Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBintulu – Pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti lapangan dan program berasaskan komuniti seperti Service–Learning Malaysia–University for Society (SULAM) perlu terus diperkasakan bagi menarik minat generasi muda terhadap sektor pertanian serta melahirkan pewaris yang berilmu, berkemahiran dan berdaya inovasi demi memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Keperluan melahirkan lebih banyak generasi muda dalam sektor pertanian menjadi semakin penting ketika dunia berdepan dengan peningkatan permintaan makanan susulan pertambahan populasi global yang dijangkakan mencecah 9.7 bilion orang menjelang tahun 2050.

Menurut OECD–FAO Agricultural Outlook 2024–2033, permintaan makanan dunia dijangkakan meningkat sebanyak 1.1 peratus setahun dan mencapai 20.6 juta terakalori menjelang tahun 2033.

Usaha untuk memenuhi permintaan tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan makanan, urbanisasi dan pembaziran makanan sehingga menjadikan keupayaan sesebuah negara menghasilkan makanan sendiri semakin penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Bagi memperkukuh sistem agromakanan negara, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), namun Malaysia masih bergantung pada import untuk memenuhi sebahagian keperluan makanan apabila tahap sara diri atau self-sufficiency ratio (SSR) beras pada tahun 2024 hanya 52.9 peratus, manakala kadar kebergantungan import bagi daging kambing dan daging lembu masing-masing mencecah 92.1 peratus dan 83.5 peratus.

Keadaan itu menunjukkan sektor pertanian negara memerlukan lebih banyak tenaga, khususnya golongan muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan celik teknologi bagi memastikan kelangsungan pengeluaran makanan negara, lebih-lebih lagi apabila penggunaan dron, penderia pintar, Internet benda, kecerdasan buatan, sistem pertanian tepat dan automasi telah mengubah landskap pertanian menjadi lebih moden, cekap dan berdaya saing.

Institusi pendidikan turut memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi pewaris pertanian melalui pembelajaran di bilik kuliah yang dihubungkan dengan masyarakat menerusi aktiviti lapangan, lawatan dan program berasaskan komuniti yang membolehkan mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan petani, usahawan tani dan komuniti setempat.

Sebagai contohnya, pengetahuan yang diperoleh melalui Kursus Sains Tanah boleh diterjemahkan kepada aktiviti pemindahan ilmu bersama-sama komuniti bagi membantu petani mengenal pasti sifat fizikal dan kimia tanah untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman dan penggunaan input pertanian secara lebih efisien.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu bukan sahaja memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap sektor pertanian, malah membuka ruang kepada mereka melihat bidang tersebut daripada perspektif yang lebih luas meliputi keusahawanan, pemasaran, teknologi, pengurusan sumber, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Melalui pendekatan itu juga, mahasiswa berpotensi menceburi pelbagai laluan kerjaya termasuklah sebagai usahawan agro, pegawai pengembangan, penyelidik, pakar teknologi pertanian, perunding industri dan pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara.

Selain memperkaya pengalaman pembelajaran, program seperti SULAM turut membantu membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa melalui pelibatan dalam pengurusan program, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah serta interaksi dengan masyarakat yang dapat memupuk keyakinan diri, empati dan tanggungjawab sosial.

Kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut memberikan peluang kepada pelajar mengenali teknologi terkini termasuklah pengurusan tanaman moden, teknik cantuman pokok, amalan pertanian baik dan pertanian pintar yang mampu meningkatkan minat serta membuka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam sektor tersebut.

Keterjaminan makanan bukan sekadar tanggungjawab petani atau sektor pertanian semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat bagi memastikan negara memiliki generasi muda yang bersedia menerajui pembangunan sektor agromakanan serta menjamin kelestarian negara pada masa hadapan.



