Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan sedang meneliti cadangan mewujudkan sistem stok penimbal baja sebagai langkah strategik untuk jangka masa panjang bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin, terutamanya ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin berkata, pelaksanaan sistem berkenaan masih pada peringkat pertimbangan kerana bekalan baja negara ketika ini berada pada tahap yang mencukupi dan mampu menampung keperluan hingga sembilan bulan.
Menurut beliau, hasil sesi libat urus bersama-sama pembekal dan pengilang mendapati bahawa stok baja sedia ada masih stabil walaupun berlaku konflik di Asia Barat yang memberikan kesan kepada pasaran tenaga dan komoditi dunia.
“Jika dikira bermula 28 Februari apabila perang berlaku, stok baja mencukupi hingga akhir tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan stok penimbal baja memerlukan perancangan rapi kerana melibatkan kos penyimpanan, penyediaan gudang serta pengurusan inventori yang berkesan.
Kerajaan juga memberikan jaminan bahawa bekalan baja untuk sektor penanaman padi akan terus dipastikan mencukupi melalui peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang menguruskan beberapa skim bantuan utama kepada pesawah di seluruh negara.
Tambah beliau, konflik geopolitik yang berlarutan telah meningkatkan kos bahan api serta input pertanian seperti baja dan racun, sekali gus menimbulkan risiko terhadap rantaian bekalan makanan domestik.
Untuk menangani cabaran tersebut, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk jangka masa pendek, termasuklah pengecualian sementara cukai jualan dan SST bagi baja tertentu, peningkatan insentif pembajakan dan penuaian, bantuan tunai kepada sektor agrokomoditi serta mengekalkan subsidi diesel nelayan, manakala untuk tempoh sederhana, tumpuan diberikan kepada pengoptimuman kawasan pengeluaran makanan dan pengukuhan program sara diri rakyat.
Sementara itu, langkah untuk jangka masa panjang melibatkan penggubalan Akta Keterjaminan Makanan Negara, pembentukan sistem stok penimbal baja yang lebih sistematik serta pewujudan zon pengeluaran makanan negara.
Usaha tersebut dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan pada import dan meningkatkan daya tahan sektor agromakanan negara dalam menghadapi sebarang krisis global pada masa hadapan.