang melibatkan seluruh warga pusat pengajian tersebut.
