Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sekumpulan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam membangunkan aplikasi berasaskan web Aedeswatch bagi memperkasakan komuniti setempat dalam usaha pencegahan demam denggi secara lebih sistematik dan berasaskan teknologi.

Inisiatif yang diketuai oleh YBhg. Profesor Dr. Nazri Che Dom dengan bantuan Encik Zulkifli Abdul Hadi itu dilaksanakan menerusi program khidmat komuniti yang bertemakan “Teknologi dan Inovasi” bersempena dengan Gotong-Royong Cegah Denggi Perdana di Pusat Komuniti Astana, Perdana Kejiranan Astana, Taman Seri Pristana, Selangor.

Aktiviti yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu melibatkan sesi taklimat bersama-sama penduduk setempat sebelum sesi pengenalan aplikasi Aedeswatch yang dibangunkan sendiri oleh para pelajar.

Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam ketika menerangkan cara penggunaan aplikasi Aedeswatch.

Aplikasi tersebut membolehkan penduduk melaporkan lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes secara masa nyata dengan hanya mengimbas kod respons pantas (QR), mengambil gambar takungan air yang mencurigakan dan memuat naik maklumat lokasi.

Paparan aplikasi web Aedeswatch.

Untuk meningkatkan penyertaan komuniti, para pelajar turut memperkenalkan elemen gamifikasi menerusi “Papan Pendahulu Komuniti” yang memberikan mata ganjaran bagi setiap laporan yang dihantar.

Pendekatan itu berjaya menarik minat penduduk, khususnya golongan remaja untuk bersama-sama membersihkan kawasan perumahan sambil mengumpul mata ganjaran.

Laporan yang diterima melalui aplikasi itu dipaparkan menerusi sistem “Aedeswatch Admin Panel” yang diuruskan oleh Ketua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perdana Kejiranan Astana bagi memantau titik panas menerusi “Peta Taburan Risiko Komuniti”.

Data yang dikumpulkan seterusnya dikongsi dengan pasukan sukarelawan kesihatan yang terdiri daripada Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), Malaysia Health Champion (MyCHAMPION) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Taman Seri Pristana.

Gabungan empat entiti, iaitu KRT, COMBI, MyCHAMPION dan KOSPEN membolehkan aktiviti “Cari dan Musnah” serta advokasi kesihatan dijalankan dengan lebih bersasar, sistematik dan menjimatkan masa.

Program itu turut menjadi platform merapatkan jurang digital apabila para pelajar turun padang dari rumah ke rumah untuk membantu warga emas mempelajari penggunaan aplikasi Aedeswatch.

Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam yang menjadi tulang belakang dan penggerak utama di sebalik kejayaan pembangunan aplikasi Aedeswatch serta kelancaran program gotong-royong di Taman Seri Pristana.

Mereka menggunakan tablet, telefon bimbit dan risalah panduan untuk menerangkan fungsi aplikasi secara mudah kepada penduduk yang kurang celik digital.

Menurut wakil pelajar yang terlibat dalam program itu, pengalaman melihat aplikasi yang dibangunkan dan digunakan oleh Ketua KRT serta sukarelawan COMBI, MyCHAMPION dan KOSPEN memberikan kepuasan yang sukar digambarkan kerana teknologi yang dibangunkan mampu memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Program di Taman Seri Pristana itu membuktikan bahawa gabungan teknologi, semangat kesukarelawanan dan pelibatan aktif agensi komuniti mampu menghasilkan impak sosial yang besar dalam usaha membendung penularan demam denggi.

Inisiatif pelajar UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam itu sekali gus memperlihatkan bahawa generasi muda bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya mampu menjadi ejen perubahan dalam membina komuniti yang lebih sihat, pintar dan sejahtera.

Sebahagian daripada penduduk setempat dan para pelajar bergambar bersama-sama sebelum bergotong-royong di kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi