Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya memperkukuh kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan warga Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS), Cheras menerusi Program Jangkauan Komuniti (Kembara Sihat) 5.0 yang turut menjadi platform mempromosikan program prasiswazah FSK kepada para pelajar sekolah tersebut.
Program tahunan yang memasuki penganjuran kali kelima sejak diperkenalkan pada tahun 2019 itu merupakan program teras (flagship) ReaCH dalam membudayakan gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran kesihatan komuniti serta memperluas kolaborasi pendidikan dan penyelidikan, selaras dengan visi dan misi pusat kajian berkenaan.

Pada tahun ini, ReaCH turut bekerjasama dengan Unit Promosi FSK bagi memperkenalkan program pengajian yang ditawarkan oleh fakulti tersebut kepada warga ASiS.
Menurut Pengarah Program, YBrs. Dr. Norhasniza Yaacob, program itu bertujuan untuk memberikan khidmat komuniti dalam penjagaan kesihatan kepada guru, kakitangan dan pelajar AsiS, di samping meningkatkan pengetahuan mereka mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta mempromosikan 11 program yang ditawarkan di FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur.
Program dimulakan dengan saringan kesihatan yang dikendalikan oleh pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Program Sains Pemakanan, Program Dietetik serta Program Psikologi UKM yang melibatkan 355 orang pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga ASiS dari pukul 10.00 pagi hingga 3.30 petang.
Selain saringan kesihatan, Unit Promosi FSK turut mengadakan pameran dan ceramah kepada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima bagi memperkenalkan 11 program prasiswazah fakulti tersebut, iaitu Program Optometri dan Sains Penglihatan, Program Sains Pemakanan, Program Dietetik, Program Sains Bioperubatan, Program Terapi Cara Kerja, Program Fisioterapi, Program Sains Forensik, Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Program Audiologi serta Program Sains Pertuturan.

Program yang berakhir pada pukul 5.00 petang itu berlangsung dengan jayanya dan diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kesihatan warga ASiS serta mendorong lebih banyak pelajar mengenali dan seterusnya memilih program pengajian yang ditawarkan oleh FSK, UKM pada masa hadapan.

