1 Mei 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis telah mencatatkan prestasi cemerlang dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan sebanyak 98.95 peratus.

Pada tahun 2023, Hospital Tuanku Fauziah telah dinobatkan sebagai antara dua hospital peringkat negeri yang terbaik pada peringkat kebangsaan, manakala JKN Perlis turut dinobatkan sebagai program kejuruteraan terbaik kebangsaan bagi pengoperasian klinik.

Demikian makluman yang dipersembah oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi ucapannya bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Tahun 2024 di Jalan Raja Syed Alwi, Kangar.

Beliau berkata, dalam memastikan keutamaan kepada penjagaan kesihatan kendiri di Perlis serta meningkatkan tahap celik kesihatan dalam kalangan warga Perlis, program Kempen Sihat Milik Semua yang sudah memasuki tahun kedua telah berjalan dengan lancar dan mencapai sasarannya.

Beliau juga menyatakan bahawa JKN Perlis telah mencatatkan satu kejuaraan dalam pertandingan inovasi pada peringkat kebangsaan dan menjuarai pertandingan inovasi pada peringkat negeri Perlis.

Ulas beliau,

Kejayaan dan pelbagai program yang telah dimulakan di Perlis dijadikan sebagai program contoh pada peringkat kebangsaan.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa Perlis dicatatkan sebagai negeri yang mencatatkan prestasi kewangan yang baik yang melaporkan sebanyak 100 peratus bil dibayar dalam masa tujuh hari bekerja.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, YBrs. Dr. Nur Aslina Bahakodin, Pegawai Kesihatan Daerah, YBrs. Dr. Khaironisak Haron dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Encik Wan Ahmad Fazli Wan Kamis.

Dalam majlis berkenaan, baginda berdua turut berkenan berkunjung ke gerai yang menyediakan pelbagai juadah makanan dan minuman yang bertemakan menu Hari Raya Aidilfitri.

Sekitar Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Tahun 2024 yang dihadiri oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Jalan Raja Syed Alwi, Kangar.

Majlis tahunan yang dianjurkan oleh JKN Perlis tersebut bertujuan meraikan bulan Syawal yang mulia bersama-sama seluruh warga kerja kesihatan di negeri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.